48 jam di Melaka memang takkan pernah mencukupi! Nak melawat pelbagai tempat bersejarah seperti Porta de Santiago, menonton teater Encore Melaka, ber-OOTD di Kiehl’s Wall Mural dan meluncur pasir di Klebang lagi! Bagaimana pula dengan suasana matahari terbenam di Masjid Terapung Selat Melaka? Ini semua keputusan yang anda perlu lakukan!

Bagi saya, makanan juga ialah salah satu dorongan utama untuk berkunjung ke sini. Jika anda sudah tidak sabar untuk food-hunting, jom lihat senarai tempat makan terbaik yang amat sinonim dengan Melaka!

Baca lagi: 13 Tempat Menarik Yang Anda Perlu Lawati Di Melaka Selain Jonker Street

Hari Pertama

1. Sarapan klasik di Roti Canai Kayu Arang

Image credit: Roti Canai Kayu Arang Official Facebook

Mulakan hari anda di Roti Canai Kayu Arang seawal pukul 7 pagi. Di sini, sarapan kegemaran rakyat Malaysia dibakar di atas kayu arang yang memberikannya bau dan rasa yang istimewa.

Antara menu roti yang paling popular ialah Roti Canai, Roti Nanchos (roti canai dengan topping ayam cincang, lada benggala, kobis merah, sos keju dan mayonis), dan Roti Dol (roti canai dengan dua biji telur mata separuh masak dan kuah dhal-sambal tumis banjir). Terdapat juga Nasi Lemak Kukus dengan aneka lauk seperti Rendang Kerang, Sate dan Lontong yang turut popular. Ingat, datang seawal yang boleh kerana tempat ini sentiasa sibuk!

2. Makan tengah hari di Jonker 88

Image credit: Nak makan mana Official Facebook

Restoran Jonker 88 bukan sahaja menawarkan makanan yang enak, malah reka bentuk dalamannya yang antik akan membuatkan anda seolah-olah sedang menjamu di dalam muzium! Di sini, anda perlu memilih tempat duduk, kemudian terus ke bahagian belakang untuk memesan makanan secara sistem layan diri.

Nyonya Assam Laksa dan Baba Laksa ialah hidangan paling istimewa di restoran ini. Nyonya Assam Laksa datang dengan kuah yang masam pedas dan bahan sampingan seperti udang, telur rebus, fucuk goreng, bebola ikan, hirisan timun dan bawang. Manakala, Baba Laksa datang dengan kuah laksa bersantan dengan bahan sampingan yang sama.

Jonker 88 juga menyediakan cendol tetapi saya ada rekomendasi yang lebih baik iaitu Cendol Kampung Hulu! 👇👇👇

3. Hilangkan haus di Cendol Kampung Hulu, Malacca River

Image credit: Cendol Kampung Hulu Official Facebook

Cendol Bingsu ala Korea? Yassss 🙌 Pemilik tempat ini menggunakan mesin ais bingsu Korea khas untuk menghasilkan cendol yang terbaik untuk anda! Yang paling istimewanya, bukan ais kosong tetapi santan beku yang digunakan untuk asas cendol di sini. Dengan topping aiskrim kelapa buatan sendiri dan aneka buah tambahan seperti longan, mangga, buah naga merah dan durian, ini pasti cendol tersedap, berbaloi dan paling Insta-worthy yang anda pernah cuba!

4. Atau lawati Calanthe Art Cafe bagi peminat tegar kopi!

Image credit: calantheartcafe Official Instagram

Jika anda merancang untuk singgah ke Starbucks sebaik sahaja anda tiba di Melaka, tolong jangan datang langsung! 😠

Calanthe Art Cafe yang terkenal dengan kopi tempatan ‘Malaysia 13 States’ Coffee’ ialah kafe yang paling sempurna buat penggemar kopi. Setiap ‘negeri’ mempunyai ciri-ciri dan kombinasi kopi tersendiri, jadi anda pasti akan rambang mata memilih minuman! Bukan itu sahaja, ‘art cafe’ ini mempunyai reka bentuk dalaman tradisional Cina yang cantik dan pelbagai karya seni juga dipamerkan di sini.

5. Cuba bebola nasi istimewa di Ee Ji Ban Chicken Rice Ball

Image credit: KL food critics Official Facebook

Nasi Ayam Hainan memang sedap tetapi Bebola Nasi Ayam Hainan lebih power! Ee Ji Ban Chicken Rice Ball ialah satu-satunya restoran halal di Melaka yang menawarkan hidangan ini, jadi harganya juga agak tinggi. Digandingkan dengan Steamed Chicken, Roasted Chicken serta aneka lauk Nyonya seperti Cili Garam Sotong dan Telur Dadar Cincalok, anda pasti takkan menyesal menjamu besar di sini!

6. Makan malam di Mukmin Ikan Bakar

Image credit: Melaka Daily Official Facebook

Melaka, ikan bakar dan tepi laut? Kombinasi yang paling tepat sekali! Akhiri malam pertama anda di Medan Ikan Bakar Crystal Bay dan terus menuju ke gerai Mukmin Ikan Bakar. Anda boleh menjamu pelbagai hidangan makanan laut seperti Ikan Pari Bakar Sambal, Siakap Tiga Rasa, Ketam Telur Masin, Udang Butter Cereal, Kerang Rebus dan banyak lagi!

Dan nak tahu satu lagi rahsia tradisi Melaka? Makan ikan bakar dengan Nasi Lemak! Ya, di gerai ini, mereka juga ada menghidangkan Nasi Lemak bungkus yang anda boleh nikmati bersama hidangan ikan bakar anda! 😋😋

Hari Kedua

7. Sarapan ‘Pandan Pancake with Gula Melaka’ di The Daily Fix Cafe

Image credit: The Daily Fix Cafe Official Facebook

Jika anda hanya boleh memilih satu sahaja kafe untuk dilawati di Melaka, anda perlu pergi ke The Daily Fix Cafe! Terletak di Jonker Street, kafe ini menyediakan pelbagai hidangan Western seperti all-day breakfast serta aneka pasta, kek dan penkek. Tetapi, menu yang anda perlu cuba di sini ialah Local Pandan Pancake yang dihidangkan dengan Gula Melaka dan Kelapa. Saya syorkan anda menambah topping aiskrim vanila untuk kepuasan yang maksima! 😂

8. Menjamu hidangan Cina Peranakan di Kocik Kitchen

Image credit: Cheras kia 趴趴走 Official Facebook

Lengkapkah percutian anda ke sini tanpa menikmati masakan Cina Peranakan Melaka? Kocik Kitchen merupakan antara restoran halal dan terbaik di seluruh Melaka yang menawarkan masakan ini. Antara menu makan tengahari yang patut dicuba ialah Ayam Buah Keluak, Assam Fish, Otak-Otak, Minced Meat Tauhu dan Telur Dadar Cincalok.

9. Minum Klebang Original Coconut Shake tepi pantai

Image credit: Klebang Original Coconut Shake Official Instagram

Selain Cendol, Melaka juga terkenal dengan coconut shake-nya yang viral sehingga kini! Sambil-sambil berseronok di Klebang Sand Dunes atau berpiknik di Pantai Klebang, anda bolehlah datang ke sini untuk minum petang! Terdapat juga kuih-muih Melayu, Nasi Lemak dan Beehoon bungkus untuk dinikmati bersama minuman anda.

10. Makan Roti John di Barkat Original Roti John Asli

Image credit: Melaka Bandaraya Bersejarah Official Facebook

Dah food coma ke belum? Kalau sudah, makan malam yang ringkas dan cukup enak ialah jawapannya! Apa yang unik sangat tentang Roti John ini ialah intinya yang terdiri daripada ikan bilis tumbuk, telur, cili dan daun parsli. Memang lain sangat dengan inti daging, mayonis dan sos cili yang sudah biasa kita makan, bukan? Patutlah ia sudah beroperasi selama lebih daripada 30 tahun!

11. Dan cuba Asam Pedas Pak Man dalam perjalanan pulang ke KL!

Image credit: ASAM PEDAS PAK MAN The Best In Town Official Facebook

Haaaa, yang ini memang tak boleh dilupakan! Asam Pedas di sini datang dengan pelbagai jenis ikan seperti jenahak, kembung, tenggiri, pari dan parang serta tetel. Disebabkan lokasinya yang jauh dari Bandaraya Melaka, saya syorkan anda singgah ke sini semasa perjalanan pulang ke KL. Asam Pedas Pak Man sememangnya penutup percutian anda ke Melaka yang sempurna!

Jadi, itu dia 11 tempat makan yang saya syorkan jika anda mempunyai 48 jam di Melaka! Tentu sekali, ada banyak lagi tempat yang perlu saya ceritakan kepada anda. Tapi, apa kata anda cuba kesemua ini terlebih dahulu? Selamat melawat Melaka 2019! 😁

Baca lagi: 21 Tempat Makan Yang Halal Dan Terbaik Di Sekitar Pulau Pinang

Salmi

Salmi loves spending time in hostels, mingling with travellers from all over the world. She draws her inspiration from her father who used to take her travelling on bumpy back roads instead of highways. There, she learnt how to talk with strangers and where to find the best street food. When she’s not out and about, she writes, cooks and reads.

Share
Published by
Salmi

Recent Posts