Panduan Lengkap Percutian ke Koh Lanta: Bersantai di Pulau Tersembunyi Krabi

Setelah meluangkan masa di Koh Lanta selama 2 bulan, kini tiba masanya untuk saya kongsikan panduan untuk anda bercuti di pulau tersembunyi daerah Krabi ini!

Selalunya jika kita bercakap tentang Krabi, pasti Ao Nang, Railay dan Koh Phi Phi yang muncul di fikiran. Tak ramai yang mengetahui tentang kecantikan dan ketenangan pulau Koh Lanta yang berukuran sepanjang 30km ini! 

Terletak di Lautan Andaman yang amat biru jernih, Koh Lanta terbahagi kepada dua iaitu Koh Lanta Yai dan Koh Lanta Noi. ‘Yai’ bermaksud besar manakala ‘Noi’ bermaksud kecil, dan Koh Lanta Yai ialah pulau yang paling membangun dari segi pelancongan. 

Jika anda masih belum tahu tentang pulau tersembunyi ini, baca panduan di bawah untuk mengenali Koh Lanta dengan lebih lanjut! 👇👇👇

Baca lagi: 6 Tips Untuk Melancong Jangka Panjang Dengan Bajet Terhad

Cara pergi ke Koh Lanta

Image credit: Ilya Phekhanov

Cara terbaik dan terpantas untuk ke Koh Lanta ialah dengan mengambil penerbangan dari Kuala Lumpur ke Krabi. Ia akan mengambil masa selama 1 jam 30 minit dan tiketnya berharga kira-kira RM100-RM200 sehala. 

Setelah tiba di lapangan terbang, terdapat dua cara untuk anda ke Koh Lanta:

Pertama, anda boleh menaiki van mini awam ke Koh Lanta pada harga 450 Baht (RM 60.06) sehala yang akan merangkumi dua ‘car ferry transfer’. Perjalanan ini akan mengambil masa selama 2 jam 30 minit hingga 3 jam. Anda boleh membeli tiket ini di terminal ketibaan lapangan terbang.

Tip: Pastikan anda memberi nama tempat penginapan ke pemandu van anda supaya tiada masalah komunikasi yang berlaku.

Image credit: Ko Lanta Official Website

Kedua, jika anda melawati Koh Lanta pada bulan November – April (‘peak season’), anda juga boleh menaiki feri awam dari Klong Jilad Pier yang berlepas ke Saladan Pier pada pada pukul 9 pagi dan 11 pagi. Perjalanan ini akan mengambil masa selama 2 jam dan tiketnya berharga 400 Baht (RM53.38).

Tip: Tidak seperti servis van mini yang menghantar anda terus ke tempat penginapan, anda perlu menaiki pengangkutan awam seperti teksi untuk ke tempat penginapan anda setelah tiba di Saladan Pier.

Waktu terbaik untuk melawati Koh Lanta 

Dengan mengambil kira keadaan cuaca di Koh Lanta, saya syorkan anda bercuti ke Koh Lanta pada ‘peak season’ iaitu dari bulan November – April. Cuaca yang tidak mengizinkan di bulan-bulan yang lain (‘low season’) menyebabkan banyak perniagaan tempatan seperti restoran dan sesetengah hotel dan rumah tetamu berhenti beroperasi.

Pengangkutan di Koh Lanta

Image credit: Bryant Wong

Jika anda mempunyai lesen antarabangsa untuk memandu kereta atau menunggang motorsikal, ia berita baik kerana inilah cara yang paling terkenal untuk menerokai Koh Lanta! Harga sebuah kereta sewa ialah kira-kira 1200 Baht (RM160.15) sehari, manakala harga sewa sebuah motorsikal ialah 200 Baht (RM26.69) sehari.

Namun, jangan risau jika anda tidak bercadang untuk menggunakan pengangkutan sendiri. Anda juga boleh menaiki Tuk Tuk yang terdiri daripada dua jenis: motorsikal dengan badan beca dan kereta ‘pickup truck’ berwarna putih.

Pantai-pantai di Koh Lanta

Koh Lanta mempunyai beberapa buah pantai yang menjadi tumpuan pelancong. Jom lihat pantai mana satukah yang sesuai untuk anda!

Image credit: On The World Map

Ban Saladan: Pusat Bandar

Image credit: derekb

Sebelum tiba di kawasan pantai, terdapat sebuah bandar yang dipanggil Ban Saladan, di mana perniagaan seperti agensi penukaran wang, bank, restoran makanan laut terkenal, pasaraya dan bazar membeli-belah bertumpu di sini. Tidak kira sama ada anda datang menggunakan feri atau van mini, anda akan tiba di sini terlebih dahulu.

Tip: Jika anda mahu membeli-belah barangan cenderahati dan pakaian, anda bolehlah ke Lanta Plaza 421.2 yang terletak di kawasan ini. Jangan lupa untuk tawar-menawar! 😄

Pantai-Pantai Utama

Kebanyakan pelancong yang datang ke Koh Lanta selalunya mempunyai satu tujuan utama iaitu untuk menikmati kecantikan dan ketenangan pantai di sini.

Terdapat lima buah pantai utama yang terletak di sepanjang bahagian barat Koh Lanta Yai iaitu Klong Dao, Phra Ae, Klong Khong, Klong Nin dan Kantiang Bay. Setiap pantai mempunyai keistimewaan tersendiri dan kemudahan-kemudahannya dibina untuk pelbagai jenis pelancong. Jadi, saya sarankan anda menempah tempat penginapan anda di sekitar kawasan ini. 

Klong Dao 

Image credit: Lanta Cha-Da Beach Resort & Spa 

Klong Dao amat sesuai untuk pelancong berkeluarga kerana pantai yang sepanjang 3km ini jernih, cetek dan tidak berbatu-batu. Maka, ia sesuai untuk kanak-kanak bermandi-manda dengan selamat. Terdapat banyak resort empat bintang di tepi pantai seperti Lanta Chada Beach Resort And Spa dan Maya Koh Lanta yang akan memudahkan percutian anda. Tetapi, hotel-hotel bajet rendah juga ada berdekatan pantai ini.

Phra Ae atau Long Beach

Image credit: Lanta Castaway Official Website

Pantai Phra Ae yang sepanjang 4km ini amat terkenal dalam kalangan pelancong kerana terdapat banyak jenis resort yang ditawarkan di sini seperti hostel, rumah tetamu ala Thai dan juga hotel berkelas tinggi.

Bagi yang mempunyai bajet yang rendah dan mahu menginap di pondok buluh ala Thai, Ok Chawkoh Bungalow ialah antara tempat penginapan yang terbaik di sini! Phra Ae juga antara kawasan yang paling meriah pada waktu malam dengan deretan restoran dan bar tepi pantai.

Klong Khong

Klong Khong pula agak berbatu-batu dan tidak begitu sesuai untuk berenang, jadi bagi anda yang tidak bercadang untuk mandi-manda dan inginkan suasana yang tenang sambil bersantai di atas ‘hammock’, pantai ini amat sempurna! 

Disebabkan pantai ini paling kurang dibangunkan berbanding pantai lain, kos tempat penginapan di sini murah-murah belaka, sekaligus menarik tumpuan ‘backpackers’ dan pasangan muda. Saya menetap selama 2 bulan di Klong Khong dan saya amat sukakan suasananya yang amat ‘laid-back’!

Klong Nin

Seperti Phra Ae, Klong Nin juga terkenal kerana pantainya yang sesuai untuk mandi-manda dan kemudahannya yang mencukupi. Bagi saya, setelah menerokai seluruh pulau ini, Klong Nin juga ialah tempat terbaik untuk menikmati pemandangan matahari terbenam jika cuaca mengizinkan. Tempat penginapan di sini juga amat pelbagai dan sesuai untuk semua jenis pelancong.

Kantiang Bay

Image credit: Nicolas Mirguet

Terletak jauh di selatan Koh Lanta, Kantiang Bay ialah pantai sepanjang 1km yang tersembunyi di tengah-tengah kawasan bukit dan hutan. Walaupun begitu, ia masih dibangunkan dengan beberapa tempat penginapan lima bintang dan restoran tepi pantai. 

Bagi yang mahukan percutian mewah dengan suasana yang cukup damai, Villa Siam Lanna dan Pimalai Resort & Spa ialah antara pilihan yang ada berdekatan pantai ini.

BONUS: Nui Bay

Sepanjang pengembaraan saya di Thailand, Nui Bay mungkin ialah pantai tercantik yang saya pernah lihat di negara ini! Dengan kedudukannya yang terletak di bawah bukit serta dikelilingi hutan tebal, Nui Bay membuatkan saya seolah-olah berada di dunia Sims Castaway. 😂

Tiada tempat penginapan yang dibangunkan di sini, malah hanya terdapat sebuah kafe/bar untuk anda berehat setelah penat bermandi-manda. Jadi, jika anda mahu melawati ‘hidden gem’ ini, saya sarankan anda menyewa kereta atau motorsikal kerana tempat ini jauh dari tumpuan pelancong.

Lain-lain Aktiviti Menarik di Koh Lanta

Selain melawati pantai-pantai yang saya sebutkan di atas, terdapat juga beberapa aktiviti lain yang pelancong gemar lakukan di sini. Antaranya ialah:

1. Sertai ‘Four Island Boat Tour’

Image credit: Nik Cyclist

Dengan harga kira-kira 1700 Baht (RM226.74), anda dapat melawati pulau-pulau tersembunyi di Lautan Andaman yang cantik seperti Koh Cheok, Koh Mook, Koh Kradan dan Koh Ma. Di sini, anda berpeluang untuk snorkeling, berenang di Emerald Cave, dan berkayak.

2. Terokai Mu Koh Lanta National Park

Image credit: kzoop

Koh Lanta National Park terletak di bahagian paling selatan pulau ini yang dikelilingi dengan hutan hujan tropika. Bagi yang ingin melihat suasana kehijauan, anda boleh mengikuti trail pendakian sepanjang 2km, bersantai di pantai tersembunyi dan juga melawati rumah api di taman negara ini. 

3. Diving

Image credit: Arend Kuester 

Penggemar diving dan snorkelling boleh menjadikan Koh Lanta sebagai ‘base’ anda kerana ia terletak berdekatan banyak tapak menyelam yang terbaik di Thailand dan juga di seluruh dunia termasuklah Hin Daeng dan Hin Muang. Selain kursus ‘diving’, terdapat juga pusat-pusat yang menawarkan kursus ‘tech diving’, ‘freediving’ serta fotografi dan videografi dalam air.

5. Menerokai Koh Lanta Old Town

Jika bahagian barat Koh Lanta terdiri daripada kawasan pantai dan teluk, bahagian timurnya pula terdiri daripada hutan paya bakau, pinggir laut, ladang getah dan kelapa sawit serta pekan-pekan nelayan. 

Image credit: Henrik Berger Jørgensen

Koh Lanta Old Town ialah salah satu tarikan, di mana ia merupakan bandar pelabuhan yang diperkembangkan oleh masyarakat Thai-Cina suatu ketika dahulu. Kini, bangunan-bangunan lama masih dikekalkan dan anda juga berpeluang menjamu selera di restoran-restoran terapung atas laut. 

Makanan Halal di Koh Lanta

Pada sekitar 300 tahun yang dahulu, masyarakat beragama Islam dari Malaysia, Indonesia dan kawasan selatan Thailand mula menduduki pulau ini. Jadi, mencari makanan Halal bukanlah suatu isu di sini!

Terdapat deretan gerai dan warung tepi jalan yang dioperasikan oleh penduduk tempatan Thai beragama Islam (kebanyakannya wanita bertudung), jadi anda berpeluang menikmati aneka makanan tempatan seperti Khao Mok (Nasi Briyani Thai), Ayam Massaman, Pulut Nasi dengan Ayam Goreng, Larb Pla Duk (Kerabu Ikan Keli) dan macam-macam lagi!

Selain itu, terdapat juga pasar yang menjual makanan tempatan dan bahan-bahan segar seperti pasar malam, tetapi ia dibuka pada pukul 1 petang hingga kira-kira 7 malam. Ya, memang agak berbeza dengan Malaysia! 

Saya sarankan agar anda datang ke sini untuk mencuba aneka lauk nasi campur ala Thai dan deretan pencuci mulut yang enak. Berikut ialah lokasinya yang bertukar-tukar setiap hari:

😋 Isnin: Klong Dao

😋 Selasa: Klong Nin

😋 Rabu: Saladan

😋 Khamis: Phra Ae

😋 Jumaat: Klong Nin

😋 Sabtu: Saladan

😋 Ahad: Old Town (10am-1pm)

Tip: Walaupun Koh Lanta ialah pulau yang sangat ‘Muslim-friendly’, anda perlulah ingat bahawa terdapat juga restoran yang tidak halal di sesetengah resort, jadi eloklah anda bertanya dahulu!

Jadi, itulah dia panduan lengkap untuk anda bercuti ke Koh Lanta, Krabi! Pantai yang cantik, makanan tempatan yang halal dan enak serta pekan-pekan nelayan yang masih terjaga rapi di pulau ini pasti akan membuatkan anda jatuh cinta. 

Komen di bawah jika anda juga mempunyai tips-tips berguna untuk menerokai Koh Lanta! 😊

By Salmi

Brand Managers!

Want to see your brand or business in this story?

Talk to us now

品牌经理们!

想在本文中看见您的品牌或公司吗?

现在就和我们联系吧

RECOMMENDED READS

RECENT ARTICLES