Pernah tak anda dengar tentang konsep mengembara jangka panjang? 

Ia bukan seperti bercuti 2D1N atau 8D7N, tetapi lebih kepada meluangkan masa di sesebuah tempat dalam waktu yang panjang. Sebagai contoh, melawati Melaka selama 3 minggu atau menerokai bandar London selama 3 bulan. 

Sebagai penulis, mengembara jangka panjang amat penting bagi saya. Bukan sahaja saya dapat melihat tempat-tempat tarikan pengunjung dan menikmati makanan tempatan, tetapi saya juga dapat menjalinkan persahabatan dengan ramai orang. Ini semua boleh dijadikan inspirasi untuk menulis! 

Sebab itulah pada tahun lepas, saya memutuskan untuk bekerja sendiri dan mulakan pengembaraan saya. Buat masa ini, atas faktor bajet, saya masih mengembara di negara sendiri iaitu Malaysia dan hanya ke luar negara sesekali sahaja.

Tapi, apakah destinasi pertama saya sebenarnya? 👇👇👇

Menerokai Thailand secara solo terlebih dahulu

Bangkok, Chiang Mai dan Pai di Thailand ialah destinasi-destinasi percubaan saya untuk mengembara jangka panjang dan secara solo buat pertama kalinya. Pada bulan April 2018, saya meluangkan masa selama 3 minggu di sana dan saya mula jatuh cinta dengan pengalaman baru itu!

Pada saat saya menulis artikel ini, saya berada di Langkawi setelah menghabiskan masa di George Town selama 4 bulan dan Koh Lanta serta Bangkok selama 3 bulan. Kadangkala, saya akan kembali ke Johor untuk bertemu dengan keluarga atau ke Kuala Lumpur untuk sesi ‘catch-up’ bersama rakan-rakan saya.

Kini, sudah lebih setahun saya mengamalkan cara hidup ‘long-term travelling’ ini, lebih-lebih lagi dalam negara sendiri, jadi tergerak hati saya untuk berkongsi dengan anda apa yang saya pelajari. 

Pertama sekali, mencari kawan ialah perkara yang mudah sebenarnya!

Mengembara jangka panjang ini sebenarnya amat berlainan dengan melancong. 

Disebabkan anda perlu berhati-hati menguruskan perbelanjaan bulanan dan tahunan, anda berkemungkinan akan menginap di hostel ala ‘backpackers’ kerana sewanya amat murah. Inilah tempat yang paling sesuai bagi sesiapa yang ingin mencari kawan semasa mengembara lebih-lebih lagi secara solo!

Seperti contoh, di Kuala Lumpur, saya pernah bertemu dengan wanita dari Pulau Barbados yang membawa kuali kegemarannya ke mana saja semasa mengembara kerana dia amat gemar memasak! 🍳🍳🍳

Di Chiang Mai pula, saya mula berbual-bual dengan seorang pengembara wanita solo dari Switzerland dan pada keesokan harinya, kami terus merancang untuk menerokai Pai bersama-sama! Menarik, bukan?

Melalui jalinan persahabatan dengan para pengembara lain, anda bukan sahaja dapat bertukar-tukar pendapat, malah anda juga akan menyedari bahawa mengembara solo bukanlah satu perkara yang akan membuatkan anda berasa sunyi!

Menerokai negara sendiri juga lebih mudah dan murah!

Semasa di Thailand, saya mempelajari sedikit sebanyak bahasa Thai untuk berkomunikasi dengan masyarakat tempatan, lebih-lebih lagi ketika menaiki bas atau keretapi. Alhamdulillah, saya belum pernah lagi sesat semasa berjalan-jalan di sana.

Maka, menerokai Malaysia ialah perkara yang lebih mudah kerana anda sudah mengetahui bahasa kita dengan fasih, dan anda lebih mahir tentang adat budaya di sini. Bagi yang tidak menggunakan kereta seperti saya, menaiki pengangkutan awam tidak akan menjadi masalah! 

Bukan itu saja, kos untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain juga berpatutan jika dibandingkan dengan luar negara. Jadi, jika anda tidak mempunyai banyak masa untuk berjalan jarak jauh, mudah sekali untuk anda melawati negeri-negeri setempat.

Saya belajar tentang cara hidup masyarakat di negeri-negeri lain

Sebagai rakyat Johor, saya sudah lali dengan semangat kenegerian yang terlalu dihangat-hangatkan oleh orang di sekeliling saya. Semasa di Kuala Lumpur pula, saya dapati ada dalam kalangan masyarakat Malaysia yang jarang sekali atau tidak pernah menerokai negeri lain walaupun mereka berkemampuan dari segi kewangan.

Saya tertanya-tanya jika kita sebenarnya mengambil berat atau tidak tentang masyarakat lain yang hidup di tanah air yang sama. Dengan penuh rasa ingin tahu yang dipupuk oleh ibubapa sejak kecil, saya berazam untuk menetap di pelbagai negeri-negeri Malaysia. 

Hasilnya, saya berpeluang untuk mengetahui selok-belok industri hospitaliti tempatan di George Town, berkawan dengan seorang remaja berbangsa India yang cukup matang dan berbudi-bahasa di Melaka, mempelajari cara hidup perkampungan tepi sawah di Pulau Langkawi, dan bertukar-tukar adat budaya dengan penduduk tempatan.

Dengan mengembara di serata negara, saya berpeluang untuk mendalami prinsip-prinsip dan cara hidup seharian pelbagai bangsa, dan menghayati sejarah masyarakat Malaysia yang cukup unik dan luas!

Saya juga sedar bahawa mengembara bukan semuanya indah-indah belaka

Pahit manis kehidupan ialah sesuatu yang kita semua alami dan ini juga sama ketika saya pergi mengembara. Seperti contoh, saya mendapat tahu bahawa terdapat seorang wanita tempatan dari Kuala Lumpur dipaksa oleh suami dan bapanya sendiri untuk menjadi pelacur di Bandaraya Melaka. 

Dan semasa saya bersiar-siar di sana, seorang penduduk tempatan juga memberitahu saya bahawa terdapat beberapa pusat pelacuran tidak jauh dari Jonker Street, yang tampak cantik dari luar tetapi sebenarnya berada dalam kondisi teruk untuk wanita-wanita diseludup masuk bekerja.

Perkara seperti ini jelas akan membuka mata anda akan isu-isu penting yang berlaku di negara kita dan sekaligus akan menyedarkan kita bahawa sesebuah tempat tarikan pengunjung itu mungkin mempunyai sejarah hitam di sebaliknya. 

Akhir sekali, anda akan bersedia untuk mengembara di negara lain pada masa hadapan

Saya sebenarnya seorang yang ‘introvert’, jadi mengembara ialah antara aktiviti yang melatih saya untuk bersuara lebih kerap. Dengan mengembara di negara sendiri, saya kini lebih berkeyakinan untuk bertanya jika saya mempunyai apa-apa persoalan. 

Ini amat penting kerana jika anda bercadang untuk mengembara, anda perlu bertanya dan berinteraksi secara aktif. Bukan itu sahaja, untuk menjimatkan perbelanjaan, anda mungkin perlu berkongsi pengangkutan, pakej ‘tour’ dan macam-macam lagi dengan pengembara lain!

Dengan mengetahui selok-belok pengembaraan yang anda pelajari di negara sendiri, anda juga akan lebih bersedia untuk ke negara lain pada masa hadapan.

Jadi, jika anda sering merancang untuk mengembara di luar negara, saya sarankan agar anda bermula di tanah air dahulu. Mungkin anda tidak berpeluang melakukannya untuk jangka panjang seperti saya, tetapi 2-3 hari pun sebenarnya sudah memadai sebagai permulaan!

Setiap orang akan mendapat pengalaman yang berbeza-beza daripada saya, tetapi satu perkara yang pasti ialah ia akan banyak mengajar anda tentang kehidupan. 

Baca lagi: Percutian Tempatan Yang Menarik! 10 Destinasi Yang Anda Mungkin Tidak Tahu

Salmi

Salmi loves spending time in hostels, mingling with travellers from all over the world. She draws her inspiration from her father who used to take her travelling on bumpy back roads instead of highways. There, she learnt how to talk with strangers and where to find the best street food. When she’s not out and about, she writes, cooks and reads.

Share
Published by
Salmi

Recent Posts