Sebagai salah satu metropolis Asia yang berjaya menggabungkan aspek urban dan tradisional, Seoul sememangnya mencerminkan keindahan negara kelahiran kimchi ini. Seoul kaya dengan pelbagai seni bina bangunan yang mengagumkan, ruang-ruang hijau yang mesra alam, tarikan semula jadi yang terpelihara cantik serta budaya tradisional yang dapat dilihat di tapak-tapak tinggalan lamanya.

Dengan pengaruh hiburan K-pop dan K-drama serta makanan Korea yang popular di serata dunia, Seoul merupakan titik permulaan yang sempurna untuk anda menerokai Korea Selatan. Jadi, kami telah menghimpunkan 20 tempat menarik yang anda perlu lawati di Seoul!

1. Chill dan lihat pameran di Culture Station Seoul 284

Image credit: Culture Station Seoul 284 Official Instagram

Terletak berdekatan dengan Seoul Station, Culture Station Seoul 284 yang berdiri megah merupakan stesen keretapi lama yang diperbaharui sebagai pusat kebudayaan. Bagi para penggemar seni bina Eropah dan sejarah, anda perlu datang ke sini! Dengan pelbagai pameran seni yang bertukar pada setiap musim, anda dapat menghargai daya kreatif masyarakat di sini.

2. Jalan-jalan di Cheonggyecheon Stream yang mesra alam

Image credit: therealrealjd

Terdiri daripada 22 batang jambatan dan berukuran sepanjang 11 km, Cheonggyecheon Stream merupakan terusan air yang telah diperbaharui. Dan yang paling istimewanya, terdapat lukisan, mural dan papan tanda yang menceritakan sejarah terusan ini serta lampu yang berwarna-warni pada waktu malam!

3. Kemudian, nikmati seni bina futuristik di Dongdaemun Design Plaza (DDP)

Image credit: 동대문디자인플라자 DDP Official Facebook

Direka oleh arkitek wanita kelahiran Iraq Zaha Hadid, Dongdaemun Design Plaza merupakan bangunan 3D tanpa bentuk (amorphous) yang terbesar di dunia. Sebagai hab fesyen dan reka bentuk, anda dapat melawati Design Museum, Art Hall, dan banyak lagi di sini. Jangan lupa untuk singgah ke Dongdaemun Market berdekatan yang amat terkenal dengan jualan barangan K-Fashion!

4. Berseronok di taman tema LOTTE World

Image credit: Ha98574

Di sini, anda yang sukakan aktiviti mencabar boleh merasai pengalaman bermain Gyro Drop, Gyro Swing dan Gyro Spin, manakala yang berkeluarga pula boleh menuju ke Camelot Carousel, Fantasy Forest dan banyak lagi!

5. Hayati keindahan alam semula jadi di Nami Island

Image credit: Jinho Jung

Bukan setakat patung Joon Sang dan Yoo Jin sahaja yang ada di sini! Selain melihat lokasi penggambaran Winter Sonata, anda juga dapat bersiar-siar di pelbagai taman yang cantik seperti The Central Korean Pine Tree Lane, Magnolia Garden, Gingko Tree Lane dan The Maple Lane of True Love.

6. Nikmati suasana romantik di Namsan Tower

Image credit: CYAN

Terletak di puncak Gunung Namsan, anda berpeluang menyaksikan panorama 360 darjah Seoul di Namsan Tower. Sama ada anda ingin melihat lokasi K-Drama yang amat popular ini, ataupun anda ingin menyertai ribuan pengunjung yang mengunci mangga di jambatan Love Locks, Namsan Tower ialah tempat ikonik yang perlu anda lawati!

7. Rasai pengalaman jjimjilbang di sauna terbesar Seoul

Image credit: 드래곤힐스파 dragonhillspa 德龙宫龙山汗蒸幕 Official Facebook

Ruginya jika anda ke Korea tanpa merasai pengalaman sauna tempatan yang dikenali sebagai jjimjilbang! Sebagai pusat sauna yang terbesar di Seoul, Dragon Hill Spa ialah tempat yang sempurna untuk anda mempelajari budaya masyarakat Korea ini. Dengan kemudahan spa, sauna, KTV, gimnasium dan panggung wayang, percutian anda benar-benar berbaloi di sini.

8. Lihat suasana malam di pulau buatan manusia Sebitseom

Image credit: 세빛섬 Official Facebook

Merangkumi tiga buah pulau terapung buatan manusia, Sebitseom ialah kompleks serbaguna yang dipenuhi dengan dengan cahaya lampu LED, restoran berkelas tinggi dan galeri seni. Lokasinya yang terletak di kawasan perairan membolehkan anda menyertai pelbagai aktiviti air yang unik seperti berpiknik di atas Tubester!

9. Mendaki gunung di Seoraksan National Park

Image credit: Meryl Ko

Bagi anda yang kaki hiking, pastikan anda meluangkan lebih kurang 4-5 jam untuk menerokai Seoraksan National Park yang cantik ini!

10. Pelajari tentang cara hidup masyarakat lama Korea di Bukchon Hanok Village

Image credit: travel oriented

Rumah-rumah tradisional Korea ini juga berfungsi sebagai pusat kebudayaan, kedai teh dan rumah tetamu. Jika anda ingin mencuba pakaian tradisional Hanbok, inilah tempatnya!

11. Cafe-hop di Garosu-Gil, Gangnam

Image credit: REMICONE Official Instagram

Bagi penggemar manisan, pastri dan kopi, anda bolehlah menuju ke Garosu-gil, Gangnam untuk cafe-hop. Gangnam juga merupakan daerah yang penuh dengan bangunan pencakar langit, restoran serta butik-butik mewah.

12. Bersiar-siar di Seoullo 7017 Skygarden yang unik

Image credit: Go!Graph Official Facebook

Antara projek pembaharuan urban di ibu kota ini ialah Seoullo 7017 Skygraden yang pernah berfungsi sebagai lebuhraya. Sebanyak 24,000 tumbuhan menghiasi taman ini yang akan bertukar warna pada setiap musim!

13. Nikmati teh di Beautiful Tea Museum

Image credit: Korea Tourism Organization Official Website

Muzium kecil yang terletak di sebuah rumah tradisional hanok ini amat sesuai untuk penggemar teh, di mana terdapat kafe yang menyediakan sebanyak 130 jenis teh dari pelbagai negara.

14. Cari makanan halal di Itaewon

Image credit: Makan Halal Korean Restaurant

Jangan risau lagi tentang makanan kerana daerah Itaewon amat terkenal dengan restoran yang halal! Pelbagai hidangan Korea seperti bulgogi, dakdoritang, bibimbap dan nakji bokkeum ada di sini.

15. Lihat istana Korea di Gyeongbokgung Palace

Image credit: epicaxas

Gyeongbokgung Palace bukan sahaja merupakan istana terbesar di Korea, malah ia dibina oleh Raja Taejo pada zaman Dinasti Joseon. Anda boleh mempelajari tentang sejarah Korea dengan lebih lanjut di National Palace Museum of Korea dan National Folk Museum yang terletak di sini.

16. Berbasikal dan lihat matahari terbenam di taman bunga yang cantik di Seoul Forest

Image credit: 서울숲 Seoul Forest Park Official Facebook

Seoul Forest terdiri daripada pelbagai jenis taman bertema seperti Cultural Art Park, Ecological Forest dan Waterside Park. Terletak bersebelahan dengan Han River, taman ini ialah pilihan utama penduduk tempatan untuk bersiar-siar menikmati udara segar!

17. Lawati tapak warisan dunia UNESCO di Jongmyo Shrine

Image credit: Richard Lee

Jika anda ingin melihat salah satu tapak warisan dunia UNESCO di Korea, anda boleh lawati Jongmyo Shrine yang cukup tenang, damai dan cantik. Makam diraja yang merangkumi beberapa buah dewan, makam perigi dan pavilion ini dibina oleh Raja Taejo untuk mengingati raja dan permaisuri Korea yang telah berangkat.

18. Lihat persembahan jalanan di Hongdae (Hongik University Street)

Image credit: Hyun Woo Kang

Bagi yang gemarkan suasana hipster dan indie, Hongdae ialah tempat yang amat terkenal dengan belia muda dan pelajar yang mengamalkan kebebasan bersuara. Ini terbukti dengan pelbagai persembahan jalanan oleh artis indie dan K-pop, deretan muzium yang unik, flea market, karaoke dan banyak lagi!

19. Beli-belah produk kecantikan di Myeongdong

Image credit: 3ce_official Official Instagram

Walaupun Myeongdong secara umumnya amat popular sebagai tempat membeli-belah, produk kecantikan antarabangsa dan K-Beauty ialah tumpuan utama pengunjung di sini. Jadi, kepada yang sukakan barangan mekap, anda akan menemui pelbagai jenama seperti Innisfree, Stylenanda 3CE, Banila Co, dan Too Cool For School.

20. Lihat tangki minyak lama yang dimodenkan di Oil Tank Culture Park

Image credit: Seoul Korea Official Facebook

Bersedia untuk jejaki dunia apokalips? Anda perlu lihat tarikan terbaru ini yang merupakan salah satu projek pembaharuan urban di Seoul! Enam buah tangki minyak lama ini bukan hanya berfungsi sebagai pusat kebudayaan dan ruang seni, malah sebagai tempat rawatan air dan pengumpulan air hujan. Antara ciri-ciri bangunan ini ialah Culture Complex, Story Hall, Outdoor Amphitheatre, Seoul Future Heritage Museum dan Cafe Tank6.

Jadi, apa yang anda tunggu lagi? Daya kreatif yang tinggi, tapak-tapak yang mesra alam serta warisan budaya yang kekal terpelihara pasti akan membuatkan anda jatuh cinta dengan ibu kota Korea Selatan ini! Seoul, jom?

Salmi

Salmi loves spending time in hostels, mingling with travellers from all over the world. She draws her inspiration from her father who used to take her travelling on bumpy back roads instead of highways. There, she learnt how to talk with strangers and where to find the best street food. When she’s not out and about, she writes, cooks and reads.

Share
Published by
Salmi

Recent Posts