Bersedia untuk terpesona dengan keindahan Hong Kong apabila anda berkunjung ke bandar kosmopolitan ini. Terdapat bermacam sebab mengapa Hong Kong dinobatkan sebagai salah satu lokasi pelancongan terkemuka di Asia Timur: kepelbagaian restoran halal, seni bina masjid yang serba indah, serta variasi tarikan bertaraf duniasemuanya menjanjikan pengalaman holistik bagi setiap pelancong Muslim. 

Tertanya-tanya bagaimana hendak memulakan perjalanan anda di Hong Kong? Jom ikuti perkongsian kami mengenai enam destinasi mesra Muslim di Hong Kong bagi menikmati percutian lebih bermakna dengan sajian makanan, kemudahan beribadah serta lokasi yang bakal membuatkan anda jatuh cinta dengan bandar ini.

Makan: Restoran Halal Terbaik di Hong Kong

Islamic Centre Canteen

Jika anda berada di Hong Kong, sudah tentunya anda mahu merasai keenakan dim sum serta masakan Cina yang asli. Mulakan pengalaman anda di  Islamic Centre Canteen yang terletak di tingkat lima Masjid Ammar dan Osman Ramju Sadick Islamic Centre di Wan Chai. Lokasi ini sangat popular dalam kalangan pelancong Muslim yang menggemari masakan Cina. 

 Restoran halal ini menyajikan pelbagai jenis menu; jadi anda boleh nikmati aneka juadah Cina yang lazat baik untuk sarapan, makan tengah hari, mahupun makan malam (ataupun pada bila-bila masa sahaja). Walaupun dim sum merupakan pilihan utama pengunjung, mee wantan serta masakan panas Kantonis yang lain turut menjadi menu kegemaran pelanggan di sini. 

Paling penting; saiz hidangan yang besar dengan harga yang berpatutan — sudah tentunya anda akan pulang dengan rasa puas dan gembira.

JAJA

Terletak sekitar bangunan ikonik Hong Kong Arts Centre, restoran vegetarian JAJA dengan hiasan dalaman yang indah ini ibarat mimpi nyata bagi semua ‘foodie’ Muslim, terutamanya mereka yang sukakan aura unik sehebat hidangan yang disajikan di sini. 

Selain pemandangan panorama Victoria Harbour, setiap ceruk restoran berona cerah ini juga berupaya mencuri tumpuan pelanggan. Terdapat pelbagai prop yang sesuai dimuat naik ke Instagram, terutamanya permainan mesin claw yang dipenuhi boneka serta lukisan mural yang cantik untuk ber-OOTD. Ramai yang mengatakan JAJA merupakan restoran vegetarian paling fotogenik di Hong Kong  — dan kami bersetuju dengan mereka!

Tambahan lagi, restoran berwarna-warni ini menyediakan hidangan dan pencuci mulut berasaskan tumbuhan yang merupakan antara juadah vegetarian terbaik di Hong Kong. Nikmati pelbagai menu laris mereka seperti Smokey Corn Rib, So-Laksa, dan Soup-er Wontons. Kemudian, padankan dengan ‘milkshake’ lemak berkrim bukan sahaja kelihatan menggiurkan tetapi sememangnya segar dan lazat! Jadi, pastikan anda kosongkan perut terlebih dahulu sebelum berkunjung ke sini.

Solat: Ruang ibadah pelancong Muslim di Hong Kong

Masjid Jamia

Pelancong Muslim yang ingin menunaikan solat di kota ini wajib singgah ke Masjid Jamia, iaitu masjid pertama dan tertua di Hong Kong yang dibina pada tahun 1840. Kerajaan tempatan telah mengisytiharkan bangunan ini salah satu monumen bersejarah di Hong Kong pada Jumaat, 20 Mei 2022. Masjid bersejarah berwarna hijau yang juga dikenali sebagai Lascar Temple ini berada di  Shelley Street yang terletak di Central Mid-Levels.

Masjid Jamia yang mendamaikan suasana buat pengunjung ini dibina dengan pintu gerbang berbentuk kubah serta jendela bertemakan seni bina Arab. Walaupun telah dibaik pulih beberapa kali dalam sedekad dua ini, masjid ini masih mengekalkan keindahan yang tidak lapuk ditelan zaman. Untuk pengetahuan anda, masjid ini mampu memuatkan sehingga 400 orang jemaah dalam satu masa. Selain itu, Masjid Jamia juga merupakan salah satu tempat mesra Muslim yang mudah diakses melalui MTR Central Station. 

Masjid Kowloon

Jangan lupa untuk singgah ke Masjid Kowloon apabila mengunjungi Nathan Road yang terkenal di Tsim Sha Tsui. Dikenali sebagai masjid terbesar di Hong Kong, bangunan suci berwarna putih ini boleh menampung sehingga 3,500 jemaah. Masjid Kowloon ini diimarahkan dengan jemaah yang mendirikan solat lima waktu setiap hari, malah lebih sibuk menerima kunjungan antara 2,000 dan 2,500 jemaah pada bulan Ramadan setiap hari untuk tujuan menunaikan solat jemaah dan berbuka puasa.

Selain saiznya yang besar, seni bina klasik Masjid Kowloon yang bercirikan tamadun Islam ini turut menjadi tumpuan sesiapa sahaja yang menelusuri Nathan Road. Sememangnya salah satu masjid paling indah di Hong Kong, dengan menara azan dan muka bangunan yang diperbuat daripada marmar putih. Di dalamnya pula terdapat tiga dewan utama, iaitu dewan solat, dewan komuniti serta perpustakaan. Masjid ini juga terletak di sebelah Kowloon Park dan berdekatan dengan Tsim Sha Tsui Station serta terletak bertentangan dengan Chungking Mansions.

Cinta: Jatuh cinta dengan bandar Hong Kong melalui lokasi-lokasi tarikan yang mesra Muslim

West Kowloon Cultural District

 Di tengah-tengah kota Hong Kong terletaknya West Kowloon Cultural District yang menjemput anda untuk menghargai seni dan budaya. Rasakan angin nyaman bertiup di daerah pelabuhan 40 hektar ini yang terkenal dengan muzium dan galeri seni bertaraf dunia, pusat persembahan, bangunan-bangunan bersejarah serta lebih banyak ‘hidden gems’ untuk diterokai dalam satu masa. 

Langkaui sempadan seni di M+, sebuah muzium visual budaya yang memaparkan hasil seni bina, imej bergerak serta lukisan visual kontemporari yang menakjubkan. Kemudian, apa kata anda singgah sebentar ke Hong Kong Palace Museum bagi menghargai seni dan budaya masyarakat Cina dengan mengapresiasi 900 pameran artifak daripada Beijing Palace Museum di sana.

Suka ambil angin di luar? Luangkan masa ataupun penuhi masa lapang anda dengan berbasikal di Art Park yang juga mesra haiwan peliharaan. Taman ini terkenal dengan laluan terbuka bersebelahan laut yang menjadi lokasi popular dalam kalangan pelancong untuk menyaksikan matahari terbenam. Anda juga boleh bersantai berlatarbelakangkan Victoria Harbour serta pencakar langit Hong Kong dan berhibur dengan alunan muzik yang dimainkan, pameran dan acara-acara di sini.  

Antara lokasi terkemuka yang lain (yang terdapat di West Kowloon Cultural District) termasuklah Freespace yang terkenal dengan persembahan moden, Xiqu Centre yang menyajikan opera Cina, serta Lyric Theatre Complex yang mempersembahkan pementasan teater lokal dan antarabangsa.

Hong Kong Disneyland

Percutian Hong Kong tidak sah jika tidak menjejakkan kaki ke Hong Kong Disneyland. Jadi, pastikan anda merancang untuk melawat taman tema yang terletak di Pulau Lantau ini. Pengembara keluarga yang mencari tempat mesra Muslim untuk melancong pasti menghargai surau serta kemudahan yang disediakan di taman tema ini. Untuk pengetahuan anda, Disneyland di Hong Kong ini merupakan cawangan pertama yang menyediakan kemudahan seumpama ini!

Menerokai salah satu tempat terceria di dunia ini pasti membuatkan anda berasa seperti kanak-kanak semula: sama ada anda menggemari Hyperspace Mountain ataupun meluangkan masa bergambar dengan karakter Disney kegemaran anda. Pastikan anda hanya pulang selepas menyaksikan Momentous, acara malam hari yang gilang-gemilang di mana alunan muzik, pertunjukan bunga api, lampu warna warni, laser serta pancuran air bakal menjadi penutup paling bermakna buat percutian anda.

Mahukan kelainan dalam percutian anda? Lanskap Hong Kong yang unik sentiasa mengalu-alukan kehadiran anda untuk menjejaki lokasi-lokasi tarikannya yang lain. Dilengkapi dengan variasi makanan halal yang unik, tempat-tempat spiritual yang kaya dengan budaya dan tradisi, bumi Hong Kong sememangnya destinasi yang menjanjikan percutian yang takkan dilupakan oleh setiap pelancong yang mahu memuaskan keinginan  pengembaraan mereka.


Dibawakan khas oleh Hong Kong Tourism Board.

Izzati Haron

Izzati is an author to two poem anthologies, a slam poet wannabe, and a full-time nanny to her kitties. She loves dreaming about traveling the world just like most protagonists in the movies, but more often than not, her bank account only permits her to travel to her backyard.

Share
Published by
Izzati Haron

Recent Posts