Doha memang benar-benar seperti yang anda gambarkan – pesona keindahan masjid, kilauan keemasan padang pasir dan bangunan pencakar langit yang menjulang tinggi di sebalik bandar-bandar lama yang terpelihara cantik.

Lokasi Doha yang terletak di titik pertemuan Timur dan Barat menjadikannya satu destinasi transit yang popular bagi pelancong yang ingin ke Eropah atau Amerika Syarikat. Namun, kebanyakan pelancong terlepas peluang untuk menikmati kecantikan bandar Doha serta kesantunan dan layanan baik masyarakat Qatar.

Jika anda masih tidak percaya, mari kita tinjau 10 sebab mengapa anda patut merancang perjalanan stopover di Doha:

Sudah bersedia untuk ke Qatar? Dapatkan tawaran tiket penerbangan Qatar Airlines terhebat daripada WEGO!

1. Tapak Arkeologi Al-Zubarah akan membawa anda kembali ke waktu lampau

Al-Zubarah pernah menjadi pusat perdagangan antarabangsa dan juga tapak pencarian tiram mutiara di Semenanjung Arab pada abad ke-18. Bandar yang dikelilingi dinding kubu ini musnah pada tahun 1811 dan akhirnya ditinggalkan pada awal abad ke-20.

Sebelum kerja pemuliharaan dijalankan, keseluruh sisa tinggalan bandar ini yang terdiri daripada istana, masjid, kubu pertahanan, terusan air serta tanah perkuburan pernah tertanam di bawah pasir selama beratus-ratus tahun! Kini, Tapak Arkeologi Al-Zubarah ialah satu-satunya Tapak Warisan Dunia UNESCO di Qatar, dengan dua buah kubu iaitu Al-Zubarah Fort dan Qalat Murair Fort sebagai tumpuan pelancong. Anda pasti akan mendapat pengalaman yang unik kerana bandar ini ialah salah satu bandar pedagang yang paling terpelihara di dunia.

2. Mimpi menjadi kenyataan di Safari Padang Pasir

Image credit: (bottom left & bottom right) Regency Sealine Camp

Pengalaman anda di padang pasir tidak lengkap tanpa mencuba ‘Desert Safari’, sebuah aktiviti yang menjanjikan cabaran, eksplorasi serta saat-saat yang tak dapat dilupakan! Salah satu aktiviti ‘Desert Safari’ yang popular ialah ‘dune bashing’.

Anda akan dibawa merentasi padang pasir dengan kenderaan 4×4. Bagaikan menaiki roller coaster, anda tidak perlu risau kerana pemandu pelancong di sini amat berpengalaman!

Bagi yang inginkan aktiviti lebih lasak, anda boleh menyewa dune buggy ataupun melakukan sukan ekstrim seperti luncur pasir (sandboarding). Aktiviti santai seperti menunggang unta, berkhemah semalaman dan BBQ juga ada disediakan untuk pelancong. Jadi, jangan lepaskan peluang sekali seumur hidup ini!

3. Tapi, Doha bukan sekadar padang pasir sahaja!

Dinamakan sempena bekas tapak pencarian tiram mutiara di kawasan ini, The Pearl-Qatar merupakan sebuah pulau buatan manusia yang berkelas tinggi. Kapal-kapal layar, restoran, hotel, vila, resort pantai dan butik mewah antarabangsa dapat ditemukan di sini. Qanat Quartier, sebuah tempat yang dipenuhi dengan bangunan berwarna-warni dan dikelilingi terusan air ala-ala Venice juga terletak di The Pearl-Qatar. Anda pasti tidak mahu melepaskan peluang untuk mengambil gambar di sini!

4. Pelajari warisan ribuan tahun kesenian Islam di Museum of Islamic Art

Museum of Islamic Art akan mengagumkan anda dengan gaya seni bina dan reka bentuk Islam yang cantik. Arkitek muzium ini ialah Ieoh Ming Pei atau I.M. Pei, yang juga merupakan arkitek bagi piramid kaca di Louvre Museum di Perancis. Terletak di Doha Corniche, muzium ini ialah muzium yang terpenting di seluruh Qatar dan amat tersohor di pentas dunia, jadi jangan lepaskan peluang untuk melawatnya!

Karya kaligrafi, objek-objek penemuan saintifik Islam, manuskrip Al-Quran dari abad ke-7, barangan kaca serta kain-kain tekstil lama yang masih cantik walaupun telah dimakan zaman – semuanya dapat ditemukan di Museum of Islamic Art yang bercirikan futuristik ini. Warisan ribuan tahun sejarah Islam yang datang dari pelbagai negara seperti India, Mesir, Sepanyol dan Turki turut dihimpunkan dan dipamerkan dengan terperinci di sini.

5. Anda akan jatuh cinta dengan seni dan budaya di Katara Cultural Village

Image credit: (bottom left) Carros De Foc, (bottom right) Joe Chua Agdeppa

Suka akan buku, muzik atau fotografi? Katara Cultural Village ialah tempat yang dibina khas untuk penggemar seni dan budaya seperti anda! Perkampungan ala souq ini mampu membuatkan anda lupa bahawa anda berada di Doha yang sinonim dengan bangunan pencakar langit. Masjid Katara yang tersergam indah juga berpadanan dengan konsep seni bina perkampungan ini.

Anda boleh melihat artis-artis seni tempatan mempamerkan karya mereka di sini. Terdapat juga pusat teater, rumah opera, dan amfiteater berunsur Yunani-Roman yang sering menganjurkan festival-festival kebudayaan antarabangsa. Dengan kepelbagaian aktiviti di sini, anda pasti akan leka menikmati keindahan seni budaya tempatan masyarakat Qatar!

6. Berkayak dan snorkeling di khazanah semula jadi Al Thakira Mangroves Forest End

Image credit: AquaSports

Lokasi Qatar yang dikelilingi oleh perairan menjadikan ia destinasi terpenting di Timur Tengah untuk sukan air. Al Thakira Mangroves Forest End, yang terletak di bahagian utara Doha, ialah salah satu tempat yang makin mengundang ramai penggemar sukan lasak. Aktiviti utama di sini ialah berkayak di hutan paya bakau, snorkeling di pantai paya bakau, BBQ, melihat pemandangan matahari terbenam dan juga perkhemahan semalaman.

Namun, haruslah diingatkan bahawa Al Thakira Mangroves Forest End juga merupakan tempat pembiakan pelbagai spesis burung dan habitat hidupan marin dan hidupan liar. Jadi, jika anda ingin ke sini, ambillah langkah yang berjaga-jaga untuk memelihara tempat ini.

7. Beli-belah sambil bersantai di ‘Pasar Berdiri’ Souq Waqif

Souq Waqif, yang bermaksud ‘pasar berdiri’ dalam bahasa Arab, meriah dengan deretan kedai menjual barangan bercirikan budaya Arab seperti rempah ratus, barangan dapur, minyak wangi, hasil kraftangan dan kain tekstil. Restoran dan kafe yang menyediakan makanan tempatan dan antarabangsa juga turut ada di sini.

Namun, pasar yang berunsur modern dan tradisional ini bukan calang-calang pasar! Di Falcon Souq, anda dapat melawati deretan kedai yang menjual burung helang. Berburu dengan burung helang ialah tradisi lama masyarakat Qatar yang kini merupakan salah satu hobi terpenting dalam kalangan mereka. Burung helang amat disanjung tinggi sehinggakan terdapat sebuah hospital yang dinamakan Souq Waqif Falcon Hospital di sini!

8. Ia juga syurga bagi penggemar makanan Arab dan makanan antarabangsa

Image credit: (top) Pinay Flying High, (bottom left) Omar Chatriwala, (bottom right) La Cigale Hotel

Demografi Qatar yang berbilang bangsa telah menjadikan dunia gastronomi di sini kaya dengan pelbagai citarasa. Anda boleh memilih untuk berjuadah di deretan restoran di Pasar Souq Waqif yang menjual masakan tempatan dan juga masakan dari negara Iraq, Yaman, Syria, dan India.

Bagi yang mempunyai masa yang singkat di Doha, jangan lepaskan peluang untuk mencuba makanan tradisional Qatar seperti machboos (nasi berempah bersama kambing, ayam atau makanan laut) dan balaleet (bihun manis saffron bersama telur dadar).

Budaya makan ‘brunch’ juga amat sinonim dengan masyarakat Qatar, di mana pada setiap hari Jumaat, kebanyakan restoran di hotel-hotel mewah menyediakan set bufet ‘Friday Brunch’. Bagaikan hidangan untuk raja, perjalanan anda tidak lengkap tanpa mencuba ‘brunch’ di Doha!

9. Nikmati keindahan seni bina dan pemandangan waktu malam di Aspire Tower

Tempat yang terbaik untuk menikmati reka bentuk bandar Doha yang cantik ialah Aspire Tower (juga dikenali sebagai The Torch Doha). Sebuah hotel pencakar langit lima bintang, Aspire Tower merupakan bangunan tertinggi di Qatar dengan ketinggian 300 meter. Bangunan ini menjadi simbol Asian Games ke-15 yang dihoskan oleh Doha pada tahun 2006 dan bentuknya juga diilhamkan daripada obor Olimpik.

Pemandangan waktu malam dari Three Sixty, satu-satunya restoran berputar di Doha yang terletak di Tingkat 47, ialah antara aktiviti tumpuan pelancong yang popular di sini.  Bukan itu sahaja, keseluruh bangunan ini bermandi cahaya yang berwarna-warni pada waktu malam. Jadi, jika anda tidak bercadang untuk masuk, melihat Aspire Tower dari luar pun sudah memadai!

10. Lawati salah satu muzium persendirian yang terbesar di dunia

Image credit: Jenny Brown

Sheikh Faisal Bin Qassim Al Thani Museum ialah muzium yang paling unik di Doha. Dengan keluasan 500,000 meter persegi dan lima buah tapak pameran yang berbeza, muzium ini ialah salah satu muzium persendirian yang terbesar di dunia.  Sheikh Faisal Bin Qassim Al Thani merupakan seorang peniaga yang tersohor di Qatar dan beliau membuka muzium ini pada tahun 1998 untuk mempamerkan pelbagai jenis kereta antik, permaidani, duit lama, kesenian Islam dan seni warisan kebudayaan Qatar.

Muzium ini dibina demi menyampaikan hasrat beliau untuk berkongsi artefak-artefak yang dikumpul sepanjang pengembaraannya di serata dunia. Kini, sebanyak 600 buah kenderaan antik yang masih berfungsi dengan baik termasuklah kereta stim, trak dan limousin dipamerkan di sini. Tidak lupa juga deretan permaidani bercirikan Timur Tengah yang unik, duit-duit emas lama serta manuskrip Al-Quran yang masih terpelihara.

Jadi, apa yang ditunggu lagi? Tarikan bandar Doha yang terdiri daripada pelbagai aspek seperti seni bina, sejarah, alam semula jadi dan kepelbagaian bangsa menjadikan ia satu destinasi yang amat wajar diterokai. Jika anda berada dalam perjalanan ke Eropah atau Amerika Syarikat, singgah sebentar di Doha dan hayatilah budaya masyarakat di sana.

Untuk maklumat lanjut mengenai pelancongan di Qatar, layari laman web rasmi Qatar Tourism!


Artikel ini dibawa oleh WEGO

 

Salmi

Salmi loves spending time in hostels, mingling with travellers from all over the world. She draws her inspiration from her father who used to take her travelling on bumpy back roads instead of highways. There, she learnt how to talk with strangers and where to find the best street food. When she’s not out and about, she writes, cooks and reads.

Share
Published by
Salmi

Recent Posts