Jika anda belum pernah berpeluh-peluh sambil menahan pedas di tepi lebuhraya Bangkok, anda belum lagi menerokai kota ini sepenuhnya! Bangkok yang merupakan ibu kota Thailand ialah destinasi terkenal untuk para ‘foodie’ dari serata dunia, termasuklah pelancong yang beragama Islam.

Seperti Malaysia, kota kosmopolitan ini turut meraikan kepelbagaian agama dengan deretan restoran dan tempat makan yang menghidangkan makanan Halal. Tetapi, mudahkah untuk mencari tempat-tempat ini di pertengahan bandaraya yang mempunyai populasi seramai 9.5 juta penduduk?

Berbekalkan nasihat orang ramai dan panduan pihak Tourism Authority of Thailand, kami telah menyenaraikan beberapa tempat makan yang halal dan terbaik untuk anda kunjungi di Bangkok!

1. Samat Muslim Food, Kawasan Pratunam

Image credit: halalfoodsamatthaibangkok Official Instagram

Image credit: halalfoodsamatthaibangkok Official Instagram

Kawasan Pratunam yang amat terkenal sebagai tempat membeli-belah mempunyai beberapa tempat makan yang halal untuk pelancong Muslim. Salah satu daripadanya ialah Samat Muslim Food yang terletak bertentangan dengan Pratunam Market dan hanya 3 minit berjalan kaki dari stesen ARL Ratchaprarop.

Walaupun baru hanya beroperasi lebih kurang setahun, Samat Muslim Food amat digemari ramai kerana keenakan masakannya dan harga yang cukup berpatutan. Antara menu yang sentiasa mendapat pujian pengunjung ialah Seafood Tomyam, Somtam, Green Curry, Red Curry dan Fried Frish with Tamarind Sauce (Pla Rad Prik). 🐟😋   

2. Tom Yam Pa’anga, Kawasan Pratunam

Image credit: The Halal Food Blog Official Facebook

Terletak di luar Hotel Citin Pratunam, warung Tomyam Pa’anga sentiasa menjadi tumpuan pengunjung kerana rasa tomyamnya yang cukup pekat, pedas, masam dan asli! Seperti nama warungnya, Tomyam Pa’anga hanya menawarkan hidangan tomyam yang terdiri daripada beberapa pilihan isi iaitu makanan laut, ikan, sotong, udang dan ayam. Malah, anda juga boleh menentukan tahap kepedasan yang anda mahukan! 🌶️🌶️🌶️

3. Maedah Restaurant, Kawasan Pratunam

Image credit: Nurulhudaa Ashaari

Kalau anda mahu lawati antara restoran halal yang tertua di Bangkok, inilah dia! Restoran Maedah sudah dioperasikan selama lebih kurang 20 tahun oleh pemiliknya yang berasal dari India. Hidangan yang ditawarkan terdiri daripada pelbagai negara iaitu India, Pakistan, Timur Tengah, Indonesia, Malaysia dan juga Thailand.

Antara menu yang anda perlu cuba di sini ialah BBQ Fish, Pad Thai, Thai Steamed Fish, Beef with Black Pepper and Basil, Prawn in Saffron Rice dan Lamb Masala Curry. Memandangkan restorannya yang berhawa dingin serta saiz hidangan yang besar, harga di sini juga agak tinggi, jadi sila datang beramai-ramai!

4. Nissareen, Daerah Ratchathewi

Image credit: BackPackerz Official Facebook

Selain kawasan Pratunam, Ratchathewi juga mempunyai banyak tempat makan yang halal. Ini kerana terdapat sebuah masjid bernama Darul Aman Mosque yang terletak di sekitarnya, jadi pelancong beragama Islam sering mengunjungi kawasan ini. Nissareen ialah salah satu daripada restoran-restoran halal di sini dan ia memenangi hati pengunjung dengan kualiti makanan serta harganya yang cukup berpatutan!

Terletak bersebelahan Mali Hostel, Nissareen menawarkan aneka hidangan tempatan seperti Thai Chicken Biryani, Thai Beef Noodle, Basil Chicken with Rice and Egg, Green Curry dan Papaya Salad with Salted Crab. 🦀🦀🦀

5. Phayathai Kitchen, Daerah Ratchathewi

Image credit: Phayathai Kitchen Halal Restaurant ครัวพญาไท ร้านอาหารลาล Official Facebook

Phayathai Kitchen juga menjadi tempat kegemaran pelancong di sekitar Ratchathewi untuk menjamu selera kerana tempatnya yang bersih terjaga dan berhawa dingin, makanan yang enak serta harga yang berbaloi.

Di sini, menu Thai yang kami cadangkan ialah Steamed Sea Bass in Lime Sauce, Pad See Ew, Khao Soi dan Tomyum. Bukan itu sahaja, menu Western yang ditawarkan juga tidak kurang hebatnya, dengan aneka pasta, pizza, burger dan steak yang benar-benar membuka selera!

6. Yana Restaurant, MBK Center

Image credit: Yana Restaurant Halal Food MBK Center Bangkok ร้านยานา ร้านอาหารไทย ฮาลาล Official Facebook

Untuk yang berada di pusat membeli-belah MBK Center, jangan lepaskan peluang untuk ke Yana Restaurant yang cukup popular dengan masakan Thai dan Western yang halal. Saiz hidangan lauk-pauk di sini agak besar, jadi ia amat sesuai untuk yang berkeluarga dan berkumpulan. Antara hidangan yang sering mendapat pujian pengunjung ialah Young Coconut Shrimp Tom Yum, Stir-Fried Chicken with Cashew Nut, Fried Fish with Sweet & Sour Sauce dan Stir Fried Beef With Peppercorn.

7. Busaba, Daerah Dusit

Image credit: บุษบา เป็ดย่างมุสลิม ฮาลาล Busaba Halal Official Facebook

Itik panggang ialah antara makanan tempatan yang anda akan sering temui di Bangkok, tetapi kebanyakannya tidak halal. Mujurlah Busaba yang terletak di daerah Dusit menawarkan hidangan istimewa ini!

Restoran berhawa dingin ini menyediakan pelbagai makanan Thai seperti Roasted Duck Rice, Green Noodle with Roasted Duck dan Stir-fried Duck with Basil Beef. Selain itu, mereka juga terkenal dengan makanan Itali dan pencuci mulut seperti Panna Cotta, Lava Chocolate Cake, Charcoal Waffle dan Cheesecake. 🍰🍰🍰

8. Home Cuisine Islamic Restaurant, Charoen Krung Alley

Image credit: Home Cuisine Islamic Restaurant Official Facebook

Charoen Krung Alley yang terletak di daerah Bang Rak juga amat terkenal sebagai tempat tumpuan pelancong beragama Islam kerana terdapat sebuah masjid bernama Haroon Mosque di sini.

Di Home Cuisine Islamic Restaurant, aneka makanan Thai-Muslim dan India ditawarkan, dengan Chicken Biryani, Mutton Briyani, Beef Masala sebagai menu kegemaran pengunjung. Bagi yang ingin menikmati masakan Thai-Muslim, Panaeng Beef, Green Curry, dan Tomyum juga ada!

9. Karim Roti Mataba, Phra Athit Road

Image credit: Karim Roti Mataba Official Facebook

Roti goreng yang selalunya dihidangkan dengan susu pekat dan hirisan pisang amat popular di sekitar Thailand. Tetapi di Karim Roti Mataba yang terletak tidak jauh dari Khao San Road, pengaruh masakan India, Thailand dan Malaysia digabungkan menjadi satu.

Maka, terhasillah menu istimewa seperti Seafood Mataba, Beef Mataba dan Fish Mataba. Bukan itu sahaja, jika mataba tidak cukup untuk anda, terdapat juga Mutton Korma, Massaman Chicken with Biryani Rice, Roti with Fish Massaman, dan Banana Roti with Milk and Chocolate. 🍌🍌

10. Sara Restaurant, Samsen Road

Image credit: Nouvo City Hotel – โรงแรมนูโว ซิตี Official Facebook

Juga terletak berdekatan dengan Khao San Road, Sara Restaurant merupakan sebahagian daripada hotel bertaraf empat bintang, Nouvo City Hotel yang juga diiktiraf halal dan ‘Muslim-friendly’.

Sara Restaurant telah menerima anugerah daripada kerajaan Thailand kerana kualiti makanannya yang bagus dan terdiri daripada masakan Thai dan antarabangsa. Antara menu yang tidak boleh dilepaskan di sini ialah Shrimp Pad Thai, Tomyum, Tuna Kofte dan Beef Curry.

11. Chatuchak Market

Image credit: Makan Halal Guide Official Facebook

Chatuchak Weekend Market yang amat besar dan sentiasa meriah dengan orang ramai pasti akan membuatkan anda lapar setelah membeli-belah. Pasar yang terbahagi kepada 27 seksyen ini memang bukan calang-calang pasar dan mujurlah terdapat beberapa tempat makan halal yang anda boleh singgah! Antaranya ialah Areeburger (Seksyen 9), Muslim Paktai Food (Seksyen 12), Saman Islam (Seksyen 16), Kah Jak (Seksyen 16) dan Sultana Halal@JJ (Seksyen 27).

12. Usman Thai Muslim Food & Hostel, Sukhumvit Road

Image credit: Usman Thai Muslim Food & Hostel

Sukhumvit Road merupakan jalan terpanjang di Bangkok (kira-kira 400 kilometer!) dan ia merupakan kawasan tersibuk metropolis Bangkok kerana statusnya sebagai pusat komersial dan pusat tumpuan membeli-belah. Terdapat pelbagai restoran halal Timur Tengah di sekitar Arab Street yang anda boleh cuba di sini tetapi setelah tiba di Bangkok, anda pasti ingin mencuba makanan Thai, bukan?

Jika anda berada di kawasan Sukhumvit, anda boleh menuju ke Usman Thai Muslim Restaurant & Hostel yang terletak berdekatan dengan stesen BTS Asoke. Dimiliki oleh Usman atau Samarn Yama yang berasal dari daerah Pattani, restoran ini menawarkan aneka makanan selatan Thailand seperti Tomyum, Sup Lembu, aneka kari Thai, dan Crab Meat Omelet yang amat popular! 🦀🦀

13. Sekitar Ramkhamhaeng Road

Image credit: Takeaway

Kawasan Ramkhamhaeng Road yang terletak di timur Bangkok amat terkenal dalam kalangan pelajar Ramkhamhaeng University yang berasal dari selatan Thailand. Bermula dari Ramkhamhaeng Road 37 sehingga Ramkhamhaeng Road 65, anda akan menemui kira-kira 100 buah gerai yang menawarkan makanan selatan Thailand seperti Spicy Beef Soup, Nasi Biryani Thai, Khao Yam/Spicy Rice Salad, nasi campur dan macam-macam lagi.

Jika anda ingin makan dengan selesa secara berkeluarga atau berkumpulan, terdapat beberapa restoran halal di sekitarnya seperti The Bung Terrace Halal Seafood and Garden, Sinthorn Steak House, dan Sophia Restaurant.

Jadi, itulah dia tempat-tempat makan yang kami syorkan jika anda ingin berkunjung ke Bangkok! Seperti di kebanyakan negara, anda juga boleh mencari masjid-masjid utama dan insyaAllah anda akan menemui pelbagai gerai dan restoran yang halal berdekatan. Gunakan panduan ini dan jangan ragu-ragu untuk menikmati hidangan tempatan dan antarabangsa yang halal dan enak di sana. 🤤🤤🤤

Baca juga: 14 Aktiviti Menarik Yang Anda Tidak Boleh Lepaskan Di Bangkok

Salmi

Salmi loves spending time in hostels, mingling with travellers from all over the world. She draws her inspiration from her father who used to take her travelling on bumpy back roads instead of highways. There, she learnt how to talk with strangers and where to find the best street food. When she’s not out and about, she writes, cooks and reads.

Share
Published by
Salmi

Recent Posts