Setiap kali saya teringin untuk ke luar negara buat seketika waktu tanpa berbelanja banyak, Bangkok pasti menjadi pilihan saya. Bukan sahaja lokasinya yang menjadi tarikan utama, malah kos percutian yang sederhana, makanan yang sedap dan ‘Muslim-friendly’, serta masyarakatnya yang cukup kaya dengan adat budaya membuatkan ramai pengunjung Malaysia jatuh hati dengan bandaraya ini!

Jadi, saya telah menghimpunkan 14 aktiviti menarik yang anda perlu lakukan sekiranya anda berada di Bangkok. Jom baca dengan lebih lanjut lagi!

1. Makan ‘street food’ halal di sekitar bandaraya

Image credit: Takeaway

Perkara pertama yang anda perlu lakukan setelah tiba di Bangkok ialah makan, makan, dan makan! 😋 Bandar metropolitan ini ialah antara tempat terbaik untuk menikmati aneka juadah yang datang dari pelbagai daerah di Thailand.

Antara tempat-tempat yang menawarkan ‘street food’ halal ialah Pratunam Market, Petchaburi Road Soi 7, Ramkhamhaeng Street dan Charoen Krung Road. Jangan lupa untuk mencuba Khao Mok Gai (biryani ala Thai), Som Tam (salad betik), telur puyuh goreng, Kari Massaman, dan banyak lagi!

2. Lawati Talad Rot Fai Ratchada untuk bazar hipster ala Artbox

Image credit: aotaro

Negara yang terkenal dengan pelbagai jenis pasar ini amat sesuai bagi anda yang gemar berjalan-jalan. Jika anda inginkan suasana bazar hipster seperti Artbox yang pernah diadakan buat pertama kali di Malaysia tahun lepas, Talad Rot Fai Ratchada menawarkan makanan seperti Rainbow Cheese Toast yang sedap 🌈, fesyen pakaian dan barangan ‘vintage’ serta ruang-ruang kafe yang unik.

3. Nikmati kecantikan Sungai Chao Phraya di Asiatique the Riverfront

Image credit: Nik Cyclist

Asiatique the Riverfront suatu ketika dahulu ialah tapak pelabuhan antarabangsa yang menghubungkan Eropah dan Thailand. Terletak di sekeliling Sungai Chao Phraya, pasar malam yang didirikan di gudang lama syarikat kargo East Asiatic ini merupakan usaha urbanisasi untuk memelihara sejarah tempat ini. Saya cadangkan anda datang ke sini pada waktu senja untuk menikmati suasana malam yang meriah!

4. ‘Temple-hopping’ dan pelajari sejarah Thailand di Bangkok Old City

Perjalanan anda ke Bangkok tidak lengkap tanpa melawati tapak-tapak tokong yang mengagumkan dan amat disanjungi masyarakat tempatan. Di Bangkok Old City (juga dikenali sebagai Rattanakosin Island), anda berpeluang melawati Wat Saket, Bangkok National Museum, Wat Phra Kaew, Grand Palace, dan Wat Pho. Kemudian, anda boleh naik bot ekspres untuk menuju ke Wat Arun berdekatan.

5. Lawati pasar segar di landasan kereta api yang masih aktif

Image credit: waychen_c

Mae Klong Railway Market ialah salah satu tempat tarikan pelancong yang paling unik di Bangkok! Juga dikenali sebagai Talad Rom Hub (Market of Closing Umbrellas), para penjual di sini beroperasi di atas landasan keretapi dan akan menyimpan payung kanopi semasa keretapi berlalu. Alang-alang anda sudah ada di sini, belilah buah-buahan segar atau pencuci mulut Thai sekali!

6. Ataupun bersiar-siar dan makan di Pasar Terapung Khlong Lat Mayom

Image credit: Tina_Sauwens

Jika pasar di atas landasan keretapi tidak menarik minat anda, apa kata anda lawati salah satu pasar terapung di sini iaitu Khlong Lat Mayom Floating Market? Dengan gelaran ‘Venice of The East’, kota Bangkok cukup sinonim dengan perniagaan-perniagaan di terusan Sungai Chao Phraya.

Sama ada anda mahu melihat kegiatan harian penduduk tempatan di atas bot, membeli sarapan atau makan tengahari di tepi sungai, ataupun menyertai ‘boat tour’, anda pasti akan sukakan pasar yang bersuasana tenang ini!

7. Lihat pelbagai pusat membeli-belah yang unik

Image credit: Terminal21 Asok Shopping mall Official Instagram

Saya bukanlah kaki shopping, tapi saya perlu akui bahawa Terminal 21 ialah antara pusat membeli-belah yang paling cool di Bangkok. Dengan tema lapangan terbang, anda akan menemui rekaan dalaman yang berinspirasikan pelbagai kota terkenal seperti Tokyo, Rome, San Francisco, London dan Istanbul!

Bukan Terminal 21 sahaja, ada banyak lagi pusat membeli-belah berkelas tinggi seperti Siam Paragon, Pantip Plaza, Central Embassy dan EmQuartier.

8. Hayati seni dan budaya di Bangkok Art & Culture Center (BACC)

Image credit: Bacc หอศิลปวัฒนธรรมแห่งกรุงเทพมหานคร Official Facebook

Galeri seni yang dihiasi reka bentuk kontemporari Thailand ini kerap menganjurkan pelbagai pameran karya tempatan dan antarabangsa. Selain mempunyai perpustakaan seni, bilik pameran, auditorium dan studio, bangunan sembilan tingkat ini juga mempunyai kafe-kafe dan kedai-kedai kraftangan tempatan yang moden. Anda boleh layari laman web rasmi BACC untuk maklumat lanjut mengenai pameran dan acara terkini!

9. Jalan-jalan di Chinatown terbesar di dunia

Tahukah anda bahawa populasi masyarakat overseas Chinese di Thailand ialah yang terbesar di dunia, iaitu seramai 15 juta orang? Untuk memahami sejarah integrasi dan asimilasi yang amat kukuh dalam kalangan masyarakat Thai-Cina, Chinatown (juga dikenali sebagai Yaowarat) ialah tempat yang wajar sekali untuk anda lawati! Terdapat tokong, galeri seni serta deretan pasar seperti Sampeng Market, Talat Kao, Trok Issaranuphap dan Talat Noi di sini.

10. Membeli-belah di Chatuchak Weekend Market yang terbesar di Thailand

Image credit: Aqawitt

Terdiri daripada kira-kira 15,000 buah kedai yang menjual pakaian, kraftangan, perabot, makanan, haiwan peliharaan, barangan antik dan banyak lagi, Chatuchak Weekend Market yang terbahagi kepada 27 seksyen memang bukan calang-calang pasar! Seramai 20,000 pengunjung melawati pasar ini setiap hujung minggu, jadi minum air secukupnya dan bersiap-sedia untuk menyertai mereka!

11. Lawati tokong Wat Phra Dhammakaya yang juga terbesar di dunia!

Image credit: Dhammakaya Foundation Official Website

Terletak berdekatan dengan Don Mueang Airport, tokong bersaiz 800 ekar yang penuh kontroversi ini dibina oleh Dhammakaya Foundation. Tidak seperti tokong-tokong lain di serata Thailand, keunikan Wat Phra Dhammakaya terletak pada seni bina reka bentuk stupa yang dhiasi dengan sejuta patung Buddha dan juga keluasan ruang meditasi di The Grand Meditation Stadium dan The Sapa Dhammakaya.

Psst, masih tak ramai pelancong luar yang tahu tentang tempat ini, jadi jangan lepaskan peluang melawatinya!

12. Lihat tapak peninggalan sejarah Ayutthaya

Image credit: Stefan H

Bagi yang kurang gemar dengan kesibukan kota dan inginkan sedikit ketenangan, anda boleh menuju ke Ayutthaya yang terletak kira-kira 80 kilometer dari Bangkok. Bandaraya bersejarah ini penuh dengan tokong, menara dan pagoda lama. Ia juga merupakan ibu kota kerajaan Siam pada zaman dahulu sebelum dipindahkan ke Bangkok. Disebabkan statusnya yang amat penting, ia telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

13. Pelajari sejarah Landasan Maut Burma-Siam di Kanchanaburi

Image credit: Tourism Authority of Thailand – The Philippines Branch Office Official Facebook

Antara sejarah hitam Perang Dunia Ke-2 yang diketahui ramai ialah pembinaan ‘Death Railway’ yang menghubungkan negara Burma dan Siam atas arahan pihak Jepun. Seramai 200,000 buruh paksa dari Siam dan negara-negara lain di Asia Tenggara termasuklah Malaya terlibat dalam projek ini dan kira-kira separuh daripada mereka telah terkorban atas kondisi bekerja yang teruk.

Terletak di daerah Kanchanaburi (144 kilometer dari Bangkok), anda boleh melawati River Kwai Bridge, Kanchanaburi War Cemetery, Death Railway Museum, Wampo Viaduct dan Hellfire Pass Memorial Museum di sini.

14. Nikmati keindahan semulajadi di Pattaya City, Chonburi

Image credit: waychen_c

Akhir sekali, untuk pencinta alam semulajadi, anda perlu menuju ke Pattaya City untuk menikmati pemandangan yang cantik! Terdapat banyak aktiviti yang anda boleh lakukan di sini seperti bersantai di Jomtien Beach, berpiknik dan snorkeling di Ko Larn yang tersembunyi, memancing di Ko Man Wichai dan melawati pulau bersejarah Ko Si Chang yang penuh dengan tempat-tempat suci.

Jadi, sudahkah anda bersedia untuk ke Bangkok? Syurga makanan yang terkenal di serata dunia, tapak-tapak suci yang yang cantik serta warisan budaya yang kekal terpelihara pasti akan membuatkan anda jatuh cinta dengan ibu kota Thailand ini!

 

Salmi

Salmi loves spending time in hostels, mingling with travellers from all over the world. She draws her inspiration from her father who used to take her travelling on bumpy back roads instead of highways. There, she learnt how to talk with strangers and where to find the best street food. When she’s not out and about, she writes, cooks and reads.

Share
Published by
Salmi

Recent Posts