Johor suatu ketika dahulu pernah dinamakan ‘jauhar’ oleh pedagang-pedagang Arab, yang bermaksud permata. Memang tidak dapat disangkal lagi, permata di selatan Malaysia ini kaya dengan pelbagai tarikan yang cantik dan unik.

Dengan bangunan-bangunan bersejarah, makanan yang enak serta pemandangan semula jadi yang tiada tandingannya, Johor merupakan destinasi yang perlu diterokai ramai. Jadi, kami telah menghimpunkan 11 perkara yang anda perlu lakukan sekiranya anda berkunjung ke Johor!

1. Lihat kunang-kunang di Kota Tinggi Firefly Park

Image credit: Kota Tinggi Firefly Park Official Facebook

Melihat cahaya yang dihasilkan oleh kunang-kunang pada waktu malam ialah suasana yang semakin jarang dapat dirasai. Terdapat ramai juga yang tidak berpeluang langsung melihat kunang-kunang, lebih-lebih lagi yang belajar dan bekerja di tengah-tengah hutan konkrit.

Di Kota Tinggi Firefly Park, anda akan dibawa ke beberapa tempat untuk melihat kunang-kunang dengan sebuah bot. Jadi, sama ada anda datang bersama anak-anak atau pasangan, pengalaman ini pasti tidak akan dapat dilupakan, seolah-olah menyaksikan pokok Krismas yang terang-benderang bermandi cahaya.

2. Lawati ladang kambing terbesar di Malaysia

Image credit: UK Farm Agro Resort Official Facebook

Di UK Farm Agro Resort Kluang, anda dapat menyaksikan kehijauan yang terbentang luas sebesar 100 ekar. Ladang kambing dan biri-biri yang terbesar di Malaysia ini merupakan destinasi yang terbaik jika anda mahukan suasana yang tenang sambil mempelajari tentang kegiatan pertanian dan penternakan yang amat terkenal di Johor.

Antara aktiviti-aktiviti yang sering menarik pelancong ialah peluang memerah susu kambing, melawati sanktuari herba, ladang buah markisa, taman burung unta, ladang bunga lavendar, zoo mini serta ladang cendawan. Bukan itu sahaja, anda juga boleh menikmati barbeku dan melepaskan tanglung ke udara pada waktu malam. Wah, bestnya!

3. Ambil gambar street art di Laman Kreatif Kluang

Image credit: This is Kluang Official Facebook

Jika anda ingin bersiar-siar sambil menghayati street art yang cantik, Kluang juga antara salah satu tempat di Malaysia yang menawarkan tarikan ini. Setelah meminum kopi dan menjamu selera di Kluang Rail Coffee, singgah ke Jalan Dato Teow Siew Khor dan Jalan Dato Kaptain Ahmad untuk pelbagai mural yang unik. Ada yang menggambarkan sejarah Kluang dan ada juga yang menggambarkan kartun-kartun moden! Jangan lupa bawa kamera anda bersama ya!

4. Bersantai di pantai ala Maldives di Pulau Rawa, Mersing

Image credit: Mohd Fazlin Mohd Effendy Ooi

Terletak 30 minit dari Jeti Mersing, Pulau Rawa yang mampu dibandingkan dengan Maldives kerana kecantikannya yang tidak terkata semakin popular di kalangan travelholic. Malah, gelongsor airnya yang ikonik turut disukai ramai kerana ia meluncurkan pelancong terus ke dalam air pantai!

Setelah berseronok menggelosor dan bermandi-manda, anda boleh bersantai di tepi pantai sambil menikmati pemandangan pulau yang menakjubkan itu. Bagi yang suka akan cabaran, anda boleh mendaki ke atas bukit untuk melihat matahari terbenam pada waktu senja. Bukan itu sahaja, kanu juga boleh disewa untuk menerokai gua-gua yang tersembunyi di sekeliling kawasan itu seperti Indiana Jones!

5. Atau snorkeling dan turtle-watch di Pulau Tengah, Mersing

Image credit: Mohd Fazlin Mohd Effendy Ooi

Pulau milik persendirian ini telah digazetkan sebagai taman marin dan ia merupakan habitat semula jadi pelbagai flora dan fauna yang eksotik. Namanya, Tengah, dinamakan kerana kedudukannya yang terletak di antara dua buah pulau: Pulau Besar dan Pulau Hujong.

Selain daripada snorkeling dan selam skuba, aktiviti yang amat disyorkan di sini ialah turtle-watching. Ya, bukan sahaja ia tempat pembiakan penyu belimbing, malah anda juga boleh membantu dalam projek pemuliharaan penyu di sini iaitu Turtle Watch Camp. Itu sememangnya percutian yang amat bermakna!

6. Lawati salah satu hutan paya bakau terbesar di dunia, Pulau Kukup National Park

Image credit: Johor National Parks Corporation Official Website

Menurut lagenda lama, satu sumpahan telah menyebabkan tempat ini ditelan laut dan kembali muncul sebagai hutan paya bakau yang kini kedua terbesar di dunia. Pulau yang amat bersejarah di Pontian ini amat sempurna untuk sesiapa yang ingin belajar tentang ekologi flora dan fauna paya bakau yang masih terpelihara rapi. Anda boleh memanjat jambatan tergantung, berkayuh merentasi paya serta melawati arboretum.

7. Mendaki di Gunung Ledang, Tangkak

Image credit: Johor National Parks Corporations Official Website

Satu lagi tempat yang kaya dengan sejarah dan lagenda ialah Gunung Ledang. Siapa saja yang tidak tahu akan gunung ini? Juga dikenali sebagai Mount Ophir (nama yang diberi oleh ahli kartografi Inggeris), Gunung Ledang merupakan antara salah satu gunung yang paling sukar untuk didaki di Malaysia. Jadi, kepada penggemar adrenalin, apa yang anda tunggu lagi?

8. Nikmati suasana kampung yang asli di Kampung Baru Bekok

Image credit: I Love Bekok 我爱彼咯 Official Facebook

Jika anda ingin merasai pengalaman hidup di kampung yang masih tidak tercela dengan bangunan-bangunan tinggi dan kenderaan yang sentiasa sesak, Kampung Baru Bekok di Segamat ialah pilihan yang terbaik. Anda akan jatuh cinta dengan perjalanan keretapi ke sana yang menawarkan pemandangan yang cantik, bangunan-bangunan lama yang masih terjaga rapi di Bekok Old Street serta mural-mural kreatif yang berwarna-warni.

Alam semula jadi di sana juga tidak kurang cantiknya. Dengan kanvas bintang-bintang yang terang-benderang pada waktu malam dan air terjun di Hutan Lipur Sungai Bantang, anda pasti tidak mahu meninggalkan Bekok!

9. Bersiar-siar di Senibong Cove yang romantik

Image credit: Senibong Cove Marina Official Facebook

Bagi yang ingin menikmati pemandangan kawasan perairan yang penuh dengan bot-bot dan kapal layar, vila moden serta restoran dan kafe mewah, Senibong Cove di Johor Bahru perlu berada dalam senarai anda! Bukan itu sahaja, pembangunan mega-infrastruktur di sini masih mengekalkan habitat hidupan liar serta menawarkan pelbagai aktiviti air seperti ski air, berlayar dan memancing di marina awamnya.

10. Lihat senibina yang unik di Arulmigu Sri Rajakaliamman Glass Temple

Image credit: Galaxy Tourism Official Website

Agama yang berlainan bukanlah penghalang untuk anda melihat kecantikan Arulmigu Sri Rajakaliamman Glass Temple di Johor Bahru. Kuil kaca yang pertama di dunia ini akan memukau anda dengan seni bina kaca yang berkilauan dan berwarna-warni. Patung-patung suci dari ajaran lain seperti Kristian dan Buddha serta mural yang menggambarkan nilai-nilai murni seperti keharmonian kaum turut menghiasi kuil ini. Jadi, pastikan anda tidak terlepas peluang untuk datang ke sini!

11. Hayati kecantikan Johor Bahru Old Town

Image credit: Paul Ng

Tanya sahaja kawan-kawan anda yang berasal dari Johor Bahru, mereka pasti akan katakan yang mereka sering lepak di JB Old Town atau lebih dikenali sebagai ‘bandar’. Bangunan-bangunan bersejarah, galeri seni, muzium, bakeri-bakeri lama serta kafe dan restoran yang moden menghiasi kawasan ini.

Bukan itu sahaja, ‘Bazar Karat’ di sepanjang Jalan Segget yang dibuka setiap malam juga sering dipenuhi pengunjung yang ingin menyaksikan live busking, membeli barangan-barangan murah dan juga menikmati suasana malam yang santai di bandar ini.

Johor permata selatan

Jika anda fikir Johor hanyalah sekadar Legoland dan Johor Premium Outlet, fikir sekali lagi! Dengan pelbagai tarikan yang cantik dan menakjubkan, anda pasti ingin melawati negeri yang bersejarah ini bersama-sama rakan-rakan dan keluarga!

Baca lagi: Percutian Tempatan Yang Menarik! 10 Destinasi Yang Anda Mungkin Tidak Tahu 

Salmi

Salmi loves spending time in hostels, mingling with travellers from all over the world. She draws her inspiration from her father who used to take her travelling on bumpy back roads instead of highways. There, she learnt how to talk with strangers and where to find the best street food. When she’s not out and about, she writes, cooks and reads.

Share
Published by
Salmi

Recent Posts