Kuala Lumpur ialah antara bandar kegemaran saya di seluruh Malaysia. Dengan budaya makanan yang berbeza-beza, tempat tarikan pengunjung yang menarik serta kepelbagaian masyarakat yang tinggal di sini, Kuala Lumpur pasti tidak akan mengecewakan anda yang gemar berjalan-jalan dan menerokai hutan konkrit. Jadi, kami telah menghimpunkan 12 perkara menarik yang anda perlu lakukan sekiranya anda berkunjung ke Kuala Lumpur!

1. Bersiar-siar sambil melihat street art edisi KL

Image credit: zol m

Street art memang sudah tidak asing lagi di negara kita. Selain daripada Pulau Pinang yang amat terkenal dengan street art, Kuala Lumpur juga antara bandar yang bangga dengan lukisan-lukisan muralnya. Jalan Changkat, Jalan Alor, dan Jalan Panggung adalah antara tempat-tempat yang sering menarik pengunjung. Jika anda benar-benar ingin mempelajari tentang sejarah street art di KL, pastikan anda sertai Street Art Tour yang dianjurkan oleh Yellow House KL!

2. Temple-run di Thean Hou Temple yang tersergam indah

Image credit: Travis Chau

Tokong Buddhisme yang terletak di atas bukit ini sememangnya tempat yang aman damai. Ia juga dikelilingi oleh taman bunga yang terdiri daripada kesemua 12 patung-patung zodiak Cina yang masih terpelihara. Dengan pemandangan tanglung-tanglung yang merah menyala serta seni bina yang terperinci, anda pasti akan jatuh cinta dengan tempat ini.

3. Sertai ‘Plane in The City’ untuk suasana makan yang romantis

Image credit: Plane In The City Official Facebook

Kapal terbang yang terparkir di tengah-tengah bandar? Itulah reaksi saya yang konpius semasa menghadiri mesyuarat di kawasan Bukit Bintang. Rupa-rupanya, ia sebuah lokasi yang membolehkan pengunjung menjamu selera ala hotel lima bintang di dalam kapal terbang! Bukan itu saja, anda juga boleh melawati ruang kokpit dan berjalan di atas sayap pesawat.

4. Ataupun ‘Dinner in The Sky’ bagi yang gemar akan cabaran

Image credit: Dinner In The Sky Official Facebook

Makan malam sambil memakai tali pinggang keselamatan? Bukan di dalam kereta ya, tetapi di udara! Dinner in The Sky merupakan pengalaman sekali seumur hidup yang anda perlu cuba, di mana anda akan dijamu pada ketinggian 150 kaki! Dan yang paling istimewanya, Kuala Lumpur ialah satu-satunya tuan rumah bagi pengalaman menjamu selera di udara di Asia Tenggara.

Baca lagi: 11 Aktiviti Menarik di Johor 

5. Nikmati alam kehijauan di Perdana Botanical Gardens

Image credit: Perdana Botanical Gardens Official Website

Di Perdana Botanical Gardens yang juga dikenali sebagai Taman Botani Perdana, anda dapat melawati pelbagai tempat seperti Bamboo Playhouse, Hibiscus Garden, Deer Garden, Exotic Species Collection dan banyak lagi. Dengan keluasan 226 ekar, anda tidak perlu risau untuk bersesak-sesak dengan orang ramai. Pokok-pokok yang tinggi melampai juga menjadi tempat yang sempurna untuk anda berteduh, lebih-lebih lagi jika anda ingin berpiknik!

6. Trekking di Forest Research Institute Malaysia (FRIM)

Image credit: C.K. Koay

Bagi yang gemarkan adventure cycling dan trekking, FRIM yang berkeluasan 3,775 ekar ialah tempat yang paling sesuai untuk anda. Bukan itu sahaja, antara aktiviti-aktiviti yang turut popular di sini ialah berkhemah, berpiknik, memerhati burung, berjoging serta melawati taman-taman dan arboretum. Terletak 16km dari bandaraya Kuala Lumpur, FRIM sememangnya hutan belantara yang masih cantik dan terjaga rapi.

7. Makan-makan di Kampung Baru Saturday Night Market

Image credit: naim fadil

Jika anda berada di KL pada hari Sabtu, jangan lepaskan peluang untuk melawati Kampung Baru Night Market yang dibuka pada pukul 6 petang sehingga 1 pagi. Kampung Baru merupakan kampung Melayu yang tertua di bandaraya ini, jadi anda pasti akan dapat melihat pelbagai jenis masakan Melayu yang ditawarkan di sini. Dan yang paling istimewanya, kampung ini berbelakangkan KLCC yang ikonik, jadi anda akan berada di kampung yang masih kekal terpelihara di hutan konkrit Kuala Lumpur.

8. Cafe-hopping di serata bandaraya

Image credit: Lisette’s Café & Bakery Official Facebook

KL dan kafe memang tiada pisahnya! Bagi yang sudah penat mengunjungi tempat makan dan pasar malam yang biasa-biasa, apa kata anda pergi cafe-hopping di sini? Seperti pilihan makanan yang merambangkan mata di KL, kafe di sini juga bukti bahawa ramai rakyat Malaysia yang ternyata amat kreatif dengan idea mereka. Antara kafe-kafe yang disyorkan ialah VCR Cafe, Pokok KL Cafe, Merchant’s Lane, Lisette’s Cafe &Bakery dan Leaf & Co. Terdapat juga kafe bertema seperti Peekaboo Cafe dan Makan at The Basikal.

9. Jalan-jalan di Brickfields yang kaya dengan sejarah

Image credit: Eduardo M.C.

Juga dikenali sebagai Little India, anda tidak boleh lepaskan peluang melawati Brickfields, lebih-lebih lagi jika anda minat akan sejarah dan juga MAKAN. Apatah lagi ia terletak berhampiran KL Sentral, jadi anda boleh bersiar-siar dengan mudah dan melihat tempat-tempat suci seperti kuil, gereja dan tokong. Selepas itu, jangan lupa menjamu selera di pelbagai restoran yang menyediakan makanan India seperti nasi daun pisang dan briyani!

10. Singgah di Coliseum Cafe yang telah wujud selama hampir satu abad

Image credit: Coliseum Cafe Official Facebook

Peminat makanan Western perlu datang ke sini! Bukan sahaja kafe ini menyediakan menu fusion Hainanese-Western seperti Ox-Tail Soup, Hainanese Chicken Chop, dan pelbagai variasi Sizzling Steak & Chops, malah restoran yang halal ini juga telah beroperasi sejak tahun 1921 lagi. Kafe yang bercirikan kolonial Inggeris ini masih berdiri megah di Jalan Tuanku Abdul Rahman, jadi jangan lupa singgah ke sini dan makan Lamb Chop anda bersama Sos Cili Lingham yang simbolik itu!

11. Pelajari sejarah kesenian Islam di Islamic Arts Museum

Image credit: Islamic Arts Museum Malaysia Official Facebook

Terletak berdekatan dengan Perdana Botanical Gardens, muzium ini ialah antara salah satu muzium tercantik di Malaysia. Sebagai muzium Islamik yang terbesar di Asia Tenggara, ia menempatkan lebih daripada 10,000 artifak kesenian Islam dari pelbagai negara dan benua.

Di sini, anda dapat melihat pengaruh Islam dari segi seni bina, manuskrip, barangan seramik, duit-duit lama dan banyak lagi. Terdapat juga perpustakaan mini untuk anak-anak kecil anda yang ingin menyertai bengkel seni dan kraf!

12. Nikmati pemandangan matahari terbenam di Helipad Rooftop Bar

Image credit: Helipad Official Facebook

Terdapat banyak tempat di sekitar Kuala Lumpur untuk anda berehat dan melihat matahari terbenam. Tetapi, alang-alang anda sudah berada di bandaraya ini, apa kata anda terus naik ke Tingkat 36 Menara KH dan nikmati pemandangan di sini?

Sebelum itu, anda perlu membeli minuman di Heli Lounge Bar (harga bermula dari RM25 ke atas) di Tingkat 34. Dengan pemandangan 360° serta suasana matahari terbenam di sini, Kuala Lumpur pasti akan meninggalkan kenangan yang indah untuk anda!

Kuala Lumpur Bandaraya Sofistikated

Bandaraya moden dan sofistikated ini mungkin sentiasa sesak dengan kenderaan, tetapi jika anda merancang perjalanan anda dengan baik, anda pasti akan jatuh cinta menerokai pelbagai tarikan dan budaya di sini. Sama ada anda bekerja di sini atau anda merancang untuk berkunjung ke sini, bandaraya ini takkan mengecewakan anda!

Baca lagi: 10 Destinasi Malaysia yang Anda Mungkin Tidak Tahu

Salmi

Salmi loves spending time in hostels, mingling with travellers from all over the world. She draws her inspiration from her father who used to take her travelling on bumpy back roads instead of highways. There, she learnt how to talk with strangers and where to find the best street food. When she’s not out and about, she writes, cooks and reads.

Share
Published by
Salmi

Recent Posts