Sempena Tahun Melawat Melaka 2019 ini, apa kata kita semua berazam untuk menerokai Melaka dengan lebih terperinci lagi? Jika anda asyik berbalik ke Jonker Street saja setiap kali berada di Melaka, kali ini kami akan membawa anda ke tempat-tempat menarik yang lain pula!

Terbahagi kepada tiga daerah iaitu Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah, negeri ini padat dengan bangunan bersejarah, tradisi makanan dan tarikan semula jadi yang istimewa. Jom lihat tempat-tempat yang anda perlu lawati jika anda berkunjung ke Melaka!

Baca lagi: 19 Perkara Menarik Yang Anda Perlu Lakukan Di Pulau Pinang

1. Lihat pemandangan 360 darjah di Menara Taming Sari

Image credit: Sham Hardy

Mulakan percutian anda dengan melihat pemandangan bandaraya Melaka dari Menara Taming Sari. Berketinggian 110 meter, menara ini dilengkapi dengan teknologi platform berpusing dari Switzerland yang membolehkan anda melihat pelbagai tempat seperti Bukit St. Paul, Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, replika kapal Flor De La Mar, Pulau Besar dan perairan Selat Melaka.

Dengan harga tiket RM17 bagi orang dewasa dan RM11 bagi kanak-kanak, pusingan yang berlangsung selama 7 minit ini ialah aktiviti yang berbaloi untuk memahami geografi negeri Melaka! Sebagai alternatif, anda juga boleh menikmati pemandangan ini pada waktu malam.

2. Jejaki tempat-tempat bersejarah di serata bandaraya

Image credit: Dennis Sylvester Hurd

Percutian anda di bandaraya bersejarah ini tidak sempurna tanpa melawati tapak peninggalan penjajah, tempat-tempat suci dan muzium yang bersejarah!

Anda boleh memilih untuk menyertai program seperti ‘Melaka After Dark Night Walk’ yang dianjurkan oleh Persatuan Sahabat Muzium Melaka, ataupun DIY sahaja menggunakan ‘Melaka Street Map’ yang boleh didapati di Pusat Maklumat Pelancongan. Antara tempat-tempat yang tidak boleh dilepaskan ialah St. Francis Xavier Church, The Stadthuys, Porta de Santiago dan Baba & Nyonya Heritage Museum.

Seperti Street of Harmony di George Town, terdapat juga versi yang sama di Jalan Tukang Emas di Melaka. Juga digelar Harmony Street, terdapat tempat-tempat suci yang terletak berdekatan antara satu sama lain di sini seperti Masjid Kampung Keling, Sri Poyatha Vinayagara Moorthy Hindu Temple, San Duo Temple dan Cheng Hoon Teng Temple.

3. Hayati street art di sepanjang Sungai Melaka yang nyaman

Image credit: Dennis Sylvester Hurd

Sungai Melaka bukan sahaja tempat untuk menaiki River Cruise, tetapi ia juga padat dengan mural street art yang berwarna-warni dan cantik. Jangan lupa untuk bergambar di Kiehl’s Mural Melaka yang amat ikonik di situ!

Sungai Melaka juga ialah destinasi yang popular untuk suasana makan malam yang romantik dengan pilihan seperti River Grill @ Casa Del Rio, The Street Kitchen, Wild Coriander dan River View Cafe.

Baca lagi: 9 Tempat Menarik Yang Anda Perlu Lawati Di Ipoh Selain Lost World Of Tambun

4. Kemudian, cafe-hop di sekitar Jonker Street

Image credit: Calanthe Art Cafe Official Instagram

Dengan cuaca Melaka yang panas, pasti anda akan pantas melangkah ke kafe-kafe berdekatan untuk secawan ais latte. Jangan risau kerana Jonker Street ialah tempat yang paling terkenal untuk cafe-hopping di Melaka! Sama anda ingin menikmati penkek pandan bersama gula Melaka di The Daily Fix Cafe atau aneka kopi dan kek di Calanthe Art Cafe, anda pasti akan puas hati!

5. Lawati perkampungan lama yang masih terpelihara rapi

Image credit: Michael Coghlan

Selain bangunan bersejarah, Melaka juga terkenal dengan perkampungan yang tersendiri iaitu Kampung Morten, Kampung Chetti dan Kampung Portugis.

Di Kampung Morten, anda boleh melawati rumah tradisional Melayu yang ditukar menjadi rumah tetamu dan muzium. Kampung Chetti pula ialah kawasan tumpuan masyarakat Hindu Peranakan yang beragama Hindu tetapi mengamalkan adat Melayu dan Cina.

Manakala, Kampung Portugis yang terletak di tepi laut pula didiami oleh masyarakat Kristang, yang merupakan keturunan penjajah Portugis yang datang ke Melaka pada tahun 1511. Anda boleh menikmati makanan laut ala Portugis di sini dan yang paling istimewanya, setiap kali Fiesta San Pedro (29 Jun-1 Julai) dan perayaan Krismas menjelang, kampung ini akan menjadi begitu meriah sekali! Mark your calendar, guys!

6. Nikmati pemandangan indah di Masjid Terapung Selat Melaka

Image credit: Sham Hardy

Terletak di Pulau Melaka yang merupakan pulau buatan manusia, masjid ini mempunyai kubah berwarna emas dan gerbang kaca berwarna-warni. Ia benar-benar kelihatan terapung apabila air pasang dan amat popular dalam kalangan pelancong ketika waktu senja! Tapi jika anda tanya kami, pemandangan di sini memang cantik tak kira pagi, petang, siang, atau malam!

7. Lihat reka bentuk mengagumkan di Encore Melaka Theater dan nikmati persembahan yang mempersonakan

Image credit: Encore Melaka Official Facebook

Haaaa, kalau anda nak tahu, inilah tempat tarikan terbaru di Melaka! Taip saja #encoremelaka di Instagram dan anda akan tahu kenapa. Jika Singapura mempunyai Esplanade dan Australia mempunyai Sydney Opera House, Malaysia mempunyai Encore Melaka Theater!

Tempat ini sebenarnya ialah tempat persembahan teater produksi tempatan yang bertajuk ‘Encore Melaka’, yang juga berfungsi sebagai pusat kebudayaan. Dengan reka bentuk kontemporari yang bermotifkan budaya berbilang bangsa, pusat teater yang berteknologi tinggi ini perlu anda lawati!

8. Mendaki dan berseronok di hidden gem Klebang Sand Dunes

Image credit: Melaka The Guide Official Facebook

Jika anda mahu melihat padang pasir buatan manusia di Malaysia, sand dunes yang terletak di Pantai Klebang ialah jawapannya! Pantai Klebang yang merupakan destinasi utama untuk aktiviti bermain layang-layang dan berpiknik ini semakin hari semakin popular kerana tarikan hidden gem ini!

Disebabkan projek penambakan tanah yang tergendala pada suatu ketika dahulu, kini longgokan dan gunungan pasir putih ini menjadi pilihan pelancong, lebih-lebih lagi ketika cuaca cerah dan waktu senja. Memang sempurna untuk anda yang yang gemar akan fotografi landskap dan juga yang mahu meluncur pasir!

9. Berkelah dan mandi-manda di perkampungan nelayan Pantai Puteri

Image credit: Shengwei=圣慰

Jika Pantai Klebang terlalu sesak untuk anda, apa kata anda pergi ke Pantai Puteri pula? Pokok-pokok yang banyak di sini menjadi tempat untuk anda berteduh dan terdapat juga aktiviti air yang anda boleh sertai! Bukan itu sahaja, kawasan ini juga dilengkapi dengan masjid, tandas awam, medan selera dan juga hotel.

10. Ataupun lawati Pulau Besar yang bermisteri

Image credit: Pulau Besar Melaka, Malaysia Official Facebook

Bagi yang gemarkan sejarah, lagenda dan mitos alam Melayu, anda mesti singgah ke Pulau Besar! Perkampungan Bunian, Tasik Bunian, Gua Yunus, Batu Belah, Tapak Kaki Sultanul Aarifeen, Makam Nenek Kebayan dan Makam Tujuh Beradik – ini antara tapak-tapak lama yang anda bakal temui di sini.

11. Berseronok di taman tema A’Famosa Theme Park

Image credit: A’Famosa Resort Official Facebook

Terletak di daerah Alor Gajah, A’Famosa Theme Park memang sesuai untuk semua peringkat umur! Di ‘Safari Wonderland’, anda berpeluang melihat pelbagai haiwan seperti bangau, buaya dan burung merak. ‘Water Theme Park’ pula ialah taman tema air terbesar di Malaysia yang merangkumi lebih daripada 12 jenis permainan! Manakala, ‘Old West’ ialah tempat untuk menikmati suasana ‘Western’ dengan bangunan antik, bunga api, funfair dan cowboys dan cowgirls!

12. Kemudian, beli-belah di Freeport A’Famosa Outlet Village yang cantik

Image credit: A’Famosa Resort Official Facebook

Freeport A’Famosa Outlet Village ini sesuai untuk anda yang mahu membeli-belah sambil menghayati reka bentuk seni bina kolonial Belanda yang cantik! Pusat membeli belah terbuka yang menawarkan lebih daripada 70 jenama fesyen ini juga merangkumi sebuah tasik, fountain, karousel dan kincir angin.

13. Mendaki di Gunung Ledang (Asahan Trail)

Image credit: Johor National Parks Corporations Official Website

Satu lagi tempat yang kaya dengan sejarah dan lagenda ialah Gunung Ledang. Siapa saja yang tidak tahu akan gunung ini? Juga dikenali sebagai Mount Ophir (nama yang diberi oleh ahli kartografi Inggeris), Gunung Ledang merupakan antara salah satu gunung yang paling sukar untuk didaki di Malaysia. Jadi, kepada penggemar adrenalin, apa yang anda tunggu lagi?

Jika anda fikir Melaka hanyalah sekadar Jonker Street dan bangunan bersejarah, fikir sekali lagi! Dengan pelbagai tarikan yang cantik dan menakjubkan, anda pasti ingin melawati Melaka bersama-sama rakan-rakan dan keluarga!

Baca lagi: 11 Aktiviti Menarik Di Johor Yang Anda Perlu Lakukan

Salmi

Salmi loves spending time in hostels, mingling with travellers from all over the world. She draws her inspiration from her father who used to take her travelling on bumpy back roads instead of highways. There, she learnt how to talk with strangers and where to find the best street food. When she’s not out and about, she writes, cooks and reads.

Share
Published by
Salmi

Recent Posts