Negara Jepun merupakan destinasi yang utama bagi para pelancong Malaysia. Namun, tanya sahaja sesiapa yang pernah menjejakkan kaki ke sana, atau yang masih bercadang untuk ke sana, ataupun mana-mana saudara anda dalam Whatsapp group dan mereka pasti akan katakan satu perkara yang sama: Jepun mahal gila lah. Tapi, adakah benar-benar mustahil untuk bercuti bajet di Jepun?

Walaupun Jepun sememangnya sebuah destinasi yang mahal, percutian bajet ke sana tidak mustahil untuk dilakukan. Pada tahun lepas, rakan saya dan saya berpeluang untuk melancong ke Jepun selama 12 hari (10 jika tidak termasuk hari pergi dan balik) dengan bajet kurang daripada RM5,000 setiap seorang, termasuklah tiket penerbangan dan tempat penginapan. Ini cara kami melakukannya!

Nota: Kadar pertukaran pada waktu artikel ini ditulis ialah RM1 – ¥27.8. Semua harga akan dibundarkan untuk perkiraan yang lebih mudah.

Pergi ke sana

Ketika sedang menyelidik tentang percutian ini, kami mendapati bahawa penerbangan bajet ke Tokyo Narita International Airport dari Hong Kong adalah lebih murah daripada penerbangan terus atau penerbangan sambungan dari Malaysia. Harganya kira-kira serendah RM400!

Jadi, kami terbang ke Hong Kong dari Kuala Lumpur dengan AirAsia (RM250), kemudian kami mendapatkan tiket berasingan ke Narita. Kesimpulannya, jumlah harga tiket kami ke Jepun ialah: RM250 (KL → HK) + RM400 (HK → NRT) = RM650.

Kami berjaya melakukannya kerana kami menempah tiket dengan lebih awal (kami berlepas pada akhir bulan Mei tetapi kami menempah tiket pada awal bulan April). Tambahan pula, kami memutuskan untuk terbang pada pertengahan minggu, di mana harga tiket selalunya lebih murah. Malah, syarikat penerbangan kos rendah seperti HK Express atau Jetstar Japan juga adakalanya menawarkan promosi penerbangan yang lebih murah daripada apa yang kami bayar.

Sebagai alternatif, anda juga boleh mendapatkan tiket penerbangan terus yang murah dengan AirAsia X ke Osaka (Kansai International Airport) jika anda tidak kisah untuk memulakan perjalanan anda dari situ.

Pengangkutan di Jepun

Image credit: Fletcherjcm

Salah satu perkara yang diketahui ramai ketika melancong di Jepun ialah untuk mendapatkan Japan Rail Pass. Ia merupakan pas pengangkutan yang membolehkan pemegangnya menaiki hampir kesemua shinkansen (keretapi peluru) JR Line, keretapi ekspres, keretapi tempatan, keretapi monorel dan juga kebanyakan bas JR Line.

Pas ini sah selama 7 hari, 14 hari, atau 21 hari. Tempoh pengesahan bermula dari saat anda menggunakan pas itu untuk pertama kali. Harga Japan Rail Pass untuk kegunaan 7 hari ialah ¥29,110 (RM1,048) untuk orang dewasa dan ¥14,550 (RM524) untuk kanak-kanak berumur 6-11 tahun.

Image credit: GanMed64

Dapatkan pas ini JIKA anda bercadang untuk melancong ke seluruh Jepun. Anda dapat berjimat dengan sebaik-baiknya jika anda menaiki keretapi peluru di sana. Sebagai contoh, perjalanan dua hala antara Tokyo dan Kyoto akan memakan kos sebanyak ¥23,000 (RM828). Jadi, Japan Rail Pass ini akan membantu anda berjimat dengan banyak. Anda boleh mendapatkan pas ini sama ada di Jepun atau ejen berdaftar di luar negara. Di Malaysia, anda boleh mendapatkannya di agensi pelancongan seperti JTB Malaysia dan H.I.S Travel.

Pengangkutan di Jepun: apa yang kami lakukan sebaliknya

Di sebalik penjimatan yang ditawarkan, rakan saya dan saya memutuskan untuk tidak membeli Japan Rail Pass itu. Ini kerana kami telah merancang dengan teliti tentang apa yang mahu dilakukan di Jepun dan di mana kami mahu pergi. Kami akan berada di Tokyo selama 4 hari, di Kyoto selama 3 hari dan di Osaka selama 3 hari.

Kami mendapati bahawa kami akan menghabiskan banyak masa di Daerah Kansai (Kyoto dan Osaka), jadi kami bercadang untuk membeli Kansai Wide Area Pass. Fungsinya sama seperti Japan Rail Pass, tetapi ia hanya boleh digunakan di daerah Kansai dan hanya sah untuk 5 hari sahaja.

Image credit: West Japan Railway Company

Dengan rancangan yang baik, pas ini amat sesuai bagi kami. Tambahan pula, Kansai Wide Area Pass ini cuma berharga ¥9,000 (RM328 untuk tiket orang dewasa).

Maka, tanpa Japan Rail Pass, kami perlu mengeluarkan wang tambahan untuk pengangkutan di Tokyo, memandangkan pas kami tidak meliputi bandar itu. Kami menghabiskan sebanyak ¥2,500 (RM90) untuk tiket keretapi dari Narita Airport ke Ueno, di mana tempat penginapan kami terletak.

Purata kos tiket subway dan metro di Tokyo ialah antara ¥150 hingga ¥250 (RM5.50 hingga RM9). Kami memutuskan untuk menaiki subway dan berjalan kaki, jadi kami berbelanja kira-kira ¥1200 (RM43) selama empat hari untuk bersiar-siar di sana.

Tiket pengangkutan kami yang paling mahal ialah perjalanan dari Tokyo ke Kyoto. Memandangkan kami tidak memiliki Japan Rail Pass, kami mendapati harga tiket keretapi peluru terlalu mahal. Jadi, kami menaiki bas lebuhraya.

Harga bas jenis ini selalunya berharga antara ¥4,000 hingga ¥11,000 (RM145 hingga RM398), bergantung pada kelas koc dan hari/waktu perjalanan. Kami menaiki bas awal pagi (9 pagi dari Shinjuku Station) dan tiba di Kyoto pada pukul 6 petang.

Kami berbelanja sebanyak ¥5,400 (RM195) dan perjalanannya agak selesa. Kerusi bas itu agak luas dan memandangkan tidak ramai yang menaiki bas itu, terdapat banyak ruang dan ia juga amat senyap. Kami berhenti di beberapa tempat istirahat di kawasan perkampungan dan juga berpeluang merasai makanan yang sedap di sana.

Jika anda mahu lebih berjimat, anda boleh menaiki bas pada waktu malam. Anda akan berlepas dari Tokyo pada pertengahan malam dan tiba di Kyoto pada keesokan paginya. Anda juga tidak perlu risau akan tempat penginapan kerana anda akan bermalam di dalam bas!

Secara kesimpulannya, kos pengangkutan kami untuk sepanjang percutian ini ialah:

RM328 (Kansai Wide Area Pass) + RM90 (keretapi dari lapangan terbang ke hostel) + RM170 (tambang metro and subway di Tokyo selama 4 hari) + RM195 (bas ke Kyoto) = RM783

Baca lagi: Kyoto 4D3N Itinerary Guide (Pt. 1) (Bahasa Inggeris)

Tempat penginapan

Image credit: CapsuleValue Kanda

Menurut rekod tempahan kami, kami berbelanja sebanyak RM1570 untuk tempat penginapan. Dibahagikan kepada 2, jumlahnya ialah RM785 setiap seorang, yang bermaksud RM71/hari (dibahagikan kepada 11 hari bermalam). Wah, itu lagi murah daripada sesetengah tempat di Malaysia! Jangan bimbang, ini bukan scam! Ini cara kami melakukannya.

Sepanjang perjalanan kami, kami hanya menginap di hotel kapsul (Tokyo), ryokan (Kyoto) dan rumah tetamu (Osaka). Anda mungkin berasa bahawa kami kedekut untuk bermewah-mewah, tetapi saya fikir sebaliknya. Walaupun kami tidak mendapat layanan hotel lima bintang, kami berpeluang merasai pengalaman melancong di Jepun yang sederhana, sesuatu yang anda takkan rasai bersama kumpulan pelancong.

Hotel kapsul ialah konsep yang hebat dan perlu dicuba di Jepun. Ia merupakan kapsul persendirian yang selesa dan harganya juga agak berpatutan (serendah ¥2000 – RM73 untuk satu malam)! Selain daripada pelancong, pekerja pejabat di Tokyo juga menginap di sini, jadi anda tidak perlu risau akan suasana bising pada waktu malam. Kapsul yang kami pilih adalah khas untuk lelaki dan terdapat bilik mandi perkongsian dan tab panas di dalam bangunan itu.

Bukan mudah untuk membuang rasa kekok untuk mandi di hadapan orang lain tetapi, lambat-laun kami jadi terbiasa dengan budaya itu. Di Kyoto, kami berpeluang untuk menginap di sebuah ryokan ala Jepun. Dinding di sini amat nipis, jadi kebanyakan penginap akan menurunkan suara kecuali di ruang tamu. Pada pendapat saya, ryokan merupakan tempat yang baik untuk berbual-bual pada waktu petang dan berehat pada waktu malam.

Image credit: J-Hoppers Osaka Guesthouse

Tempat penginapan kegemaran saya ialah rumah tetamu di Osaka. Kami berkongsi dormitori berkatil lapan dengan pelancong-pelancong dari luar negara yang lain. Saya berasa bagaikan berada di rumah sendiri kerana pekerjanya yang amat ramah. Mereka juga mengaturkan pelbagai aktiviti untuk penginapnya seperti takoyaki night, dan parti pertukaran antarabangsa, di mana anda pergi ke bar yang berdekatan untuk bersosial.

Image credit: J-Hoppers Osaka Guesthouse

Ia sememangnya tempat yang bagus untuk berkenalan dengan pelancong-pelancong lain termasuklah pelancong tempatan dari Jepun. Terdapat banyak rumah tetamu seperti ini di Osaka dan agak mudah untuk difahami mengapa ia tempat penginapan yang digemari ramai. Ia selalunya berdekatan dengan pusat pengangkutan awam, jadi anda tidak perlu risau untuk bergerak ke mana-mana.

Selain itu, anda boleh juga memilih untuk bermalam di kafe Internet dan Manga. Ia amat selesa, selamat dan berpatutan.

Jika ada yang berminat ingin tahu, tempat-tempat penginapan kami ialah: CapsuleValue Kanda di Tokyo, Santiago Guesthouse di Kyoto, dan J-Hoppers Osaka.

Mari kita semak perkiraan bajet setakat ini: RM650 (tiket penerbangan) + RM783 (pengangkutan) + RM785 (tempat penginapan) = RM2,218. Inilah perbelanjaan kami yang utama.

Makan-makan 

Makanan di Jepun sungguh enak. Sumpah, semua rangkaian restoran Jepun di Malaysia tidak layak dibandingkan. Tapi, tentulah, jika anda bercuti dengan bajet yang ketat, anda mungkin berfikir bahawa makanan di Jepun semua mahal-mahal belaka.

Sebenarnya, itu semua bergantung pada cara anda menikmati makanan di sana. Budaya makanan di Jepun sangat luas, jadi anda akan menjumpai makanan yang enak di mana-mana ceruk sekalipun.

Image credit: Tokumeigakarinoaoshima

Donburi (hidangan nasi dalam mangkuk ala Jepun) ialah salah satu pilihan makanan yang amat murah di Jepun. Anda boleh mendapatkannya di rangkaian kedai seperti Yoshinoya dan Sukiya. Tempat-tempat ini sangat padat ketika waktu makan tengahari kerana ramai yang akan ke sini untuk menjamu selera.

Menu-menu di tempat ini selalunya disediakan dalam dua bahasa (bahasa Inggeris dan bahasa Jepun) dan harga untuk satu mangkuk ialah antara ¥350 hingga 550 (RM13 hingga RM20), bergantung pada saiz hidangan.

Rakan saya dan saya amat suka akan kare gyudon (daging kari) di Yoshinoya. Ia berharga ¥550 (RM20) dan ia datang dengan jeruk dan air, cukup untuk membuatkan kami kenyang sepanjang hari.

Satu lagi pilihan yang murah ialah untuk makan di yatai. Saya rasa sebagai orang Malaysia, anda pasti akan sukakan tempat ini. Yatai ialah gerai makanan yang anda selalunya dapat lihat di pasar malam. Dan seperti di gerai-gerai pasar malam kita, anda akan menemui aneka makanan yang sedap, seperti ramen dan juga makanan ringan seperti yakitori (ayam bakar cucuk), takoyaki (bebola sotong), tempura dan banyak lagi.

Tempat yang mempunyai banyak gerai yatai ialah Dotonbori, Osaka. Pasar malam yang tersohor ini ialah antara tempat kegemaran saya di Jepun kerana anda benar-benar akan rambang mata di sini. Di Tokyo, kami melawati pasar pagi berdekatan Tsukiji Market untuk sarapan dan ia juga antara pilihan yang baik. Pastikan anda mencuba makanan laut di sana!

Image credit: Martin Lewison

Dan tentu sekali, apakah Jepun tanpa makanan di kedai serbaneka? Setelah saya ke sana, saya perlu akui bahawa pilihan makanan di sana AMAT mengagumkan. Terdapat kotak bento, sandwic, oden, onigiri dan banyak lagi. Dan semuanya kelihatan sedap dan rasanya juga sedap.

Dengan purata harga antara ¥300 hingga ¥600 (RM11 hingga RM22) untuk setiap hidangan, makanan di kedai serbaneka amat sesuai untuk sesiapa yang mahu berjimat dan mahukan makanan yang enak. Kami melawati Lawson dan Family Mart lebih daripada 10 kali sewaktu berada di sana kerana ia terlalu sedap!

Jika anda mahu mencuba sushi di Jepun (pastilah mahu!), saya cadangkan anda pergi ke bar sushi. Dengan pelanggan yang berdiri di sekeliling kaunter sushi (tiada tempat duduk) dan chef yang menyediakan makanan di hadapan anda, ia merupakan satu pengalaman yang unik.

Sushi yang disediakan amat segar dan enak. Saya mengesyorkan bar sushi yang bagus dan berpatutan di Shibuya, Tokyo, di mana purata harga untuk sebiji sushi ialah antara ¥100 hingga ¥200 (RM3.60 hingga RM7.20).

Secara keseluruhan, kami berbelanja sebanyak ¥20,000 (RM724) untuk makanan, iaitu RM60 setiap hari (dibahagikan kepada 12 hari).

Tempat tarikan

Anda mungkin tidak percaya tetapi kami berbelanja kurang daripada ¥10,000 (RM362) untuk tempat tarikan pelancong di Jepun. Seperti yang saya katakan, ini bukan scam! Mungkin sukar untuk dipercayai, tetapi anda boleh melawati kebanyakan tempat ikonik di Jepun tanpa membayar walau satu sen pun.

Sebenarnya, kebanyakan tokong dan kuil di Jepun menawarkan kemasukan percuma.

Antara semua tempat tarikan yang kami lawati, tempat yang memerlukan tiket masuk hanyalah bahagian dalam Osaka Castle (¥600 – RM22) dan Himeji Castle (¥1,000 – RM36). Malah, anda boleh memilih untuk tidak membayar apa-apa dan masih dapat menikmati pemandangan yang cantik dari luar. Ini antara tempat-tempat hebat yang anda boleh lawati SECARA PERCUMA:

Dari kiri (mengikut arah jam): Dotonbori, Osaka: PERCUMA; Arashiyama Bamboo Forest, Kyoto: PERCUMA; Nara Park: PERCUMA; Sensoji Temple, Tokyo: PERCUMA

Fushimi Inari: PERCUMA
Osaka Castle: PERCUMA, bayaran masuk untuk bahagian dalam istana sahaja

Jadi, bagaimana kami boleh menghabiskan ¥10,000 (RM362) pada tempat tarikan jika semuanya percuma? Kami berbelanja ¥7,900 (RM286) untuk pas hari ke Universal Studios Osaka, manakala duit selebihnya dibelanjakan di arked permainan video di Akihabara, Tokyo.

Sudah tiba masanya untuk menyemak bajet kita. Jadi, RM5000 – RM2218 (tiket penerbangan, pengangkutan dan tempat penginapan) – RM724 (makanan) – RM362 (tempat tarikan) = RM1696.

Saya rasa bajet ini agak bagus setakat ini. Dan terdapat baki RM1699 untuk satu lagi agenda yang terakhir: membeli-belah!

P.s., kami tidak berpeluang untuk melawati kafe-kafe berkonsep di Tokyo, seperti kafe burung hantu atau kafe robot/pembantu rumah. Jadi, jika anda mahu melawatinya, sediakan bajet ¥3,000 (RM110) yang sudah lebih daripada mencukupi. Selain itu, jika anda ingin pergi ke konsert AKB48, tiketnya berharga kira-kira ¥2,100 – ¥3,100 (RM76 – RM112) di AKB48 Theatre di Akihabara, Tokyo.

Membeli-belah

Tentu sekali, salah satu benda yang paling popular untuk dibeli di Jepun ialah figura anime dan anak patung plushies. Anda boleh mendapatkannya di tempat-tempat seperti Akihabara (tempat idaman setiap otaku) dan Nipponbashi (Osaka).

Jika dibandingkan dengan Malaysia, figura anime di Jepun lebih berpatutan dan terdapat lebih banyak pilihan di sana. Purata harganya ialah antara ¥3,000 hingga ¥15,000 (RM109 hingga RM543) bergantung pada buatan dan saiz. Anda boleh menemui figura yang lebih murah sebenarnya, cuma anda perlu menyelidik dan melawati beberapa buah kedai sebelum membelinya.

Jika anda mahukan pilihan yang lebih murah lagi, anda boleh melawati Akiba Culture Zone yang menjual pelbagai figura terpakai. Semuanya masih dalam keadaan yang baik dan harganya juga jauh lebih murah!

Namun, bukan barangan anime sahaja yang boleh dibeli di Jepun. Terdapat pelbagai cenderahati Jepun untuk dibawa pulang (dan saya bukan maksudkan loket keychain dan magnet peti sejuk!).

Jika anda ingin membawa pulang makanan Jepun (matcha, wasabi, snek dan sebagainya), pergi ke pasaraya tempatan, farmasi (ia dipanggil “drug stores” di sana), dan kedai serbaneka. Anda akan menemui semua ini pada harga yang kurang daripada ¥300 (RM11), kecuali matcha, yang selalunya berharga ¥400 (RM15).

Jika anda ingin membeli cenderahati yang bukan berbentuk makanan, pergi ke kedai 100 yen dan pasar-pasar di kawasan tempatan. Anda boleh mendapatkan penyepit makanan chopsticks dan pinggan-mangkuk yang cantik serta barang perhiasan yang comel. Dan barang-barang ini selalunya tidak berapa berat, jadi anda tidak perlu risau tentang bagasi tambahan di lapangan terbang.

Secara keseluruhan, RM1,000 sudah mencukupi untuk membeli cenderahati di sana, lebih-lebih lagi jika anda tidak bercadang untuk membeli terlalu banyak figura anime. Jadi, perkiraan bajet kita yang muktamad ialah:

RM650 (tiket penerbangan) + RM783 (pengangkutan) + RM785 (tempat penginapan) + RM724 (makanan) + RM362 (tempat tarikan) + RM1,000 (membeli-belah) = RM4304

Tapi tunggu dulu!

Anda mungkin menyedari bahawa saya tidak bercakap tentang tiket penerbangan pulang langsung! Ini kerana rakan saya dan saya terus ke Busan, Korea Selatan dari Osaka dengan penerbangan bajet berharga RM280 (Peach Aviation).

Tetapi, jika anda sudah tidak sabar untuk pulang ke tanah tumpahnya nasi lemak dan teh tarik, anda boleh mendapatkan tiket yang murah dari Osaka ke Kuala Lumpur dengan harga yang kurang daripada RM600 dari AirAsia X. Itu setengah harga daripada apa yang yang anda perlu bayar untuk terbang dari Tokyo!

Walaupun dengan penambahan harga tiket pulang, perbelanjaan anda masih tidak akan melebihi RM5,000 untuk 12 (10) hari di Jepun!

Negara Matahari Terbit menunggu anda

Dan itulah pengalaman kami! Saya harap cerita ini dapat meyakinkan anda bahawa walaupun dengan bajet yang sedikit, anda masih boleh berseronok melancong di Jepun! Anda cuma perlu merancang dengan bijak dan kelak anda juga boleh mengembara di Negara Matahari Terbit yang cantik ini!

Baca Lagi: PANDUAN BERCUTI BAJET DI KOREA SELATAN 

Salmi

Salmi loves spending time in hostels, mingling with travellers from all over the world. She draws her inspiration from her father who used to take her travelling on bumpy back roads instead of highways. There, she learnt how to talk with strangers and where to find the best street food. When she’s not out and about, she writes, cooks and reads.

Share
Published by
Salmi

Recent Posts