Panduan Meneroka Warisan Islam di Sepanyol: Mercu Tanda, Kisah, Dan Kota Wajib Dikunjungi

Pada mulanya, ketika saya menerima jemputan daripada Spain Tourism Board, jujur saya terfikir, “Kenapa Sepanyol? Apa kaitannya dengan budaya Islam?” Sebagai seseorang yang sering menulis tentang pelancongan Muslim dan tapak bersejarah, saya tidak pasti apa yang harus dijangkakan. Tetapi percayalah, teruskan membaca hingga ke penghujung, dan biar saya yakinkan anda.

Kenapa Sepanyol? Kerana Sepanyol mempunyai begitu banyak untuk ditawarkan dan bukan sahaja dari segi keindahan dan seni binanya, tetapi juga kisah-kisah yang memperkukuh keimanan saya dan membuatkan saya berasa bangga dilahirkan sebagai seorang Muslim. Sebagai pengembara Muslim yang amat menyayangi sejarah dan warisan budaya, saya benar-benar terpikat. Sukar digambarkan dengan kata-kata bagaimana rasanya berjalan di lorong-lorong di mana suatu ketika dahulu laungan azan pernah bergema, tempat para ilmuwan dan seniman mengubah haluan tamadun, dan di mana lapisan sejarah terpahat pada setiap batu dan dinding.

Ketika menulis artikel ini, saya sudah mula merindui setiap detik di Sepanyol sehingga terdetik rasa mahu menempah tiket ke Córdoba sekali lagi sekarang, hiks!

Daripada istana megah hingga ke sudut-sudut tenang, warisan Islam di Sepanyol bukan sekadar dapat dilihat tetapi ia dapat dirasai. Inilah panduan ke mercu tanda, kisah, dan kota yang tidak wajar anda lepaskan jika ingin menelusuri jejak abadi Al-Andalus.

Toledo: Kota tiga budaya

Image credit: SeanPavonePhoto | Canva Pro

Pengembaraan saya di Sepanyol bermula di kota purba Toledo, yang terletak megah di atas sebuah bukit dan diselimuti lapisan sejarah Islam, Yahudi, dan Kristian. Menghabiskan sepanjang hari di sini memberi saya peluang untuk benar-benar menghayati keagungan kota ini yang tenang namun penuh makna.

Perhentian pertama saya ialah di Cristo de la Luz Mosque, sebuah masjid kecil namun indah dari abad ke-10 yang masih mengekalkan mihrab asalnya. Dari situ, saya meneruskan langkah ke Toledo Cathedral, yang dibina di tapak bekas masjid lama sekaligus merupakan satu peringatan jelas tentang akar Islam yang mendalam di kota ini.

Image credit (left): Sean Pavone | Canva Pro

Saya menyusuri Old Town Toledo dengan membiarkan jalan berbatu dan tembok zaman pertengahan memandu langkah saya. Suasananya tenang damai seolah-olah mengajak kita menghayati keindahan Jewish Quarter dan El Tránsito Synagogue.

Perhentian terakhir kami sebelum waktu makan tengah hari adalah di Damasquinado Hecho a Mano, iaitu kami berpeluang menyaksikan sendiri generasi demi generasi tukang seni menghidupkan kembali seni logam damaskin iaitu teknik tradisional menyemat emas atau perak ke atas keluli. Kemahiran halus ini telah diwarisi turun-temurun dan masih dipelihara hingga ke hari ini. Melihat prosesnya dilakukan dengan tangan begitu teliti benar-benar memukau, maka terbuktilah memang warisan seni Toledo takkan lapuk dek zaman.

Untuk makan tengah hari, saya menemui sebuah permata tersembunyi bernama Arabian Touch, yang menyajikan hidangan halal dengan sentuhan gabungan citarasa Sepanyol dan Timur Tengah. Ia benar-benar satu persinggahan yang sempurna di kota yang mengajar erti menikmati perjalanan secara perlahan dan penuh makna.

Apabila matahari mula terbenam, kami berkemas dan bersiap menuju ke Córdoba, bersedia menyelami bab seterusnya dalam warisan Islam Sepanyol.

Córdoba: Nadi keagungan Al-Andalus

Perjalanan saya di Córdoba bermula di bekas ibu kota Khilafah Umayyah. Melangkah masuk ke kota ini terasa seolah-olah saya sedang membuka sebuah buku kisah lama kerana setiap halamannya berbisik tentang iman, seni, dan ilmu pengetahuan.

Perhentian pertama saya, sudah tentu, ialah Mezquita-Catedral de Córdoba. Saya pernah melihat begitu banyak gambar tempat ini, tetapi tiada apa yang benar-benar mempersiapkan saya untuk menyaksikan keindahan lengkungan merah dan putih yang terbentang tanpa penghujung di dalamnya.

Sebagai seorang Muslim, ada perasaan sayu bercampur kagum ketika saya berdiri di bawah mihrab yang unik ukirannya, kerana ianya adalah sebuah karya agung yang dahulunya dibina bagi melambangkan kesatuan dunia Islam, namun kini terletak di dalam sebuah katedral Kristian. Namun begitu, roh seni bina Islam masih kekal hidup, berbisik lembut melalui setiap lengkungan dan ukiran yang tersisa.

Kemudian, saya menyusuri jalan berbatu di kawasan medina lama, di mana setiap selekoh seolah-olah menyembunyikan permata bersejarah yang menunggu untuk ditemui. Masjid moden Andalusians menjadi tempat singgah yang tenang, seolah-olah menghadiahkan saya ruang untuk bernafas dan merenung, manakala Menara San Juan de los Caballeros berdiri megah, mengingatkan saya kepada siluet kota Islam yang pernah gemilang suatu masa dahulu.

Saya turut singgah di Casa Árabe, sebuah pusat kebudayaan yang menampilkan pelbagai pameran dan program interaktif berkaitan pengaruh Arab dan Islam di Sepanyol. Tempat ini bukan sekadar galeri seni kerana ia berfungsi sebagai jambatan budaya, membantu pelawat memahami bagaimana warisan Al-Andalus masih hidup dalam seni, bahasa, dan identiti masyarakat Sepanyol hari ini.

Untuk makan tengah hari, saya singgah di Restaurante Damasco, sebuah restoran halal Syria yang menyajikan antara hidangan hummus terbaik yang pernah saya rasa di Eropah. Suasana di sini begitu mesra dan selesa seolah-olah terasa seperti makan di rumah sendiri. Menariknya, makanan halal di Córdoba memang mudah didapati, dan keramahan komuniti tempatan menjadikan pengalaman menjamu selera di sini lebih bermakna.

Pada hari kedua, saya meneroka Axerquía Quarter, sebuah kawasan yang memadukan akar Islam zaman pertengahan dengan pengaruh Kristian yang datang kemudian. Antara yang paling memukau ialah Palacio de Viana dengan laman-laman bunganya yang mekar dan aliran air yang menenangkan. Berjalan di sini terasa seolah-olah melangkah ke dalam gambaran syurga yang begitu indah, damai, dan penuh kehidupan.

Tiada kunjungan ke Córdoba yang lengkap tanpa melawat Madinat al-Zahra. Terletak hanya beberapa minit pemanduan dari bandar, tapak arkeologi ini dahulunya merupakan kota megah yang dibina oleh Abd al-Rahman III. Walaupun kini hanya tinggal runtuhan, aura keagungan dan cita-cita besar kerajaan Umayyah masih jelas terasa. Berdiri di tengah sisa dewan takhta, saya memejamkan mata dan cuba membayangkan suasana ketika khalifah menyambut para diplomat dari seluruh dunia, satu detik yang pasti menggetarkan hati.

Baca pengalaman lengkap saya menerokai kota Cordoba

Zaragoza: Permata yang tersembunyi

Bahagian I: Zaragoza - Aragon - Pyrenees Tour

Selepas meninggalkan Córdoba, perjalanan kami diteruskan ke Zaragoza (sebutan: Saragosa) — sebuah bandar yang pada mulanya saya pandang rendah. Jujurnya, saya menyangka ia hanyalah sebuah bandar kecil yang sunyi dan tidak mempunyai banyak tarikan. Namun, subhanallah, tanggapan saya ternyata silap sama sekali. Zaragoza rupa-rupanya sebuah bandar yang benar-benar mengagumkan kerana ianya bersih, rancak, dan dipenuhi seni bina, monumen serta hasil seni yang menakjubkan, masing-masing membawa kisah sejarah tersendiri. Setiap penjuru terasa seperti menemui karya agung yang tersembunyi. Wallahi, saya benar-benar terpesona.

Walaupun cuaca panas melampau ketika itu mencecah sehingga 40°C, kami tetap meneruskan perjalanan untuk meneroka lebih banyak lagi keindahan dan keajaiban yang tersembunyi di Zaragoza. Saya menghabiskan beberapa malam di sini, memberi ruang untuk benar-benar menyelami keunikan bandar ini. Tarikan utama pastinya Istana Aljafería, sebuah kota berkubu Islam yang menakjubkan yang dahulunya berfungsi sebagai kediaman pemerintah Muslim sebelum berubah menjadi istana pemerintahan Kristian.

Kemudian, terdapat Gereja San Pablo, yang kaya dengan perincian seni bina Mudéjar. Gaya yang lahir daripada hasil tangan tukang-tukang Muslim yang bekerja di bawah pemerintahan Kristian.

Fakta menarik: gabungan seni bina ini menjadi lambang keharmonian budaya yang terus wujud walaupun selepas kejatuhan pemerintahan Islam.

Akhir sekali, Katedral La Seo menampilkan satu lagi keindahan sejarah berlapis, mencerminkan kesinambungan dialog antara seni Islam dan Kristian sepanjang berabad-abad lamanya. Saya juga sempat singgah sebentar di beberapa kedai tradisional tempatan untuk melihat hasil seni dan barangan unik masyarakat setempat.

Keesokan harinya, saya menyertai satu lawatan ke wilayah Pergunungan Pyrenees, di mana keindahan semula jadi pergunungan Sepanyol benar-benar terserlah. Destinasi pertama kami ialah San Juan de la Peña, sebuah biara yang menakjubkan terletak di bawah tebing batu yang curam. Tanpa saya sangka, tempat yang tenang ini dahulunya merupakan pusara diraja bagi raja-raja Aragon. Ia bukan sekadar tapak keagamaan tetapi juga tempat percutian damai yang pasti memikat pencinta alam dan sejarah, dengan pemandangan yang mengasyikkan serta warisan yang kaya dan mendalam.

Tidak jauh dari situ terletaknya San Juan de la Serós, sebuah perkampungan yang menawan dengan seni bina Romanesque yang memukau pandangan. Suasananya yang tenang terasa hampir seperti meditasi, dikelilingi oleh kehijauan alam dan rumah-rumah batu tradisional yang mengekalkan pesona zaman silam.

Pendakian mini kegemaran saya ialah menuju ke Istana Loarre, dan saya harus akui, tempat ini benar-benar menawan hati saya. Terletak megah di lereng gunung, kubu dari abad ke-11 ini merupakan salah satu istana Romanesque yang paling terpelihara di Eropah. Pendakiannya santai dan menyeronokkan, dan apabila tiba di puncak, pemandangannya sungguh menakjubkan: bukit-bukau yang terbentang luas, dinding batu yang disinari cahaya matahari, serta hembusan angin gunung yang segar.

Rasanya seperti berada dalam kisah dongeng atau mungkin dalam mimpi seorang pahlawan Andalusi. Terdapat juga sebuah tingkap tinggi di salah satu bilik istana yang menawarkan pemandangan lembah di bawah yang memukau, seolah-olah melihat dunia melalui pandangan sang raja yang pernah memerintah dari sini. SubhanAllah, saat-saat seperti inilah yang mengingatkan saya betapa perjalanan mampu menghubungkan kita dengan sejarah dan masa kini secara serentak.

Bahagian II: Zaragoza - Calatayud - Tobed - Muel

Hari berikutnya dipenuhi dengan lawatan ke kampung-kampung Mudéjar, bermula dengan Borja yang merupakan sebuah kampung kecil yang secara senyap menyimpan rahsia Islam yang besar. Borja terkenal dengan pengeluaran wainnya, kerana kawasan ini menghasilkan sebilangan besar anggur setiap tahun, hasil tanahnya yang subur. Semasa musim tuaian, anda boleh menyaksikan vendimiadoras, para pekerja yang berdedikasi memetik anggur secara manual.

Walaupun wain bukanlah sesuatu yang diminum oleh Muslim, sangat menarik melihat bagaimana tanah yang dicipta Allah boleh dimanfaatkan dalam pelbagai cara, dan bagaimana Muslim boleh menghargai warisan pertanian tanpa melibatkan diri dalam perkara yang diharamkan.

Image credit: mmeee | Canva Pro

Ketika saya menyusuri lorong-lorong batu Borja, saya dapat melihat pengaruh Andalusi yang jelas dalam seni bina di sini. Yang paling menonjol ialah sebuah lengkungan batu yang menakjubkan, contoh sempurna seni Mudéjar ialah gabungan indah reka bentuk Islam dan Kristian yang boleh ditemui di seluruh Aragón. Ia terasa seperti menemui jejak warisan kita di tempat yang paling tidak disangka-sangka.

Perhentian seterusnya ialah Casa de la Estanca, sebuah tasik yang tenang dan bersejarah sejak abad ke-14, dikelilingi pokok zaitun, pokok anggur, pokok ceri, serta ladang keemasan yang luas. Pemandangannya sungguh memukau, menenangkan, damai, dan sarat dengan aura spiritual. Saya teringat akan satu ayat indah dari Al-Qur’an:

Surah Al-Ankabut (29:20):

"Berjalanlah di muka bumi, lalu perhatikan bagaimana Dia memulakan penciptaan."

SubhanAllah, ada sesuatu yang sangat menenangkan apabila dapat menyaksikan pokok-pokok dan tanaman yang disebut dalam Al-Qur’an di depan mata sendiri. Ia membina hubungan yang mendalam antara alam semula jadi dan wahyu Ilahi, membuatkan hati terasa dekat dengan ciptaan Allah.

Dari situ, kami menuju ke Muel, di mana saya berpeluang mempelajari seni tembikar tradisional di Muel Cerámica Viva — sebuah bengkel kecil yang mengekalkan warisan seni tembikar berabad lamanya, yang sangat dipengaruhi oleh corak dan teknik Islam. Ini merupakan kali pertama saya bekerja dengan tanah liat, dan percayalah, jiwa kanak-kanak dalam diri saya melonjak kegembiraan, hihiks! Ada sesuatu yang sangat menenangkan dan terapeutik ketika membentuk tanah menjadi karya seni, sambil membayangkan bagaimana para tukang Muslim dahulu melakukan hal yang sama semasa zaman keemasan Al-Andalus.

Seterusnya, semasa kami masih berada dalam mood pengembaraan, kami meneruskan perjalanan ke Calatayud, sebuah bandar yang mempunyai akar Islam yang kukuh. Tahukah anda? Bandar ini diasaskan oleh Muslim pada abad ke-8 dan dinamakan Qal'at Ayyub, yang bermaksud “kubu Ayyub.”

Berlalu di jalan-jalannya, kami disambut dengan bangunan-bangunan tinggi yang dihiasi dengan seni Mudéjar terpelihara dengan indah, antara yang paling memukau pernah saya lihat setakat ini. Sekali lagi, mata saya benar-benar dimanjakan — subhanAllah! Keharmonian antara estetika Islam dan Kristian di bandar ini jelas menceritakan tentang masa lalu yang penuh dialog budaya dan toleransi. Hari itu benar-benar mengisi hati saya dengan rasa kagum dan syukur yang mendalam.

Image credit (right): Juan Dana | Canva Pro

Keesokan harinya, kami memulakan pagi dengan berjalan-jalan di Taman Semula Jadi Monasterio de Piedra di Nuévalos. Saya benar-benar tidak bersedia untuk apa yang menanti: air terjun gergasi mengalir deras di tengah kehijauan yang subur, dengan bunyi air yang deras seolah-olah menjadi dhikr semula jadi dari alam. Pemandangannya begitu menakjubkan. MashaAllah, sampai saya hampir menitiskan air mata kerana keindahannya.

Cuaca juga akhirnya menyebelahi kami: pagi yang nyaman dengan suhu sekitar 20°C, satu ganjaran manis selepas melalui gelombang panas 40–45°C di Toledo, Córdoba, dan Zaragoza.

Image credit (left): @entre_escombros | Instagram

Dari situ, kami bergerak ke Tobed, sebuah permata tersembunyi yang dipenuhi keindahan Mudéjar dan pesona kampung kecil. Salah satu detik yang paling menghangatkan hati saya ialah menyaksikan bagaimana penduduk tempatan masih mengekalkan tradisi berabad lamanya: mereka membawa doh buatan sendiri ke tungku komuniti lama untuk membakar roti segar, biskut, dan pelbagai juadah lain. Saya bertuah kerana berpeluang mencuba biskut buatan sendiri mereka yang dicelup dalam café con leche (kopi dengan susu) memang kombinasi yang perfecto untuk petang yang cerah!

Di Pusat Seni dan Seni Bina Mudéjar, saya berpeluang mencuba mengukir corak tradisional Mudéjar menggunakan tanah liat. Walaupun hasil akhir saya tidaklah setanding dengan karya muzium (hehe), saya benar-benar menikmati pengalaman itu. Ada sesuatu yang sangat terapeutik apabila bekerja dengan tangan sendiri — membentuk rupa, menjejak lengkungan — seolah-olah sebahagian jiwa saya sedang sembuh dengan setiap goresan.

Lawatan Mudéjar kami di Tobed berakhir di Iglesia de Santa María, sebuah gereja indah yang seni binanya memancarkan keagungan sekaligus ketenangan spiritual. Fakta menarik: saya baru tahu bahawa kebanyakan gereja di Sepanyol dilengkapi dengan piano atau organ, dan bunyi muziknya yang bergema di dalam dinding batu lama itu ternyata sangat menenangkan.

Tips Perjalanan Muslim-friendly

Image credit: Pixels4Free | Canva Pro

Pengembaraan saya di Sepanyol sebagai Muslim bukan sahaja mungkin, malah memberi pengalaman dan pengetahuan yang luas. Makanan halal boleh ditemui di kebanyakan bandar besar, terutamanya di restoran Timur Tengah dan Afrika Utara. Aplikasi seperti Zabihah atau HappyCow sangat membantu apabila saya kurang pasti tentang pilihan tempat makan.

Ruang solat tidak selalu mudah dijumpai, tetapi masjid wujud di bandar seperti Córdoba, Granada, dan Madrid. Jika ragu-ragu, anda boleh mencari sudut sunyi di taman-taman semasa waktu solat.

Pakaian sopan dihormati di Sepanyol, jadi ini bukan masalah besar bagi saya kerana sebagai Muslim, saya sentiasa menutup aurat dengan hijab. Namun, satu peringatan mesra kepada rakan pengembara: memakai pakaian sopan sangat digalakkan, dan bawa selendang atau skaf sebagai persediaan, ianya amat berguna ketika memasuki gereja atau tapak suci lain.

Warisan yang tak lekang dek zaman

Image credit: Nicolas Postiglioni | Canva Pro

Adakah anda kini yakin bahawa Sepanyol mempunyai begitu banyak tawaran menarik untuk pengembara Muslim? Bagi saya, pasti sekali. Perjalanan ini memberi saya rasa syukur dan kekaguman yang baru terhadap ketahanan dan keindahan warisan Islam.

Di rumah, saya tinggal di kawasan yang saya dapat mendengar azan lima kali sehari. Saya tidak perlu membuka aplikasi MuslimPro hanya untuk mengetahui waktu solat. Masjid dan surau berada dalam jarak 5 hingga 10 kilometer sahaja. Namun, di Sepanyol, keadaannya berbeza. Saya perlu lebih sengaja dan berfokus. Saya mendapati diri saya solat di taman, sudut sunyi, dan kadangkala di kafe. Dan subhanAllah, saya merasakan kedekatan yang lebih dengan Allah melalui pengalaman itu. Ia seolah-olah saya sedang mencari saat-saat hubungan rohani itu dengan aktif, dan saya lebih menghargainya.

Satu lagi perkara yang memukau saya ialah betapa brilian dan berkuasanya para sarjana dan pemimpin Muslim suatu masa dahulu di tanah ini. Mereka bukan sekadar pemerintah; mereka adalah pemikir, pembina, dan pembela Islam. Malah selepas penaklukan Kristian, para seniman Muslim masih dicari untuk membina dan menghias, menghasilkan gabungan karya agung Al-Andalus dan seni Mudéjar yang kita kagumi hari ini.

Masa lalu Islam Sepanyol tidak terkunci dalam halaman sejarah. Ia masih hidup dalam bandar-bandar, jalan-jalan, dan masyarakatnya. Bagi pengembara Muslim, ia menawarkan peluang untuk menghubungkan diri dengan satu bab warisan yang hilang tetapi masih berbekas.

Perjalanan ini melatih sifat merendah hati, terinspirasi, dan bangga. Dari keagungan Alhambra hingga ke laman-laman yang tenang di Córdoba, setiap detik terasa seperti melangkah melalui sejarah yang hidup.

Jika anda pernah berniat untuk menjelajah tanah Al-Andalus, jadikan ini sebagai “greenlight” anda. Pergilah. Berjalanlah di jalan yang pernah dilalui para sarjana. Solatlah di tempat yang pernah didirikan oleh orang-orang beriman. Biarkan warisan Islam Sepanyol membangkitkan sesuatu yang abadi dan bermakna dalam diri anda.

______________________________________________________________________________________________

Sekalung penghargaan diucapkan kepada Spain Tourism Board, Empresa Pública de Promoción del Turismo y la Artesanía de Castilla-La Mancha, Turismo Zaragoza, Fundación Las Fuentes dan Territorio Mudejar.

Published on


About Author

Aimi Zulkiflee

Aimi is the ultimate daydreamer with a flair for adventure and an avid novel reader with a soft spot for all things fairytale. She is known for her friendly demeanor, albeit with a bit of a short temper. Forever striving to live her cutesy yet demure life.

Brand Managers!

Want to see your brand or business in this story?

Talk to us now

品牌经理们!

想在本文中看见您的品牌或公司吗?

现在就和我们联系吧

RECOMMENDED READS

RECENT ARTICLES