Bagi yang gemar untuk menerokai tempat-tempat makan yang best, anda pasti memilih untuk ke Pulau Pinang atau Perak. Kali ini, apa kata kita merancang untuk menjamu selera di Pahang pula? Negeri ini bukan sahaja terkenal dengan tarikan alam semula jadinya yang cantik, malah makanan tradisi dan antarabangsa di sini juga amat digemari pelancong! 

Kali ini, kami telah menghimpunkan 11 tempat makan halal di Pahang bagi anda yang sudah tidak sabar untuk food-hunting di sini. Jom lihat apa yang sedap sangat di Pahang!

1. Lemang dan rendang di Lemang To’ki, Bentong

Image credit: Go Bentong Official Website

Kalau ada yang bersedih Raya sudah hampir ke penghujungnya, jangan risau kerana Lemang To’ki menjual lemangnya sepanjang tahun! 😂 Restoran ini terkenal dengan deretan lemang buluhnya yang dibakar dengan arang dan digandingkan dengan rendang daging atau ayam. Selain itu, menu seperti ayam bakar dan daging bakar bersama kuah asam juga turut mendapat sambutan di sini!

Tip: Disebabkan popularitinya yang amat tinggi, kami cadangkan agar anda datang ke sini seawal pagi ataupun elakkan datang pada hari minggu!

2. Aiskrim di Cafe Kow Po, Bentong

Image credit: Go Bentong Official Website

Sesekali kalau ke Bentong, apa salahnya kalau kita makan aiskrim buatan tempatan, bukan? Di Cafe Kow Po yang telah beroperasi selama hampir 45 tahun ini, anda akan menemui aiskrim buatan sendiri yang terdiri daripada pelbagai perisa seperti durian, vanila, pandan, coklat dan jagung. Yang paling istimewanya, menu seperti air batu campur, cendol aiskrim dan banana split juga dihidangkan di sini! 🍦🍨🍌

3. Hidangan istimewa di Burger & Lobster Malaysia, Genting Highlands

Image credit: Burger and Lobster Malaysia Official Instagram

Aik, kenapa datang ke Pahang dan makan burger pula?! Haaa, kalau anda masih belum tahu, Burger & Lobster sebenarnya ialah sebuah restoran rangkaian dari London yang menyediakan aneka hidangan berasaskan lobster seperti The B&L Burger (burger campuran daging dan udang lobster), Chilli Lobster, dan Lobster Roll. Memandangkan restoran ini hanya terdapat di SkyAvenue Genting Highlands, anda perlu mencubanya jika anda ke sana! 🍔

4. Fish and Chips di The Laughing Fish by Harry Ramsden, Genting Highlands

Image credit: Ken Hunts Food Official Facebook

Bagi sesiapa yang pernah bercuti ke Britain, anda pasti bersetuju bahawa Fish and Chips ialah antara hidangan yang terenak di sana! Makanan tradisi masyarakat Inggeris ini memang mudah didapati di Malaysia, tetapi jika anda mahukan rasa yang paling asli, anda boleh menuju ke The Laughing Fish by Harry Ramsden, sebuah restoran rangkaian makanan segera dari Britain yang bertemakan Fish and Chips.

Seperti Burger & Lobster, satu-satunya cawangan Harry Ramsden’s di Malaysia hanyalah terdapat di SkyAvenue Genting Highlands. Jadi, jangan lepaskan peluang untuk menikmati hidangan tradisional Inggeris seperti Fish and Chips, Traditional English Fry-Up, Grilled Beef Bangers, dan Eton Mess.

5. Kari Kepala Ikan di Ratha Curry Fish Head, Raub

Image credit: Pahang My Hometown 我来自彭亨 Official Facebook

Raub bukan sahaja popular dengan Durian Musang King, tetapi juga dengan Kari Kepala Ikan yang ditawarkan di Ratha Curry Fish Head. Restoran ini merupakan tempat kegemaran penduduk tempatan untuk menikmati hidangan istimewa ini tetapi, ia juga menawarkan menu lain yang tidak kurang hebatnya seperti Ayam Varuval, Ayam Goreng, Lamb Chop Goreng, dan Kari Kambing!

6. Makanan tradisi Temerloh di Gobang Maju Patin Tempoyak, Temerloh

Image credit: Go’Bang Maju Patin Tempoyak Official Facebook

Ikan Patin tempoyak ialah makanan yang terkenal di seluruh Pahang, tetapi ia sebenarnya lahir di daerah Temerloh. Jika anda berpeluang untuk melawati daerah ini, Gobang Maju Patin Tempoyak ialah tempat yang terbaik untuk menjamu juadah seperti Gulai Patin Tempoyak, Pais Patin Tempoyak, Patin Goreng dan macam-macam lagi!

7. Gulai Asam Rong Ikan Kenerak di Z&Z Mak Anjang, Jerantut

Image credit: Kedai Mak Anjang Z&Z Official Instagram

Bagi yang lebih adventurous dalam misi mencari makanan tradisi Pahang yang asli, anda boleh ke Z&Z Mak Anjang di daerah Jerantut untuk menikmati Gulai Asam Rong Ikan Kenerak. Bahan utama untuk menyediakan hidangan ini ialah biji getah dan ia amat sesuai untuk anda yang hantu makanan pedas! 🌶️🌶️ Selain gulai, hidangan seperti Ikan Tenggalan Goreng Bawang Putih dan Pais Ikan Patin juga ada disediakan.

8. Pais Patin dan lauk kampung di Restoran MABIQ, Kuantan

Image credit: MABIQ Restaurant – Original

Untuk yang tidak berkesempatan atau berpeluang ke Temerloh, jangan risau kerana banyak restoran di Kuantan yang menyediakan hidangan ikan Patin tempoyak. Antara restoran yang mendapat sambutan hangat ialah Restoran MABIQ yang menawarkan aneka lauk kampung Pahang seperti Pais Patin, Gulai Patin Tempoyak, Daging Salai Masak Lemak, Daging Salai Masak Kicap, dan Sambal Bilis Tempoyak.

9. Pencuci mulut terbaik di Kula Cakes, Kuantan

Image credit: Kula Cakes Official Instagram

Setelah menjamu selera seperti raja, anda perlulah dapatkan pencuci mulut! Di Kula Cakes, aneka pencuci mulut seperti kek, pavlova, brownies, donat dan minuman panas seperti kopi boleh didapati di sini. Pilihan di sini akan membuatkan anda rambang mata, jadi kami syorkan antara menu kegemaran kami iaitu Mango Cheesecake, Burnt Cheesecake dan Nutella Bomboloni.🍰🍰🍰

10. Sata Ikan, Otak-Otak dan Celup Tepung di Warung Poksu dan Moksu, Kuantan

Image credit: Chef Zam Official Instagram

Kedudukan Pahang yang juga bersepadankan Terengganu membuatkan hidangan tradisi Terengganu amat mudah didapati. Siapa tidak kenal dengan ikan dan aneka makanan laut celup tepung yang amat popular? Di Warung Poksu & Moksu, anda boleh menikmati Ikan, Udang dan Sotong Celup Tepung, Keropok Lekor, Sata Ikan, Nasi Dagang dan banyak lagi!

11. Pencuci mulut istimewa di Puding Raja Icah Catering, Pekan

Image credit: Puding Raja ICAH Catering – Pekan Pahang Official Facebook

Puding Raja (juga dikenali sebagai Royal Pudding) ialah sejenis pencuci mulut yang secara tradisionalnya dihidangkan kepada keluarga diraja negeri Pahang. 

Berasal dari Pekan Bandar Diraja, puding ini terdiri daripada jala emas yang diperbuat dengan kuning telur dan bahan-bahan tabur seperti pisang lemak manis, buah prun, kacang gajus dan buah ceri. Kemudian, kuah puding vanila akan dituang ke atasnya. Untuk mencuba juadah istimewa ini, anda boleh ke Puding Raja ICAH Catering yang sudah lama mengusahakan perniagaan ini! 

Jadi, itulah dia 12 tempat makan terbaik yang kami syorkan jika anda berpeluang mengunjungi Pahang! Tentu sekali, ada banyak lagi tempat yang perlu kami ceritakan kepada anda. Tapi, apa kata anda ajak kawan-kawan untuk mencuba kesemua ini terlebih dahulu? 😋

Baca lagi: 16 Tempat Menarik Yang Anda Perlu Lawati di Pahang

Salmi

Salmi loves spending time in hostels, mingling with travellers from all over the world. She draws her inspiration from her father who used to take her travelling on bumpy back roads instead of highways. There, she learnt how to talk with strangers and where to find the best street food. When she’s not out and about, she writes, cooks and reads.

Share
Published by
Salmi

Recent Posts