6 Tips Untuk Melancong Jangka Panjang Dengan Bajet Terhad

Mendaki gunung-ganang, bersantai di tepi pantai sambil membaca buku, melihat alam kehijauan yang diselangi bunyi kicauan burung, bersiar-siar sambil menikmati ‘street food’ tempatan…semua ini antara pengalaman yang anda dapat rasakan semasa melancong, bukan? 🌴🐦🏖️

Sekarang, cuba bayangkan jika anda dapat melancong dalam jangka masa yang panjang dan kerap menikmati pengalaman-pengalaman ini. Ia bukan perkara yang mustahil kerana itulah yang saya berjaya lakukan!

Pada tahun lepas, saya meninggalkan pekerjaan sepenuh masa saya dan mula bekerja jarak jauh sambil mengembara di serata Malaysia dan juga Thailand! 

Jika anda mempunyai impian seperti ini, jom baca tips-tips yang saya sendiri praktikkan untuk melancong jangka panjang dengan bajet yang terhad.

1. Bersukarela sambil melancong

Bersukarela sambil melancong ialah perkara yang sering dilakukan oleh ‘backpackers’ di serata dunia. Secara umumnya, bersukarela ialah menyediakan tenaga buruh atau bekerja secara percuma. 

Dengan menawarkan kemahiran-kemahiran asas seperti mengajar, berkebun, mereka grafik dan laman web, membina, mengasuh kanak-kanak dan banyak lagi, bersukarela ialah antara cara yang paling berkesan untuk melancong dengan bajet terhad!

Hal ini kerana penginapan anda akan disediakan secara percuma! Bergantung pada sesetengah ‘host’ atau tuan rumah, anda juga mungkin mendapat makanan percuma dan juga insentif kecil.  

Laman-laman web seperti Workaway dan Worldpackers ialah antara platform yang paling popular untuk mencari peluang bersukarela. Anda cuma perlu membayar yuran langganan tahunan yang berpatutan dan anda akan berjimat beribu-ribu Ringgit kos penginapan! 💰💰

Seperti contoh, saya pernah menguruskan sebuah hostel di George Town dan kini bersukarela di sebuah vila di Langkawi pula sebagai penulis dan pereka laman web! 

2. Menginap di hostel backpackers

Kadangkala, jika saya ingin berehat dari bekerja dan bersukarela, saya akan menginap di hostel-hostel yang dibina khas untuk ‘backpackers’ kerana kosnya yang rendah. 

Jadi, mempunyai jadual perjalanan yang fleksibel amat penting kerana anda boleh berunding dengan pihak hostel untuk diskaun penginapan jangka lama.

Bagi saya, hostel jugalah tempat yang paling sempurna untuk bertemu dengan ramai pelancong lain, lebih-lebih lagi kerana saya melancong secara solo. Anda boleh saling menerokai tempat tarikan, ‘cafe-hopping’, memasak makanan tradisi masing-masing dan juga bertukar-tukar cerita antara satu sama lain! 

Bebola daging dan jeruk timun ala Swedish yang dimasak oleh seorang backpacker dari Sweden

3. Melancong ke destinasi murah terlebih dahulu

Bagi kebanyakan orang, destinasi yang timbul dalam fikiran mereka ketika berbincang tentang topik melancong ialah destinasi luar negara. 

Dengan bajet terhad, cara pemikiran ini perlu diubah kerana melancong di negara sendiri atau negara-negara terdekat juga ialah pilihan yang sudah tersedia ada. 

Hal ini berbeza dengan ‘backpackers’ asing yang kebanyakannya berasal dari Eropah dan Amerika, di mana mereka sanggup terbang ke Asia Tenggara untuk melancong. Bagi mereka, melancong di negara sendiri akan memakan kos yang tinggi dari segala aspek dalam jangka panjang. 💸💸💸

Bertuahnya kita kerana menetap di negara yang sering menjadi tumpuan pelancong dari serata dunia dan juga terletak berdekatan dengan negara-negara lain seperti Indonesia, Thailand dan Cambodia. 

Jadi, jika anda mempunyai bajet yang kecil untuk melancong, mulakan dengan destinasi-destinasi terdekat seperti ini dahulu!

4. Bekerja jarak jauh atau ‘remote working’

Untuk melancong dengan selesa, anda mungkin berminat untuk bekerja jarak jauh. 

Walaupun anda mungkin mempunyai simpanan yang mencukupi, membuat duit sambil melancong dapat membantu anda pada saat-saat kecemasan dan juga dalam jangka masa yang panjang.

Berdasarkan pengalaman saya, anda boleh melonjakkan karier ‘remote working’ dengan mengiklankan diri anda di laman media sosial seperti Facebook dan LinkedIn, menggunakan platform ‘freelancing’ seperti Upwork, membuat permohonan pada pihak HR di pelbagai syarikat dan banyak lagi.

Kini, dengan bekerja jarak jauh dan bersukarela, saya masih mampu menampung cara hidup mengembara jangka panjang selama sudah hampir lebih daripada setahun! 👩‍💻💼

5. Praktikkan sikap minimalis

Sebelum Marie Kondo mula menjadi viral, para ‘backpackers’ sudah lama mengamalkan sikap minimalis dan ‘mindfulness’! 😂

Ya, cuba bayangkan bilik tidur anda yang penuh dengan pakaian dan barang-barang kesayangan anda. Sekarang, cuba bayangkan pula bahawa kesemua barang-barang ini perlu dimuatkan di dalam beg bagasi anda. Pasti mustahil, bukan?

Jika anda bercadang untuk mengembara jangka panjang, terdapat dua kebaikan yang anda dapat dengan mengamalkan sikap minimalis. 

Pertama, anda akan membawa apa yang penting dan berguna sahaja dan kedua, anda akan lebih mempertimbangkan keputusan semasa membeli-belah sekaligus berjimat duit! 💰😄

Bak kata orang, “You are packing your life in one suitcase”, jadi anda perlu berfikir dengan bijak untuk menguruskan hidup anda supaya dapat mengembara dengan selesa!

6. Mindset, mindset, mindset!

😔 “Saya tak cukup duit nak melancong”

😔 “Saya tak ada masa nak pergi melancong”

😔 “Apa orang lain akan kata jika saya berhenti kerja dan mula melancong?”

😔 “Bagaimana dengan masa depan saya jika saya mula melancong?

😔 “Ibubapa pasti takkan izinkan saya melancong.”

Ayat-ayat seperti di atas sudah biasa saya dengari ketika berbual dengan rakan-rakan saya atau ketika bertukar-tukar pendapat dengan para pengembara yang lain. Tetapi, saya percaya dengan satu peribahasa: di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Jika duit menjadi halangan seperti saya suatu ketika dahulu, pertimbangkan teknik seperti bekerja jarak jauh dan bersukarela. Jika masa tidak mengizinkan kerana anda bekerja sepenuh masa, mulakan pengembaraan anda di tempat-tempat terdekat. 

Ada banyak lagi persoalan yang anda akan hadapi, tetapi jalan penyelesaiannya pasti ada jika anda sudah bertekad. Malah, melancong dan mengembara jangka panjang juga bukanlah destinasi terakhir bagi seumur hidup anda, tetapi hanyalah satu pengajaran dan pengalaman. 

Sebagai contoh, saya mengenali seorang wanita dari Australia yang sedang mengembara selama setahun sebelum kembali bekerja sebagai pakar radiologi pada tahun hadapan.

Saya juga mengenali seorang lelaki dari Sweden yang telah mengembara selama 7 tahun dan memutuskan untuk kembali menetap di negaranya selama-lamanya. 

Dan banyak lagi cerita yang saya dengar dari manusia yang saya temui dengan mengembara!

Melihat pemandangan matahari terbenam bersama Emily dari negara China

Jadi, jika anda mempunyai impian untuk melancong dalam jangka masa yang panjang seperti saya, anda bukan sahaja perlu mengambil langkah-langkah untuk menjaga bajet, tetapi cara pemikiran anda juga perlu berubah! 

Selamat mencuba dan bon voyage! 😊💪

Salmi

Salmi loves spending time in hostels, mingling with travellers from all over the world. She draws her inspiration from her father who used to take her travelling on bumpy back roads instead of highways. There, she learnt how to talk with strangers and where to find the best street food. When she’s not out and about, she writes, cooks and reads.

View Comments

  • hebat awak ..... boleh survive di negara orang ....
    setakat ni paling lama saya bermusafir 2 minggu ..ke northerni thailand ..

Share
Published by
Salmi

Recent Posts