Sesiapa yang pernah tinggal di KL pasti tahu yang makanan-makanan di sini memang amat istimewa. Cakap sahaja anda mahu masakan apa, pasti anda akan temuinya di sini, Jadi, kami telah menghimpunkan 8 tempat makan yang menarik di sini, bagi anda yang mahu jalan-jalan cari makan di Kuala Lumpur.

Pilihan Klasik

Ikan Bakar Kak Jat

Image credit: Kak Jat Ikan Bakar Official Facebook

Sebut sahaja Ikan Bakar Belakang Istana yang lejen, pasti sudah ramai yang tahu. Kami di Tripzilla percaya bahawa restoran yang layak mendapat tempat dalam senarai ini bukan sahaja menyediakan makanan yang enak, malah cara penyediaan, sambutan orang ramai dan persembahan juga amat penting!

Apa yang istimewa sangat dengan tempat ini sampaikan ramai pelanggan tak jenuh-jenuh untuk beratur panjang? Sebaik sahaja anda sampai, anda akan dapat melihat asap yang datang dari kuali leper yang membakar deretan ikan dan makanan laut seperti pari, talapia, siakap, cencaru, udang dan sotong. Aroma makanan laut yang dibakar di dalam daun pisang ini pasti akan membuatkan anda terliur. Tapi, jangan mimpilah kalau anda datang lambat ya!

Rasa Antarabangsa

Restoran Cheese Banjir

Image credit: Cheese Banjir Official Facebook

Kalau dah namanya banjir, mesti anda suka, kan?! Kita semua sukakan roti canai banjir, nasi kandar kuah campur banjir, jadi kali ini, apa kata anda cuba cheese banjir pula? Restoran ini amat terkenal dengan menu Western yang unik seperti Lamb Grill The Hulk, Chicken Chop Captain America dan Fish & Chip Thor. Ada juga menu makanan tempatan seperti Udang Butter Gorgon dan Asam Pedas Kepala Ikan Dr. Strange!

Anda perlu datang ke sini dengan perut kosong kerana saiz hidangannya amat besar dan berpatutan dengan harga. Bagi peminat-peminat cheese pula, jangan takut untuk meminta extra cheese kerana sos di sini memang sangat sedap dan tidak memuakkan langsung!

Halab KL

Image credit: Halab KL Official Facebook

Makanan Timur Tengah sudah tidak asing lagi bagi rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi bagi yang menetap di Kuala Lumpur. Sebut sahaja Bukit Bintang Arab Street, ramai yang akan terfikir tentang deretan restoran Timur Tengah di kawasan ini. Halab KL juga tidak terkecuali.

Bagi yang tidak tahu, Halab merupakan nama lama bagi bandar Aleppo di Syria. Jadi, Halab KL menyediakan makanan tradisi Syria seperti Muhammarah (kisaran kacang walnut dan lada merah), Chicken Maklouba (hidangan nasi bersama ayam dan terung) dan Kibbeh Labanieh (bebola daging dalam stew yogurt). Bukan sahaja makanannya sedap, malah suasana restoran ini amat sofistikated dan benar-benar akan membawa anda ke Timur Tengah.

Jinjja Chicken

Image credit: Jinjja Chicken Malaysia Official Facebook

Ayam goreng ala Korea Selatan? Tipulah kalau anda tak suka! Ayam yang rangup disaluti dengan sos yang melekit dan pedas memang boleh membuatkan kita semua ketagih! Fenomena KFC (Korean Fried Chicken) ini bukanlah perkara yang baru di Malaysia dan semakin hari, semakin banyak restoran yang menawarkan hidangan ini.

Berdasarkan ulasan-ulasan netizen, Jinjja Chicken ialah antara tempat yang terbaik di KL untuk menikmati street food ala Korea seperti ayam goreng bersoskan yangnyeom (sos manis pedas) dan soy garlic (sos bawang putih bersama kicap), kimbap (gulungan nasi) dan tteokbokki (kek beras bersama kek ikan dan sos manis pedas). Kalau ada yang berani, anda bolehlah cuba kepedasan ayam goreng tahap monster!

Baca lagi: Aktiviti Menarik di Kuala Lumpur Yang Harus Anda Cuba

Stiq

Image credit: Stiq Official Facebook

Stiq merupakan gerai tepi jalan yang menawarkan hidangan steak yang dimasak menggunakan teknik sous vide. Tempat makan yang selalunya menghidangkan masakan ini ialah restoran dan hotel lima bintang. Jadi, Stiq ialah satu-satunya gerai tepi jalan di KL (malah mungkin di seluruh Malaysia) yang dapat memberikan anda pengalaman merasai hidangan ini dengan harga berpatutan!

Anda boleh memilih pelbagai jenis daging steak seperti kambing dan lembu yang dimasak secara perlahan selama 22 jam ataupun ayam dengan pilihan sos seperti peri-peri, kimchi, barbeku dan lada hitam. Setiap hidangan juga datang dengan kentang bakar, salad, bawang karamel dan minuman yang percuma!

Bagi Penggemar Manisan

Jaslyn Cakes

Image credit: Jaslyn Cakes Official Facebook

Walaupun saiz kafe ini tidaklah sebesar mana, Jaslyn Cakes tetap menarik pengunjung pada setiap masa. Melangkah ke dalam kafe ini akan membuatkan anda berasa amat tenang, diselangi haruman semerbak vanila, coklat dan biji kopi. Bukan setakat deria bau saja yang akan diuji, anda juga akan melihat deretan kek dan pastri yang ditawarkan di sini.

Antara kek yang popular ialah Peanut Butter and Chocolate Sandwich, Victoria Sponge, Vanilla Bean Cheesecake, dan Lemon Curd Cake. Pelbagai variasi pastri seperti cookies, scone dan madeleine juga turut ada. Jangan lupa singgah ke Dew (terletak bersebelahan dengan kafe ini) untuk menikmati pastri ala Perancis, yang juga dimiliki oleh Jaslyn Rangon.

Kind Kones

Image credit: Kind Kones Official Facebook

Aiskrim, salah satu makanan yang sukar untuk tidak digemari ramai! Dalam cuaca Malaysia yang panas ini, siapa yang tak mahukan aiskrim? Tapi, apa yang istimewa sangat dengan aiskrim di kafe ini?

Kind Kones merupakan kafe pertama di seluruh Malaysia yang menawarkan aiskrim vegan! Maknanya, tiada telur dan produk tenusu yang digunakan! Malah, gula halus, bahan emulsifier, pengawet, dan pewarna juga tidak wujud sama sekali dalam aiskrim mereka! Perisa yang ditawarkan turut merambangkan mata seperti Salted Gula Melaka, Matcha Coconut, Charcoal Vanilla, Mocha Almond Choc Chip dan Pumpkin Pie!

Buffet Istimewa

Lisettes’s Cafe & Bakery

Image credit: Lisette’s Cafe & Bakery Official Facebook

Jika anda berada di KL pada hari Ahad, singgah ke Lisette’s Cafe & Bakery untuk set Sunday Brunch yang berpatutan dan enak! Untuk RM55++ seorang (tidak termasuk minuman), anda dapat menikmati pelbagai hidangan seperti Mushroom Egg Frittata, Black Nasi Lemak, Panko Baked Pumpkin Wedge, Chicken Cacciatore dan banyak lagi. Terdapat juga variasi pastri seperti Beef Pie, Chelsea Bun, Focaccia dan Peach Danish. Pendek kata, memang benar-benar berbaloi dengan harga yang dibayar!

Jika ada yang berminat tentang masakan vegetarian/vegan, Lisette’s turut menawarkan bufet masakan ini pada setiap hari Selasa dan Jumaat pada harga RM35++.

Inspirasi sumber kreativiti

Senarai ini menggambarkan realiti Kuala Lumpur yang kaya dengan pengaruh tempatan dan antarabangsa. Inspirasi masakan dari pelbagai ceruk dunia mewarnai tempat-tempat makan di bandaraya ini. Sama ada anda mahu jalan-jalan cari makan atau mengolah kreativiti anda di dapur, Kuala Lumpur ialah titik permulaan yang sempurna.

Baca lagi: 8 Makanan Johor yang Harus Dicuba! 

Salmi

Salmi loves spending time in hostels, mingling with travellers from all over the world. She draws her inspiration from her father who used to take her travelling on bumpy back roads instead of highways. There, she learnt how to talk with strangers and where to find the best street food. When she’s not out and about, she writes, cooks and reads.

Share
Published by
Salmi

Recent Posts