Sebagai bandar kedua terbesar di Korea Selatan selepas Seoul, semakin hari semakin banyak restoran yang menawarkan makanan halal dan Muslim-friendly di Busan. Inisiatif Organisasi Pelancongan Korea (KTO) untuk menerbitkan pamplet dan e-book berkenaan tempat makan yang Muslim-Friendly jelas membuktikan bahawa Busan amat mengalu-alukan kedatangan pelancong beragama Islam.

Jadi, jika anda sudah bercadang untuk melancong ke bandar pelabuhan ini, kami telah menghimpunkan senarai beberapa tempat makan yang halal dan terbaik untuk anda semua kunjungi!

Baca lagi: 12 Restoran Halal Dan Terbaik Yang Anda Mesti Kunjungi Di Seoul

1. Namcheon Charcoal Grilled Eel, Daerah Suyeong

Image credit: Korea Tourism Organization Official Website

Ikan hagfish yang memiripi rupa belut ialah antara salah satu makanan keistimewaan Busan yang anda tidak boleh lepaskan! Dikenali sebagai Ggomjangeo dalam bahasa Korea, ikan hagfish amat unik kerana ia hanya dimakan di Jepun dan Korea, lebih-lebih lagi Busan kerana lokasinya yang dikelilingi Laut Kuning dan Laut Jepun.

Terletak di daerah Suyeong, Restoran Namcheon Sutbul Jangeo yang pork-free dan Muslim-friendly ini menawarkan menu seperti Bul Jangeo Gui (hagfish yang dibakar atas arang), Ggomjangeo Bokkeum (hagfish bakar yang ditumis pedas) dan Maeuntang (stu ikan pedas).

Nama restoran: Namcheon Sutbul Jangeo Gui (남천숯불장어구이)

2. Wonjo Halmae Pufferfish Soup, Daerah Haeundae

Image credit: Korea Tourism Organization Official Website

Selain hagfish, ikan pufferfish atau ikan buntal yang beracun juga merupakan makanan yang amat terkenal di Busan! 😮 Tetapi, jangan risau kerana proses membuang racun dilakukan dengan amat teliti dan hidangan ini juga telah lama menjadi tradisi makanan penduduk tempatan.

Restoran Wonjo Halmae Bokguk yang terletak di daerah Haeundae menawarkan menu istimewa seperti bokjiri (sup ikan buntal), bokmaeuntang (stu ikan buntal pedas) dan boksuyuk (hirisan ikan buntal yang direbus). Ada berani tak? 😜

Nama restoran: Wonjo Halmae Bokguk (원조할매복국)

3. Cheongsapo Suminine, Daerah Haeundae

Image credit: 응답하라 부산 Official Facebook

Bagi pencinta makanan laut dan aneka shellfish seperti lala, abalon, dan kekapis, anda boleh menuju ke Restoran Cheongsapo Suminine untuk menikmati barbeku. Yang paling istimewanya, terdapat juga hirisan mentega, bawang dan cili yang diletakkan di atas makanan laut ini supaya rasanya lebih enak! Selain itu, hidangan sampingan seperti mi segera ala Korea, kimchi dan daun perilla juga ada disediakan.

Nama restoran: Cheongsapo Suminine (청사포 수민이네)

4. Baennim Braised Monkfish, Daerah Suyeong

Image credit: Korea Tourism Organization Official Website

Ikan monkfish (atau ‘Agu’ dalam bahasa Korea) mempunyai tekstur seperti udang kara dan ia merupakan antara ikan yang paling digemari di serata Korea Selatan. Malah, ia amat popular di Busan sehinggakan hampir setiap daerah mempunyai sekurang-kurangnya sebuah restoran yang menawarkan hidangan ikan ini.

Hidangan Agujjim (renehan ikan monkfish dan taugeh dalam sos pedas) berasal dari daerah Masan yang terletak berdekatan Busan. Di Restoran Baennim Agujjim yang pork-free dan Muslim-friendly, menu seperti agusuyuk (hirisan ikan monkfish yang direbus), agujjim dan jecheolhoemodeum (hirisan ikan mentah segar) disediakan di sini. Harganya agak tinggi, tetapi bersesuaian untuk saiz hidangan, jadi kami cadangkan agar anda datang secara berkumpulan!

Nama restoran: Baennim Agujjim (뱃님 아구찜)

5. Jagalchi Fish Market, Daerah Jung

Image credit: Busan Metropolitan City Official Website

Dengan gelaran bandar pelabuhan terbesar di Korea Selatan, maka tidak peliklah jika Jagalchi Fish Market juga digelar pasar ikan terbesar di negara ini! Pasar ini terbahagi kepada bahagian luar dan bahagian dalam, jadi setelah anda mencuci mata melihat pelbagai jenis makanan laut di luar, anda boleh terus ke dalam untuk menjamu selera.

Antara menu makanan laut yang popular di sini ialah sashimi, ganjang gejang (ketam mentah dengan perapan kicap), ggomjangeo bokkeum (ikan hagfish bakar ditumis pedas) dan gajami gui (ikan flounder bakar).

6. Changseondong Let’s Eat Alley (Changseondong Meokja Golmok), Daerah Jung

Image credit: 전포카페거리 전리단길 Official Facebook

Busan ialah hab utama bagi penghasilan eomuk atau kek ikan yang amat digemari di seluruh Korea Selatan. Jadi, jangan tinggalkan Busan selagi anda tidak mencuba kek ikan hasil tempatan ini! Di Changseondong Let’s Eat Alley, anda boleh menemui aneka kek ikan yang direbus dengan sup perasa ikan bilis dan juga makanan lain seperti bibimbap (nasi campur ala Korea) dan pajeon (penkek daun bawang). Kemudian, singgah ke BIFF Square berdekatan untuk menikmati ssiat hotteok atau penkek goreng berinti kuaci yang amat terkenal itu!  

7. Hello India-Alwaha, Daerah Haeundae

Image credit: Korea Tourism Organization Official Website

Selain makanan tempatan, Busan juga dibanjiri deretan restoran yang menawarkan makanan antarabangsa. Salah satu daripadanya ialah Restoran Hello India Alwaha yang menyediakan pelbagai jenis hidangan daripada India, Lebanon dan Timur Tengah seperti Chili Potatoes, Lebanese Chicken Livers, Spinach Fatayer, Punjabi Tikka, Butter Chicken dan Naan.

8. Samarkand, Daerah Dong

Image credit: Korea Tourism Organization Official Website

Bagi yang ingin mencuba masakan Uzbekistan dan Rusia, anda boleh melawati Restoran Samarkand yang terletak berdekatan dengan Chinatown di daerah Dong. Antara menu yang popular di sini ialah lagman (sup kambing dengan mi), kebab ayam dan kambing, chicken schnitzel, ladu goreng berinti daging lembu dan samsa (roti berinti daging kambing dan bawang).

9. Cappadocia, Daerah Geumjeong

Image credit: Korea Tourism Organization Official Website

Restoran Cappadocia amat sesuai bagi anda yang ingin melawati Masjid Al-Fatah Busan kerana ia terletak berdekatan antara satu sama lain.

Terletak di daerah Geumjeong, restoran ini menawarkan makanan tradisi Turki seperti aneka Kebab, Pide (roti flatbread daging cincang), Lahmacun (pizza ala Turki), Guvec (stu daging dan sayur) dan Kasarli Kofte (bebola kambing dan lembu dengan topping keju). Jangan lupa juga untuk memesan Turkish Fruit Tea yang amat popular di sini!

10. Vegenarang, Daerah Suyeong

Image credit: vegenarang2 Official Instagram

Bagi yang berminat untuk mencuba makanan vegetarian/vegan di Busan pula, kami cadangkan agar anda melawati Restoran Vegenarang di daerah Suyeong. Di sini, anda boleh menikmati pelbagai makanan fusion dan tempatan seperti Black Bean Katsu, Avocado Kimbap, Stir-fried Rice Noodle with Vegan Seafood, Lotus Leaf Rice Lunch Box dan banyak lagi!

Jadi, itulah dia 10 tempat makan Muslim-friendly yang kami syorkan jika anda ingin berkunjung ke Busan! Gunakan senarai ini dan jangan ragu-ragu untuk menikmati hidangan tempatan dan antarabangsa yang halal dan enak di sana. Jal meokgesseumnida! 😋

Baca lagi: 15 Aktiviti Menarik Yang Anda Perlu Lakukan Di Busan

 

Salmi

Salmi loves spending time in hostels, mingling with travellers from all over the world. She draws her inspiration from her father who used to take her travelling on bumpy back roads instead of highways. There, she learnt how to talk with strangers and where to find the best street food. When she’s not out and about, she writes, cooks and reads.

Share
Published by
Salmi

Recent Posts