Sebagai pintu masuk ke Cameron Highlands dan Pulau Pinang, ibu negeri Perak ini semakin hari semakin mendapat sambutan ramai sebagai tempat percutian. Ramai yang menyamakan bandar ini dengan bandaraya George Town yang juga terkenal dengan seni bina yang mengagumkan, street art yang cantik serta legasi makanan yang sentiasa dijejaki pelancong.

Namun, setiap tempat mempunyai sejarah dan ciri-ciri yang tersendiri. Sebagai contoh, Ipoh  merupakan tempat perlombongan bijih timah yang amat terkenal dan terbesar suatu ketika dahulu manakala pembentukan gua batu kapur di serata bandaraya itu sering menjadi tarikan pengunjung. Jadi, kami telah menghimpunkan sebanyak 9 tempat yang anda patut lawati di bandar yang unik ini!

1. Hayati legasi Yasmin Ahmad di Yasmin at Kong Heng

Image credit: Yasmin at Kong Heng Official Facebook

Percutian ke Ipoh tidak lengkap tanpa melawati Yasmin at Kong Heng, sebuah muzium yang dibina demi mengingati jasa dan sumbangan pengarah filem negara, Yasmin Ahmad. Pelbagai karya beliau seperti sajak, fotografi, iklan dan filem dipaparkan di sini.

Walaupun Yasmin Ahmad berasal dari Johor, muzium ini dibangunkan di Ipoh kerana ia merupakan bandar yang amat disukai beliau atas keunikannya. Malah, kebanyakan penggambaran filem dan iklannya juga dijalankan di sini, jadi percutian anda ke Ipoh akan menjadi lebih bermakna melalui lensa Yasmin Ahmad yang sentiasa menekankan nilai harmoni dan toleransi.

Peringatan: Yasmin at Kong Heng hanya dibuka pada hujung minggu.

2. Nikmati pemandangan terindah di Tasik Cermin, Gunung Rapat

Image credit: hams Nocete

Disebabkan pembentukan batu kapur yang banyak di Ipoh, bandar ini juga diberi nama samaran ‘Guilin of Malaysia’. Antara hidden gem yang terbaru di Ipoh ialah Tasik Cermin yang terletak berdekatan Tokong Da Seng Ngan.

Di sini, anda akan menemui bukit batu kapur yang tinggi menggunung dan air tasik yang cukup tenang sehingga anda dapat menyaksikan pantulan kawasan sekitarnya. Memandangkan kawasan ini masih belum diketahui ramai, kami sarankan anda datang ke sini bersama teman-teman anda atas faktor keselamatan.

3. Jalan-jalan menggunakan panduan Ipoh Heritage Trail (Jejak Warisan Ipoh)

Image credit: hams Nocete

Bagi yang gemar akan sejarah dan bangunan-bangunan lama yang masih terjaga rapi, kami mengesyorkan anda menggunakan peta Ipoh Heritage Trail yang boleh didapatkan di sini. Terdapat 27 tempat bersejarah yang anda boleh lawati seperti Ipoh Railway Station, Ipoh Town Hall, Mercantile Bank, Muzium Han Chin Pet Soo dan banyak lagi!

4. Lihat boneka Tamadun China di Miniature Wonders Art Gallery

Image credit: Miniature Wonders Art Gallery Official Facebook

Di Miniature Wonders Art Gallery, anda akan berasa seperti di dalam dunia raksasa Gulliver’s Travels! Cuma, perbezaaannya ialah anda akan dibawa ke zaman kehidupan Tamadun China yang digambarkan dengan istana diraja, perhimpunan askar dan perkampungan lama. Penggemar seni akan terpegun melihat hasil karya arca yang amat terperinci melalui patung-patung kecil 3D di sini.

5. Cari barang antik di Pasar Karat Ipoh (Sunday Market)

Image credit: Attila Siha

Beroperasi hanya pada hari Ahad (7am-1pm), Pasar Karat yang sangat panjang ini bagaikan muzium masa lampau anda! Pengumpul barang lama pasti akan rambang mata melihat koleksi duit-duit lama, majalah/buku lama, perkakas antik dan sebagainya. Yang tak berminat akan barang old school pun turut akan berseronok menginjau kenangan zaman kecil!

6. Minum kopi dan lihat street art di Concubine Lanes yang klasik

Image credit: Concubine Lane 怡保二奶巷 Official Facebook

Juga salah satu kawasan yang termasuk dalam senarai Ipoh Heritage Trail, Concubine Lanes ialah antara usaha untuk membaik pulih tempat-tempat bersejarah di Ipoh. Terbahagi kepada tiga batang jalan (Lorong Hale, Lorong Panglima dan Market Lane), anda dapat melihat pelbagai mural street art, hotel butik, restoran/kafe serta kedai-kedai cenderahati di sini.

7. Makan malam dan chill di Food Truck Garden Bulatan Amanjaya

Image credit: thehut.my Official Instagram

Setelah anda puas memburu street food di Ipoh, anda boleh kunjungi Food Truck Garden yang dimeriahkan oleh penduduk tempatan pada waktu malam. Dengan pelbagai hidangan fusion street food seperti Chicken Gua Bao Sandwich, Smoked Duck, Philly Cheese dan Meatballs, anda pasti akan puas hati di sini!

8. Kembali ke masa lalu di Qing Xin Ling Leisure and Cultural Village

Image credit: 清心嶺休闲文化村 Qing Xin Ling Leisure & Cultural Village Official Facebook

Ingin mengimbas nostalgia lama? Anda boleh menuju ke Qing Xin Ling Leisure and Cultural Village yang amat interaktif! Dikelilingi gunung dan tasik yang luas, Qing Xin Lin merupakan tempat yang paling sempurna buat anda yang yang berkeluarga serta penggemar alam semulajadi, sejarah dan budaya.

Terdapat buaian di tepi tasik, beca dan basikal yang boleh dinaiki pengunjung secara percuma, sudut-sudut yang dihiasi dengan fotografi dan barang antik, trail mendaki ke dalam hutan dan banyak lagi! Kami sarankan agar anda datang sebaik sahaja ia dibuka untuk menikmati suasana yang senyap sunyi dan redup di sini.

Tip: Tiket masuk (RM10) perlu terlebih dahulu dibeli di Kota Furniture Shop yang terletak 3km dari tempat ini.

9. Terokai Kek Lok Tong Cave Temple and Zen Gardens yang tenang

Image credit: Boon Low

Satu lagi tempat yang perlu dilawati di Ipoh ialah Kek Lok Tong Cave Temple yang merupakan tempat suci masyarakat Cina Taoist dan Buddhisme. Di sini, anda akan menemui bukit batu kapur, pembentukan stalagmit dan stalaktit di dalam gua, patung-patung suci, tasik bunga seroja, taman bunga Zen dan laluan refleksologi yang terpanjang di Ipoh. Selain menjadi tempat tarikan pelancong, penduduk Ipoh juga sering berjogging di sini pada waktu petang!

Ipoh tarikan terindah

Bertuah sungguh penduduk tempatan di sini kerana dikelilingi dengan alam semula jadi yang luas dan bandar lama yang cukup bersejarah. Jadi, apa kata setelah anda berseronok di Lost World of Tambun, anda jejaki tempat-tempat yang menarik ini?

Salmi

Salmi loves spending time in hostels, mingling with travellers from all over the world. She draws her inspiration from her father who used to take her travelling on bumpy back roads instead of highways. There, she learnt how to talk with strangers and where to find the best street food. When she’s not out and about, she writes, cooks and reads.

Share
Published by
Salmi

Recent Posts