Apabila kita berbicara soal pelancongan atau roadtrip ke Ipoh, topik makanan pasti menjadi satu topik yang hangat! Mana taknya, kita semua dikelilingi dengan pelbagai legasi kulinari negeri Perak seperti Old Town White Coffee, Rendang Tok dan Nasi Ayam Taugeh yang amat terkenal di serata Malaysia.

Kali ini, Tripzilla Malaysia telah menghimpunkan 10 tempat makan halal di Ipoh yang menghidangkan makanan-makanan tradisi Perak. Jom baca senarai ini dengan lebih lanjut!

1. Nasi Ganja di Kedai Kopi Yong Suan

Image credit: CHAM AIS Official Facebook

Juga dikenali sebagai Nasi Kandar Ayam Merah, restoran yang terletak di Kedai Kopi Yong Suan ini wajib dicuba. Gelaran Nasi Ganja diberikan oleh pemilik perniagaannya untuk menjadikannya lebih viral dan ia amat wajar kerana keenakannya memang tiada tandingannya!

Dan yang paling istimewanya, anda tidak perlu susah-susah beratur panjang jika anda memutuskan untuk makan di sini. Pilih sahaja sebuah meja dan pelayan akan datang untuk mengambil pesanan Nasi Ganja anda, yang terdiri daripada nasi putih, ayam goreng, telur masin, bendi, timun, kuah kari banjir dan sambal Ganja chutney istimewa!

2. Dimsum Halal di Greentown Dimsum Cafe

Image credit: Dimsum Greentown Official Facebook

Sebut sahaja Ipoh, pasti Dimsum yang masyarakat tempatan akan sarankan! Hidangan yang terkenal di serata dunia ini terdiri daripada pau kukus, ladu siewmai dengan pelbagai inti, tart telur, kulit tauhu goreng dan banyak lagi!

Kebanyakan masyarakat Cina Ipoh akan ke Foh San, Ming Court dan Hong Xing untuk menikmatinya tetapi bagi anda yang beragama Islam, Greentown Dimsum Cafe ialah jawapannya!

Tip: Dimsum selalunya dinikmati ketika waktu sarapan dan makan tengah hari. Jadi, kami sarankan anda datang ke sini pada pukul 8 am-12 pm!

3. Nasi Ayam Taugeh di Ipoh Hainan Chicken Rice, Jalan Raja Musa Aziz

Image credit: Ipoh Hainan Chicken Rice Official Instagram

Nga Choi Kai Fan atau Nasi Ayam Taugeh ialah hidangan istimewa yang berasal dari bandaraya ini, di mana ayam yang direbus (poached) sehingga lembut digandingkan dengan tauge rebus, sos cili-halia, sup dan nasi ayam.

Ipoh Hainan Chicken Rice ialah antara restoran yang cukup terkenal dengan hidangan ini, yang menawarkan dua pilihan iaitu Roasted Chicken dan Steamed Chicken. Terdapat juga lauk lain seperti Lemon Chicken, Beef Dry Chili & Cashew Nut dan Stir-fried Kailan.

Tip: Taugeh yang dihasilkan di Ipoh sememangnya amat berbeza dan besar-besar belaka, jadi anda mesti memesan hidangan sampingan tauge rebus yang cukup istimewa ini!

4. Sarapan ala kopitiam di Restoran New Hollywood

Image credit: Tourism Malaysia Official Instagram

Ini antara pilihan yang paling jarang ditemui di Malaysia: kopitiam Cina yang halal! Restoran New Hollywood ialah satu-satunya kopitiam yang pork-free dan menggunakan bahan-bahan yang disahkan halal. Di sini, anda dapat menikmati Chee Cheong Fun, Cakoi, Mi Wantan, Char Koay Teow, Roti Bakar, Mi Kari dan Nasi Lemak. Memang benar-benar authentic!

Tip: Disebabkan populariti kopitiam ini, kami sarankan agar anda datang seawal 7 pagi untuk bersarapan di sini!

5. Pastri tradisional di Noor Jahan Bakery

Image credit: ipohcityawesome

Selepas bersarapan di New Hollywood, anda bolehlah ke Noor Jahan Bakery untuk mendapatkan aneka pastri tradisional yang dibakar segar setiap pagi. Bakeri ini ialah bakeri yang tertua di bandaraya Ipoh, yang dibangunkan pada tahun 1902 oleh datuk kepada Habib Rahiman.

Donat, biskut kelapa, roti kismis, roti kelapa, kek buah bakar dan banyak lagi dapat ditemui di sini. Memang sesuai untuk dijadikan buah tangan apabila anda pulang dari bercuti!

6. Laksa Telur Goreng Bersarang di Kafe Setinggan

Image credit: Laksa Telur Goreng Bersarang Official Facebook

Kalau anda sudah biasa sangat makan Laksa, apa kata anda cuba Laksa Telur Goreng Bersarang yang amat terkenal di serata negeri Perak ini? Telur dadar yang digoreng sehingga garing dan kenyal menggantikan telur rebus yang kebiasaannya menjadi topping hidangan itu.

Digandingkan dengan kuah laksa pedas dan masam yang diperbuat daripada ikan temenung belaling segar, anda pasti mahu tambah satu lagi telur goreng sarang itu!

7. Kari Kepala Ikan dan Nasi Biryani Ayam Anarkali di Restoran M. Salim

Image credit: RESTORAN M.SALIM IPOH Official Facebook

Bagi peminat hidangan kari kepala ikan, anda perlu datang ke Restoran M. Salim beramai-ramai untuk menikmati signature dish mereka ini! Bukan sahaja kari kepala ikan, malah ramai yang mengatakan restoran ini ialah antara restoran yang menghidangkan kari yang terenak di seluruh Ipoh.

Satu lagi makanan yang terkenal ialah Nasi Biryani Ayam Anarkali. Ayamnya yang dimasak bersama nasi amat lembut, manakala, beras Anarkali yang terkenal di serata dunia membuatkan hidangan ini amat istimewa. Ditambah pula dengan ‘Sambal Salim’ yang diperbuat daripada pes cili, kelapa dan rempah ratus, anda pasti akan teringat-ingat tentang hidangan ini!

8. Cendol di Deen CT Corner Cendol

Image credit: Ipoh Trip 怡保之旅 Official Facebook

Setelah puas berjalan-jalan di sekitar Ipoh, anda mestilah tidak boleh lupa untuk menjamu cendol di tepi jalan! Deen CT Corner ialah warung cendol kegemaran penduduk Ipoh yang sentiasa dikunjungi lebih-lebih lagi dalam cuaca yang panas.

Dengan harga cendol yang bermula pada harga RM2, anda kemudian boleh memilih beberapa jenis topping seperti kacang merah, jagung dan pulut. Dengan resepi gula merah yang istimewa, patutlah warung ini sudah beroperasi selama lebih daripada 20 tahun!

9. Makanan Laut di Mee Udang & Ketam Sempoiii Diraja

Image credit: Mee Udang & Ketam Sempoiii Diraja Official Facebook

Restoran yang dibuka pada tahun 2011 ini semakin hari semakin mendapat tempat di hati penduduk Ipoh! Dengan pilihan seperti udang kara, udang harimau, udang laut kertas, sotong dan ketam, peminat makanan laut pasti ingin berkunjung ke sini.

Terdapat lauk seperti Lobster Salted Egg dan Siakap Tiga Rasa tetapi, kami sarankan anda mencuba signature dish Mee Udang Ketam dan Ultimate Mee Lobster yang benar-benar berbaloi!

Tip: Jika anda mahu ke sini sewaktu hujung minggu atau cuti awam, sila buat tempahan terlebih dahulu.

10. Hidangan Cina Peranakan Halal di Assam House Restaurant

Image credit: ASSAM HOUSE Restaurant Official Facebook

Bagi anda yang sukakan masakan Cina Peranakan, kami akui memang sukar untuk menemui restoran yang dijamin halal dan authentic. Di Assam House Restaurant, anda boleh menikmati pelbagai hidangan Baba-Nyonya yang terkenal seperti Nyonya Curry Assam Grouper Fish Fillet, Nyobas Coriander Bamboo Prawn, Kapitan Chicken, Western Butter Prawn dan sebagainya!

Tip: Disebabkan saiz hidangannya yang besar, restoran ini amat sesuai untuk yang datang dengan keluarga atau berkumpulan. Anda pasti akan menjamu besar di sini!

Jadi, sudahkah anda merancang untuk berkunjung ke Ipoh? Gunakan senarai ini dan jangan ragu-ragu untuk menikmati makanan tradisi yang halal dan enak di sini!

Baca lagi: 9 Tempat Menarik Yang Anda Perlu Lawati Di Ipoh

Salmi

Salmi loves spending time in hostels, mingling with travellers from all over the world. She draws her inspiration from her father who used to take her travelling on bumpy back roads instead of highways. There, she learnt how to talk with strangers and where to find the best street food. When she’s not out and about, she writes, cooks and reads.

Share
Published by
Salmi

Recent Posts