Sebagai ibu kota yang kosmopolitan di Korea Selatan, Seoul sudah tidak asing lagi dengan restoran-restoran yang menawarkan makanan halal dan Muslim-friendly. Inisiatif Organisasi Pelancongan Korea (KTO) untuk menerbitkan pelbagai pamplet dan e-book berkenaan tempat-tempat Muslim-Friendly di sana jelas membuktikan bahawa negara ini amat mengalu-alukan kedatangan pelancong beragama Islam.

Jadi, berbekalkan nasihat orang ramai dan panduan pihak KTO, kami telah menghimpunkan beberapa tempat makan yang halal dan terbaik untuk anda kunjungi di Seoul.

1. Makan Halal Korean Restaurant, Itaewon

Image credit: Makan Halal Korean Restaurant Official Facebook

Makan Halal Korean Restaurant ialah antara pilihan utama bagi mereka yang ingin menikmati makanan tradisional seperti Samgyetang (sup ayam ginseng), Bulgogi Bibimbap (nasi campur ala Korea) dan Dakdoritang (stu ayam pedas). Saiz restorannya agak kecil, jadi nasihat kami ialah untuk anda membuat tempahan sebelum datang ke sini.

Tip: Terdapat satu lagi cawangan berdekatan restoran ini iaitu Makan 2 Restaurant: Halal Chicken and Noodle, yang hanya menyediakan 3 hidangan istimewa iaitu Dakgangjeong (ayam goreng bersos manis), Jjajangmyeon (mee bersos kacang hitam dengan daging lembu atau makanan laut) dan Kkanpunggi (gorengan ayam rangup bersos dengan sayur).

2. Manis Kitchen, Itaewon

Image credit: Malaysian Guesthouse in Seoul -FNsquared-  Official Facebook

Snek tepi jalan di Korea memang sentiasa nampak enak dan meliurkan! Walaupun terdapat banyak gerai yang menjual pelbagai snek pork-free di sana, Manis Kitchen yang baru dibuka beberapa bulan yang lalu ini lebih istimewa kerana ia dikendalikan oleh seorang wanita Korea beragama Islam iaitu Safiya Kang Nayeon. Snek seperti Tteokbokki (kek beras pedas), Eomukguk (kek ikan dengan sup), Corn Dog dan banyak lagi ada dijual di sini. Yay!

3. Halal Kitchen, Samcheong-dong

Image credit: Halal Kitchen – Halal Korean Food Official Facebook

Berdekatan dengan Gyeongbokgung Palace dan Bukchon Hanok Village, Halal Kitchen yang terletak di dalam sebuah rumah tradisional hanok menyediakan beberapa hidangan Korea. Antara hidangan yang menerima sambutan ramai ialah Yanggalbi-jim (renehan daging kambing dalam sos), Dakgalbi-deopbap (gorengan ayam bersos pedas) dan Bulgogi-deopbap (gorengan daging lembu bersos manis).

4. Yang Good BBQ, Gangnam

Image credit: yanggood Official Instagram

Dah jemu makan Korean BBQ di negara sendiri? Anda sekarang boleh menikmati hidangan ini di Yang Good Halal BBQ yang menggunakan daging kambing premium dan halal dari Australia! Pelbagai jenis hidangan ada seperti Lamb Rack, Lamb Skewer, Lamb Boneless Rib dan juga Marinated Chicken. Seperti kebanyakan restoran lain, hidangan sampingan seperti kimchi dan jeruk lain juga boleh ditambah.

Peringatan: Restoran ini ada menyediakan alkohol atas permintaan pelanggan, tetapi semua bahan-bahan masakan lainnya dijamin halal

5. Hajj Korea Halal Food, Itaewon

Image credits: Hajj Korea Halal Food Official Instagram

Restoran yang dikendalikan oleh Mariam Nur, seorang wanita Korea beragama Islam ini menyediakan pelbagai sajian Korea dan Malaysia. Antara hidangan Korea yang popular di sini ialah Nakji Bokkeum (gorengan sotong bersos pedas), Bindaetteok (penkek kacang hijau) dan Haemul Pajeon (penkek makanan laut). Manakala, sajian Malaysia yang turut ada di sini ialah ayam bakar, mee goreng dan teh tarik.

6. EID Halal Korean Food, Itaewon

Image credit: EID – 이드 Halal Korean Food Official Facebook

Seperti Makan Halal, Manis Kitchen dan Hajj, EID juga terletak berhampiran Seoul Central Mosque di Itaewon. Sebagai salah satu restoran Korea yang mendapat pengiktirafan daripada Korean Muslim Federation (KMF), EID sentiasa dipenuhi pengunjung (jadi anda dinasihatkan untuk datang awal sewaktu makan tengahari dan makan malam!). Di sini, pengunjung sentiasa mengesyorkan hidangan seperti bulgogi, samgyetang dan jjimdak (ayam reneh bersos pedas).

7. Kampungku Restaurant, Itaewon

Image credit: kampungkuseoul Official Instagram

Bagi yang teringin untuk makan masakan Malaysia, anda perlu ke Kampungku Restaurant! Dikendalikan oleh Farid Hakim yang berasal dari Kelantan, restoran ini terkenal dengan hidangan seperti Nasi Lemak Ayam Rendang, Nasi Goreng Padprik dan Tomyam! Bukan itu saja, hidangan pizza ala Korea-Western turut ada di sini seperti Bulgogi Pizza dan Deluxe Cheese. Dan yang paling istimewanya, mereka menggunakan keju tempatan yang dihasilkan di daerah Imsil. Yummmm!

8. Chunja Daegutang (춘자대구탕), Itaewon

Image credit: 춘자대구탕 Official Facebook

Bagi yang amat gemarkan hidangan ikan, anda bolehlah singgah di Chunja Daegutang yang menggunakan ikan kod untuk hidangan utama mereka. Restoran pork-free ini terkenal dengan hidangan seperti Daegu Bboljim (ikan kod stim), Daegu Jiri (stu ikan kod), dan juga Gyeran Mari (omelet telur gulung). Saiz hidangan di sini amat besar, jadi jangan lupa berkongsi-kongsi ya!

9. Halal Korean Food Dosirak by BoA Travel House, Hongdae

Image credit: Halal Korean Food Dosirak, Hongdae of Seoul Official Facebook

Juga terletak di kawasan Hongdae, BoA Travel House mengendalikan Halal Korean Food Dosirak yang terletak di tingkat bawah rumah tetamu itu. Mereka menyediakan hidangan ala carte seperti kimbap, rabokki (kek beras pedas bersama ramen), dakgalbi dan ayam goreng. Manakala, hidangan dosirak (lunch box) seperti bulgogi dosirak dan chicken dosirak turut ada!

10. Murree Muslim Food, Itaewon

Image credit: Murree Halal Korean Food Official Facebook

Murree Muslim Food merupakan restoran yang terkenal dengan makanan India dan Pakistan seperti tandoori, biryani dan naan. Walaupun begitu, hidangan tradisional Korea di sini juga tidak kurang hebatnya! Antara pilihan terbaik di sini ialah Bulgogi, Dakdoritang, Kimchi Bokkeumbap (nasi goreng kimchi) dan sundubu jjigae (stu tauhu lembut pedas).

11. The Halal Guys

Image credit: The Halal Guys (Itaewon) Official Facebook

Bagi yang pernah ke New York, anda pasti tahu tentang The Halal Guys yang amat terkenal ini. Bermula sebagai peneraju makanan halal di Amerika Syarikat, kini The Halal Guys melebarkan sayapnya di negara-negara luar termasuklah Korea Selatan! Anda boleh menikmati sajian seperti nasi basmati dan roti pita bersama kebab ayam, daging atau falafel, dan Secret Fries (kentang bersama topping sos putih dan sos lada hitam, daging dan sayur).

Tip: Resepi sos putih di sini amat istimewa, jadi kami syorkan anda meminta ‘extra white sauce’!

12. Osegye Hyang (오세계향), Insa-dong

Image credit: Mori Mavis Official Facebook

Tanya sahaja setiap pelancong beragama Islam, mereka pasti akan katakan bahawa memakan di restoran vegetarian ialah solusi termudah semasa bercuti! Osegye Hyang yang terletak di kawasan Insa-dong merupakan restoran vegetarian ala Korea yang tidak menggunakan alkohol dalam masakannya. Antara hidangan yang popular ialah sundubu jjigae, tangsu mandu (ladu cendawan dalam sos manis dan pedas) dan stu cendawan.

Jadi, itu dia 12 buah restoran Muslim-friendly yang kami syorkan jika anda ingin berkunjung ke Seoul. Dengan pelbagai inisiatif penduduk di sana, anda tidak perlu lagi risau untuk menerokai ibu kota Korea Selatan ini!

Baca lagi: Aktiviti Menarik di Seoul yang Harus Dicuba!

Salmi

Salmi loves spending time in hostels, mingling with travellers from all over the world. She draws her inspiration from her father who used to take her travelling on bumpy back roads instead of highways. There, she learnt how to talk with strangers and where to find the best street food. When she’s not out and about, she writes, cooks and reads.

Share
Published by
Salmi

Recent Posts