Setiap kali saya berbual dengan pelancong dan backpackers dari luar negara, mereka pasti akan mengatakan bahawa Kepulauan Borneo ialah tempat tercantik di seluruh Asia Tenggara. Malah, ada juga yang datang dari jauh hanya untuk melawati tempat ini dan salah satu negeri yang sering disebut-sebut ialah Sabah, Negeri di Bawah Bayu!

Sabah bukan sahaja terkenal dengan tarikan semula jadi, malah adat budayanya juga ialah salah satu faktor mengapa pelancong ingin berpusu-pusu ke sini. Kepercayaan masyarakat tempatan yang amat terikat dengan alam semula jadi membuatkan pelancong tertarik untuk mempelajari budaya ini.

Jadi, kami telah menghimpunkan 14 jenis aktiviti menarik yang boleh dilakukan di Sabah lebih-lebih lagi bagi pencinta alam semula jadi!

Baca lagi: 9 Tempat Menarik Yang Anda Perlu Lawati Di Ipoh Selain Lost World Of Tambun

1. Jalan-jalan di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu

Image credit: Jesselton Artisan Market Official Facebook

Bandaraya Kota Kinabalu ialah titik permulaan yang baik untuk memahami sejarah Sabah. Luangkan satu hari untuk menerokai tapak-tapak bersejarah seperti Padang Merdeka, Atkinson Clock Tower, Gaya Street, Filipino Market, Australia Place dan Sabah Museum.

Jika anda bernasib baik, anda berpeluang melawati Jesselton Artisan Market yang diadakan setiap dua bulan sekali di Riverson The Walk. Ataupun sambut Pesta Kaamatan 2019 yang baru sahaja dilancarkan pada 1 Mei yang lepas!

2. Lihat pemandangan cantik di Kota Kinabalu City Mosque

Image credit: Eddie Fung

Sama ada ketika matahari terbit atau terbenam, Kota Kinabalu City Mosque menjadi pilihan utama bagi yang gemar melawati tempat-tempat suci dan menangkap gambar pemandangan landskap!

3. Mendaki Gunung Kinabalu yang penuh bersejarah dan lagenda

Image credit: Stéphane Enten

Terletak 2 jam dari Kota Kinabalu, Gunung Kinabalu ialah gunung tertinggi di Malaysia (4,095 meter) dan salah satu Tapak Warisan Dunia UNESCO di sini. Namanya berasal daripada Aki Nabalu, penjaga gunung itu yang juga merupakan anak Tuhan Kinorohingan.

Jadi, jika anda bercadang untuk mendaki gunung ini, jangan lupa untuk turut menghayati dan menghormati sejarah tempat kebanggaan masyarakat Sabah ini!

4. Atau pergi ke Gunung Trusmadi untuk pendakian yang lebih mencabar!

Image credit: Mount Trusmadi Official Facebook

Gunung Trusmadi merupakan gunung kedua tertinggi (2,642 meter) di sini yang menawarkan pendakian yang lebih ekstrim dan sukar berbanding Gunung Kinabalu.

Anda perlu mendaki banyak batu halangan yang tinggi menegak dan tidak rata dalam kegelapan malam, hanya dengan bantuan tali yang disediakan di situ. Tetapi, setelah anda tiba di puncak, anda dapat melihat puncak Gunung Kinabalu yang terletak di sebalik lapisan awan tebal!

5. Berdiri di The Tip of Borneo, Kudat

Image credit: Lincoln

The Tip of Borneo terletak sejauh 215 kilometer dari Kota Kinabalu di daerah Kudat, yang merupakan daerah paling utara di Kepulauan Borneo. Juga dikenali sebagai Tanjung Simpang Mengayau, ia merupakan tempat di mana Laut China Selatan bertembung dengan Laut Sulu.

Di sini, anda juga boleh bersantai di Pantai Kalampunian dan melawati rumah panjang masyarakat Rungus.

6. Mandi-manda di ‘mud volcanoes’ Survivor Island yang masih aktif!

Image credit: 1 Tour & Adventure Sdn Bhd 沙巴一号旅行社 Official Facebook

Dah bosan mandi air pantai? Cuba mandi lumpur pula di Survivor Island!

Juga dikenali sebagai Pulau Tiga, Survivor Island dinamakan sempena rancangan TV ‘Survivor’ yang pernah menjalankan penggambaran di sini. Pulau ini dipercayai terbentuk ketika gempa bumi yang melanda negara Filipina pada tahun 1897.

Di sini, anda akan menemui kolam mud volcanoes aktif dengan lumpur yang membuak-buak dari perut bumi. Jadi, bagi anda yang inginkan spa semula jadi di tengah-tengah hutan, inilah jawapannya!

7. Melihat haiwan liar di Sepilok, Sandakan

Image credit: Bernard DUPONT

Perjalanan anda ke Sabah tidak lengkap tanpa melihat hidupan liar seperti orang utan dan beruang madu. Di Sepilok Orangutan Rehabilitation Centre dan Bornean Sun Bear Conservation Center, orang utan dan beruang madu yang tercedera dan terbiar akan dipelihara dengan sebaik-baiknya sebelum dilepaskan ke habitat mereka. Anda boleh melihat mereka bermain dan makan di sini!

8. Mulakan ekspedisi jungle-trekking terhebat di Maliau Basin Conservation Area

Image credit: sunriseOdyssey

Juga digelar Sabah’s Lost World, Maliau Basin Conservation Area ialah hutan belukar impian anda yang gemar akan jungle-trekking!

Terletak di daerah Tawau, hutan tebal yang berbentuk bulat seperti besen air ini berukuran sebesar 58,840 hektar dan merupakan habitat untuk lebih daripada 2,000 jenis flora dan fauna. Di sini, anda akan melakukan pakej pendakian 5H4M yang cukup ekstrim, melihat hidupan liar, dan juga menyaksikan Air Terjun Tujuh Tingkat Maliau Falls yang ikonik!

9. Lihat hidupan liar dengan Kinabatangan River Cruise Tour

Image credit: madrigar

Jika anda berminat untuk melihat hidupan liar di sekitar kawasan sungai, Sungai Kinabatangan yang merupakan sungai kedua terpanjang di Malaysia ialah jawapannya. Di sini, anda dapat melihat pelbagai spesis haiwan seperti Pygmy Elephant, Proboscis Monkey, Hornbill dan banyak lagi!

10. Menyelam di Pulau Sipadan

Image credit: Bernard DUPONT

Terletak di daerah Semporna, Pulau Sipadan ialah pilihan utama pengunjung yang gemar akan aktiviti menyelam! Antara tapak menyelam di sini ialah Barracuda Point, Coral Garden, Lobster Lair, Staghorn Crest, Turtle Cavern dan banyak lagi. Anda dapat melihat spesis hidupan marin seperti Grey Reef Shark, Barracuda, Bumphead Parrotfish dan Manta Rays.

11. Menginap di chalet atas air Pulau Mabul

Image credit: Irwandy Mazwir

Terletak berdekatan dengan Pulau Sipadan, Mabul Water Bungalows cukup terkenal dengan banglo dan chalet atas airnya! Anda berpeluang bersantai di spa, mandi-manda di kolam renang, jacuzzi dan pantai serta menyelam dan snorkeling di pulau berderkatan.

12. Mendaki di Pulau Bohey Dulang untuk pemandangan yang menakjubkan

Image credit: Pacific Disaster Center

Pulau Bohey Dulang merupakan sebahagian daripada Tun Sakaran Marine Park yang terdiri daripada 8 buah pulau. Di sini, anda boleh mendaki ke Bohey Dulang Peak (353m) untuk melihat pemandangan lagun yang cantik dan melawati perkampungan masyarakat Bajau Laut berdekatan.

13. Lihat kecantikan semula jadi Columnar Basalt di Kampung Balung Cocos

Image credit: Mem Umie Jalan-Jalan Official Facebook

Columnar Basalt ialah pembentukan batu dari aliran lava gunung berapi yang telah membeku. Pembentukan di Kampung Balung Cocos,Tawau ini ialah satu-satunya pembentukan di seluruh Malaysia yang anda perlu saksikan!

14. Jungle-trekking dan mandi air terjun di Tawau Hills Park

Image credit: Mem Umie Jalan-Jalan Official Facebook

Jika ekspedisi jungle-trekking di Maliau Basin terlalu sukar untuk tahap kecergasan anda, Tawau Hills Park ialah alternatif yang boleh anda kunjungi! Sesuai untuk semua jenis pendaki, anda berpeluang untuk mandi-mandi di Air Terjun Bukit Gelas di sini, mendaki ke Bukit Bombalai, berkhemah, berpiknik dan juga melihat antara pokok tropikal tertinggi di dunia!

Apa yang anda tunggu lagi? Bagi pencinta alam semula jadi, Sabah ialah pintu masuk yang sempurna untuk anda memahami kecantikan Kepulauan Borneo, pulau ketiga terbesar di seluruh dunia! Jom ramai-ramai ke Sabah!

Baca lagi: 19 Perkara Menarik Yang Anda Perlu Lakukan Di Pulau Pinang

Salmi

Salmi loves spending time in hostels, mingling with travellers from all over the world. She draws her inspiration from her father who used to take her travelling on bumpy back roads instead of highways. There, she learnt how to talk with strangers and where to find the best street food. When she’s not out and about, she writes, cooks and reads.

Share
Published by
Salmi

Recent Posts