Bagi pencinta alam di Malaysia, Pahang mungkin sudah lazim dilawati kerana tarikan semula jadinya yang terpelihara rapi seperti Taman Negara Pahang, Cameron Highlands dan Pulau Tioman. Tetapi, bagi kebanyakan destinasi percutian, terdapat pelbagai tarikan lain yang masih belum diterokai oleh pengunjung sepenuhnya. 

Seperti yang anda dapat bayangkan, saiz Pahang yang terbesar di Semenanjung Malaysia menjadikan landskap negeri ini amat luas – perkampungan lama yang penuh kehijauan, hutan yang tebal, sungai dan pantai yang cantik serta kawasan tanah tinggi yang sejuk. 

Anda tidak akan dapat melihat kecantikan Pahang dalam satu perjalanan sahaja, tetapi anda boleh menerokai tarikan utama yang berbeza-beza setiap kali anda memutuskan untuk ke sini. Sebagai inspirasi, kami telah menghimpunkan 16 tempat menarik yang anda perlu lawati di Pahang untuk percutian yang benar-benar akan membuka mata anda!

1. Lihat bangunan kolonial dan burung bermigrasi di Fraser’s Hill, Raub

Image credit: Fraser Hill Official Website

Digelar ‘Little England of Malaysia’, Fraser’s Hill ialah kawasan tanah tinggi yang masih terpelihara daripada pembangunan pesat yang boleh dilihat di Cameron Highlands, Genting Highlands dan Bukit Tinggi. Maka, anda akan benar-benar menikmati suasana tenang seperti di perkampungan Inggeris. 🏡🌲

Terdapat beberapa aktiviti yang menerima sambutan pengunjung di sini seperti memerhati pelbagai burung bermigrasi di Bird Interpretive Centre, menginap di rumah tetamu ala Inggeris, ‘jungle-trekking’ menggunakan trail terkenal seperti Pine Hill Trail, mengayuh bot di Allan’s Water, dan menyertai ‘Pertandingan Mengenal Burung Antrabangsa Fraser’s Hill’. 🐦

2. Hayati alam semula jadi di Taman Negara Pahang, Jerantut

Image credit: Mohd Fazlin Mohd Effendi Ooi

Taman Negara Pahang ialah tarikan semula jadi yang paling terkenal di negeri ini kerana ia merupakan hutan hujan tropika yang tertua di dunia! Anda boleh berjalan di titian kanopi untuk menghayati spesis flora dan fauna di sekeliling, melawati perkampungan orang Asli, merentasi Sungai Tembeling yang tenang dan jika anda seorang penggemar adrenalin tegar, anda juga boleh mendaki Gunung Tahan (2,187 meter) di sini!

3. Mandi-manda di Chamang Waterfall, Bentong

Image credit: chee.hong

Selain menyejukkan badan di kawasan tanah tinggi, pengunjung juga boleh melawati Chamang Waterfall yang terletak kira-kira satu jam dari Bukit Tinggi. Terdapat tempat perkhemahan dan tandas di sini, jadi anda boleh mandi-manda, BBQ, berpiknik dan nikmati pemandangan yang cantik dengan selesa. Jangan lupa untuk menjaga kebersihan tempat ini!

4. Lihat tarikan terbaru di Genting Highlands

Image credit: Cecil Lee

Genting Highlands bukan sekadar kasino sahaja!

Anda boleh bermain permainan berkonsepkan ‘virtual-reality’ di The Void, bergembira di taman tema tertutup Skytropolis Funland yang baru sahaja dibuka, melihat tarikan istimewa dan pelik di Ripley’s Believe It or Not! Adventureland, membeli-belah di Genting Highlands Premium Outlets, melihat SkySymphony Light & Sound Show di SkyAvenue Mall, dan bawa anak-anak anda menginap di Theme Park Hotel yang cantik! 🎡🎡🎡

5. Glamping di tengah-tengah kehijauan Bentong

Image credit: Caravan Serai Bentong Official Instagram

Mahukan percutian yang benar-benar tenang dan jauh dari kesibukan pelancong? Kita pergi glamping-lah pulak! Bentong memang terkenal dengan konsep percutian ini, dengan Canopy Villa, Sailor’s Rest Resort, Caravan Serai dan Saujana Janda Baik Homestay sebagai pilihan utama pengunjung.

6. Lawati perkampungan ala Perancis di Bukit Tinggi, Bentong

Image credit: Pakej Percutian Official Facebook

Jika Fraser’s Hill dikenali sebagai ‘Little England’, Bukit Tinggi pula mempunyai Colmar Tropicale French Village yang membolehkan anda melihat seni bina Eropah lama! Selain itu, anda boleh menjamu selera di restoran dan bakeri Perancis, bersiar-siar di Japanese Village sambil memakai kimono dan menikmati layanan terbaik di Tatami Spa.

7. Pelajari sejarah industri bijih timah di Muzium Sungai Lembing

Image credit: Department of Museums Malaysia Official Website

Pada suatu masa dahulu, Sungai Lembing merupakan bandar yang amat kaya dengan hasil bijih timah dan ia juga mempunyai lombong bijih timah bawah tanah terbesar di dunia. Dikenali sebagai ‘El-Dorado of the East’, sejarah Sungai Lembing boleh dihayati dengan lebih lanjut di Muzium Sungai Lembing, di mana anda boleh mempelajari tentang asal-usul bandar ini, proses, kaedah dan alatan perlombongan, jenis-jenis batu dan permata serta banyak lagi!

8. Lihat pemandangan matahari terbit di Bukit Panorama, Sungai Lembing

Image credit: Kokwei

Bergantung pada cuaca, anda mungkin berpeluang untuk menyaksikan pemandangan matahari terbit yang indah di Bukit Panorama. Pendakian yang bertahap sederhana ini akan mengambil masa kira-kira 45 minit dan anda dapat melihat karpet awan yang mengagumkan dari jarak ketinggian 295 meter. ☁️☁️☁️  

9. Lawati gua batu kapur dan tempat suci di Gua Charas, Kuantan

Image credit: Pahang Darul Makmur Official Facebook

Gua Charas terletak di dalam gua batu kapur yang dikatakan sudah terbentuk semenjak berjuta-juta tahun dahulu dan merupakan tempat tinggal manusia zaman purba. Dan yang paling istimewanya, ia juga merupakan tempat suci bagi ajaran Taoisme, Buddhisme dan Hindu.

Setelah mendaki gua ini dengan menggunakan tangga yang disediakan, anda akan menemui patung-patung suci seperti ‘The Sleeping Buddha’, pembentukan batu yang menyerupai Dewi Guan Yin, dan patung Tuhan Shiva.

10. Bersantai dan makan-makan di Teluk Cempedak, Kuantan

Image credit: Pantai Teluk Cempedak Official Facebook

Selain Pulau Tioman, destinasi pantai yang menjadi pilihan penduduk tempatan ialah Teluk Cempedak. Lokasinya yang terletak hanya 5 kilometer dari bandar Kuantan membuatkan tempat ini amat mudah dikunjungi orang ramai. 

Dengan aktiviti air yang berbagai-bagai, aneka restoran makanan segera dan gerai, laluan pejalan kaki sepanjang pantai, dan kemudahan asas seperti tandas, surau dan bilik mandi, Teluk Cempedak ialah tempat yang sesuai untuk anda beristirahat di Kuantan.

11. Nikmati Ikan Patin Masak Tempoyak di Akob Patin House, Kuantan

Image credit: akobpatinhouse_kuantan Official Instagram

Sebelum menuju ke Teluk Cempedak, anda mestilah singgah makan tengahari di Akob Patin House yang menyediakan Ikan Patin Masak Tempoyak. Hidangan ini ialah salah satu makanan tradisi masyarakat di Pahang, lebih-lebih lagi di bandar Temerloh. Digandingkan dengan nasi putih panas, daging salai masak lemak, ulam-ulaman, dan sambal belacan, anda tentu mahu tambah satu pinggan lagi! 😋

12. Turtle-watching di Cherating Turtle Sanctuary, Kuantan

Image credit: Andrew

Tahukah anda bahawa selain popular sebagai destinasi untuk mandi-manda dan meluncur, Cherating juga ialah tempat terpenting untuk pemeliharaan spesis penyu di Pahang? Di Cherating Turtle Sanctuary yang dikendalikan oleh Jabatan Perikanan Malaysia, anda dapat belajar mengenai haiwan reptilia ini, menyertai program turtle-hatching, dan melihat anak-anak penyu di dalam kolam. 

Tip: Bulan Mei-September ialah masa yang terbaik untuk melawati tempat ini kerana ia musim bertelur bagi penyu-penyu ini.

13. Sertai ‘Firefly Tour’ di Cherating, Kuantan

Image credit: Holiday Villa Beach Resort & Spa Cherating Official Facebook

Melihat cahaya yang dihasilkan oleh kunang-kunang pada waktu malam ialah suasana yang semakin jarang dapat dirasai, lebih-lebih lagi yang belajar dan bekerja di tengah-tengah hutan konkrit.

Dengan ‘Firefly Tour’, anda akan dibawa ke beberapa tempat untuk melihat kunang-kunang dengan sebuah bot. Jadi, sama ada anda datang bersama anak-anak atau pasangan, pengalaman ini pasti tidak akan dapat dilupakan, seolah-olah menyaksikan pokok Krismas yang terang-benderang!

14. Mendaki di Air Terjun Berkelah 7 Tingkat, Maran

Image credit: Asiabananas Official Facebook

Terletak di dalam Hutan Lipur Berkelah, anda perlu mendaki dari satu tingkat ke satu tingkat yang lain untuk tiba di Air Terjun Berkelah 7 Tingkat ini. Pendakian akan mengambil masa kira-kira dua jam dan setelah tiba, anda akan menyaksikan suasana air terjun yang cantik berketinggian 50 meter ini.

Bagi sesiapa yang tidak mahir berenang, anda dinasihatkan supaya tidak mandi di tingkat teratas ini kerana airnya agak dalam. Sebaliknya, anda boleh mandi-manda, bersantai dan berpiknik dengan selamat di tingkat-tingkat yang lain.

15. Lawati ‘Pekan Bandar Diraja’

Image credit: Warisan Melayu Pahang Official Facebook

Pekan, yang sering digelar ‘Pekan Bandar Diraja’, pernah dianggap sebagai ibu negeri Pahang seawal abad ke-13. Percutian anda ke Pahang tidak lengkap tanpa melawati bandar yang kaya dengan tempat-tempat bersejarah ini seperti Istana Abu Bakar, Sultan Abdullah Mosque Museum, Royal Pahang Silk Weaving Centre dan 1929 Chief’s Rest House Pekan.

16. Nikmati percutian tropikal di Pulau Tioman, Rompin

Image credit: Juska Wendland

Akhir sekali, untuk percutian tropikal yang teristimewa, anda perlulah menuju ke Pulau Tioman! Di sini, anda berpeluang untuk mendapatkan lesen Open Water Diver (PADI), snorkeling dan menyelam di Salang, ‘jungle-trekking’ di Kampung Tekek, mandi-manda di Pantai Paya atau terokai Pantai Nipah yang tersembunyi.🌊🌴🌞

Jadi, apa yang anda tunggu lagi? Tapak-tapak yang mesra alam serta warisan budaya yang kekal terpelihara di negeri Pahang pasti akan memaut hati anda. Rancang perjalanan anda untuk ke sini dan jejaki tempat-tempat yang menarik ini!

Salmi

Salmi loves spending time in hostels, mingling with travellers from all over the world. She draws her inspiration from her father who used to take her travelling on bumpy back roads instead of highways. There, she learnt how to talk with strangers and where to find the best street food. When she’s not out and about, she writes, cooks and reads.

Share
Published by
Salmi

Recent Posts